- 1.1KShare sekarang!
- Email11
- Facebook1.1K
- Share
Sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan datang ni, kerajaan Malaysia dah bergiat aktif dalam merencana pelbagai aktiviti menarik sebagai pengisian sepanjang tahun tersebut. Dan baru-baru ni kecoh kat media sosial berkenaan cadangan Balai Seni Lukis Negara nak pamerkan lukisan bertemakan kartun animasi Jepun, Doraemon.
Apa yang lagi kecoh apabila isu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman nak anjurkan konsert KPOP sebagai tarikan untuk Tahun Melawat Malaysia 2020. Objektif utama tujuan nak adakan aktiviti tu adalah untuk galakkan sektor hiburan dan pelaburan. Selain tu, untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk persidangan dan konsert antarabangsa yang mampu tarik perhatian pelancong luar.
Tapi… apa yang tak kena dengan tujuan tu?
Tapi disebalik aktiviti yang bakal dianjurkan tu, ramai pihak yang tak puas hati. Ada di antaranya artis tempatan dan masyarakat luar yang merasakan idea untuk melabur pada artis luar tu tak kena. Sebabnya kenapa tak ketengahkan jugak artis-artis tempatan yang dah popular jugak?
Bukan sahaja artis tempatan, tapi ahli-ahli politik lain pun ada jugak yang tak bersetuju. Cadangan tersebut dibangkang sebab ia menelan jumlah kos pelaburan yang banyak. Konsert yang dicadangkan tu anggarannya menelan kos mencecah RM4.2 juta untuk konsert yang berdurasi selama 3 jam dengan melantunkan 30 buah lagu.
“Lagipun ini sudah tidak seiring dengan hasrat manifesto PH yang mahu menjimatkan duit kerajaan dengan tidak melaksanakan sesuatu yang dianggap satu pembaziran. Sepatutnya, KBS lebih fokus dengan perkara-perkara meruncing kemerosotan prestasi atlit dalam acara seperti bola sepak, hoki atau badminton yang lain-lain…” – Mohamed Nizam Abdullah Hamidi, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, sumber dari Malaysia Gazette.
Walaubagaimanapun, sebelum-sebelum ni ada juga terdapat beberapa ahli politik dan menteri lain yang anjurkan konsert-konsert artis antarabangsa untuk tujuan yang sama. Jadi, dalam artikel ni kitaorang senaraikan beberapa menteri yang dah pernah anjurkan aktiviti sama.
1. Datuk Seri Najib Razak – Konsert Gangnam PSY, Pulau Pinang
Dulu, bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak pernah menganjurkan konsert yang mengetengahkan artis Korea. Iaitu Konsert Gangnam yang menampilkan PSY. Dia pernah satu masa dulu popular dengan tarian identiti, Gangnam Style dan jadi ikutan masyarakat kat Malaysia.
PSY atau nama sebenar dia Park Jae Sang ni dijemput untuk mengadakan konsert bagi memeriahkan lagi Sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh parti Barisan Nasional Pulau Pinang pada 11 Februari 2013. Penganjuran konsert tersebut yang melibatkan artis Korea telah menelan kos mencecah RM2.3 juta dengan durasi persembahan selama 60 minit.
Memandangkan konsert tersebut di bawah anjuran parti, ia menjadi tanda tanya semua pihak. Tapi kos untuk biayai konsert tersebut adalah menerusi tajaan daripada syarikat swasta iaitu Mega Ultimate dan tidak melibatkan dana daripada kerajaan. Walaubagaimanapun, konsert tersebut dianggap sebagai konsert ‘ada udang di sebalik batu’ memandangkan tujuan konsert tu adalah untuk menambat hati rakyat bagi pilihan raya akan datang.
Dan, dulu pembangkang pun bagi komen yang sama macam pembangkang sekarang komen:
“Isunya bukan pasal duit siapa, tetapi sikap penanggungjawaban dan urus tadbir kerajaan. Ketika rakyat dihimpit bebanan ekonomi, kerajaan bazirkan wang begitu saja untuk bawa masuk artis luar negara,”- Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Balik Pulau, sumber dari Keadilan Daily.
2. Hari Belia Negara 2012 bawa kumpulan U Kiss
Hari Belia Negara pada tahun 2012 yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan jugak ada melibatkan undangan artis-artis K-Pop. Konsert K-Pop diselitkan dalam salah satu agenda dan aktiviti sewaktu Hari Belia Negara tu berlangsung.
Penganjuran konsert tersebut dipersetujui oleh Jemaah Menteri yang lain memandangkan mereka dapat lihat kelebihan yang boleh dicapai menerusi konsert K-Pop tersebut. Artis-artis K-Pop yang terlibat adalah U Kiss, Teen Top dan Dal Shabet.
“Ia dipersetujui Jemaah Menteri memandangkan trend K-pop merupakan antara tarikan belia pada masa itu dan mampu menarik kehadiran belia daripada pelbagai latar belakang,” – Khairy Jamaluddin, sumber dari mStar.
Hari Belia Negara 2012 ni tersenarai dalam Malaysia Book of Records menerusi acara Star Gazing dan Mencanting Batik. Dan ia berjaya dapat pulangan ekonomi yang lumayan berdasarkan aktiviti yang dianjurkan.
Namun, isu yang timbul bila dokumen perbelanjaan waktu Hari Belia Negara tu yang dikeluarkan oleh Laporan Audit Negara dengan mendakwa perbelanjaan tersebut tidak berhemat dengan melaburkan jumlah dana yang banyak.
