- 145Share sekarang!
- Email1
- Facebook144
- Share
Walaupun dah berpuluh tahun kita mencapai kemerdekaan, mungkin ada antara kita yang tak tahu sangat pasal Hari Gawai dan Hari Kaamatan yang disambut oleh kawan-kawan kita di Sabah dan Sarawak. Bagi korang yang mungkin tak pernah ada sanak-saudara atau kawan-kawan dari Sabah dan Sarawak, mungkin sebab tu la korang tak tahu. Tapi takde salahnya kalau ambik tahu, kan?
Kalau korang nak tahu, masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Pesta Kaamatan, manakala dua hari kemudian komuniti Dayak di Sarawak meraikan Hari Gawai pada tahun ni. Gawai tu sendiri bermaksud pesta dan ia diraikan sebagai tanda kesyukuran selepas berakhirnya musim menuai padi. Dan kalau korang nak tahu, di Sarawak je ada lebih daripada 30 kumpulan etnik dan majoriti daripada mereka ini meraikan pesta menuai.
Tapi, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerkaan Bersyarat (PKPB), mesti ada perbezaan dengan sambutan Hari Gawai tahun ni kan? Apa kita kita tengok macam mana bezanya sambutan untuk tahun ni…
1. Nasi Ambeng menjadi hidangan Hari Gawai tahun ini – Dr Madeline Berma
Di Malaysia ni, dalam bidang ekonomi – siapa