Perbelanjaan yang mencecah RM2.94 juta tu dibiayai sepenuhnya oleh KBS sendiri memandangkan syarikat-syarikat swasta dilaporkan menarik diri daripada menaja program tersebut. Dan perbelanjaan yang dilaburkan untuk membayar artis-artis Kpop waktu hari tersebut menelan kos sebanyak RM1.6 juta.
3. Iskandar Waterfront Carnival membawa T-ara dan Sistar
Sempena pertabalan dan istiadat kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Konsert BEP telah dilaksanakan. Konsert dan festival muzik yang mempersembahkan nama-nama besar yang terkenal di persada antarabangsa dah membantu menjayakan konsert tersebut. Dan konsert tersebut di bawah kelolaan dan kerjasama dengan Iskandar Waterfront Carnival @ Danga Bay.
Antara selebriti yang terlibat dalam konsert tersebut adalah kumpulan hip hop Black Eyed Peas, kumpulan Kpop T-ara dan Sistar, penyanyi duo dari Taiwan Fuying & Sam, Rossa dan artis-artis tanah air seperti Sheila Majid, Jaclyn Victor, Penny Tai, dan Shila Amzah.
Ia dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Johor dengan kerjasama Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd. Konsert sempena hari Kemahkotaan Sultan Johor tu diadakan dengan meriah dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik, bukan hanya memfokuskan konsert dan festival muzikal sahaja. Aktiviti lain yang ada kat karnival tu seperti Perlumbaan Bot Laju F3000, Acara Berbasikal Cycleton di Sekitar Johor, Sukan Pantai, Perarakan Perahu Berhias dan pertunjukan bunga api.
Dan festival tersebut merupakan salah satu program CSR mereka (Iskandar Waterfront Holdings) dan berlangsung selama empat hari. Kalau nak tengok apa aktiviti yang diaorang dah buat, boleh klik sini.
4. Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak bawa Steven Seagal (ini bukan K-Pop tapi mahal)
Majlis Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) yang dah berlangsung baru-baru ni telah diadakan kat Kuching, Sarawak. Kerajaan Sarawak menjadi tuan rumah pada majlis penganugerahan tersebut yang melibatkan 10 buah negeri ASEAN. Anugerah tersebut merupakan acara dwitahunan yang dah bermula sejak tahun 2013.
Pada tahun ni, anugerah tersebut merupakan anugerah edisi keempat yang diadakan kat Sarawak. Dan anugerah tu merupakan anugerah pengiktirafan untuk memartabat penggiat-penggiat filem di sekitar ASEAN. Ia menjadi platform terbaik untuk mengumpulkan penggiat-penggiat perfileman di rantau ASEAN. Selain itu, ia juga menjadi salah satu cara dan kempen untuk mempromosi Sarawak sempena Kempen Melawat Sarawak.
“Angkat Sarawak dalam dunia pelancongan dan dalam dunia perfileman dan amat sesuai sekali untuk promosi Sarawak lebih-lebih lagi dalam kempen melawat Sarawak,” – Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, sumber dari Astro Awani.
Tapi untuk tahun ni, ada selebriti dan aktor popular Hollywood, Steven Seagal dijemput menjadi tetamu khas waktu majlis anugerah tersebut. Memandangkan festival dan anugerah filem ni merupakan bawah kelolaan kementerian pelancongan Sarawak jugak, kosnya jugak di bawah tanggunggan kerajaan. Tapi ia juga dibantu dengan tajaan dari syarikat dan badan-badan swasta lain disebabkan majlis ni melibatkan penyertaan banyak negara.
Ia untuk rakyat dan ekonomi negara …
Berdasarkan fakta-fakta dan penjelasan yang diberikan oleh Syed Saddiq, usaha untuk menganjurkan konsert tersebut dapat memberikan pulangan yang besar dan keuntungan kepada negara terutamanya dalam bidang perlancongan. Selain tu, negara Malaysia tidak mahu ketinggalan dengan negara-negara jiran yang lain seperti Singapura dan Indonesia dari segi tumpuan selebriti-selebriti antarabangsa.
Memang tidak dinafikan gelombang dan pengaruh trend Korea iaitu ‘hallyu’ ni dah berjaya mengatasi trend-trend lain dan menempatkan ia sebagai trend semasa. Dan dari situlah dapat dilihat dengan penganjuran konsert K-Pop sebagai salah satu tarikan untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 boleh beri keuntungan yang lumayan.
Di samping tu, kumpulan Korea yang akan ditampilkan sewaktu konsert Tahun Melawat Malaysia 2020 tu adalah Kumpulan BTS. Dan kumpulan BTS ni merupakan antara selebriti yang paling berpengaruh di dunia sebaris dengan Mark Zuckerberg dan Mohamad Salah. Mereka jugak bekerjasama dengan UNICEF dan PBB untuk melestarikan kempen anti-keganasan.
Dan, sebelum-sebelum ni konsert yang dianjurkan oleh kerajaan yang melibatkan selebriti luar berjaya menarik minat ramai pelancong dan dapat pulangan yang lumayan. Walaupun begitu, idea untuk menganjurkan konsert Kpop tu nampak macam tak selari dengan manifesto PH untuk kurangkan perbelanjaan dan selesaikan hutang negara. Ditambah pulak dengan keadaan ekonomi sekarang ni.
- 1.1KShare sekarang!
- Email11
- Facebook1.1K
- Share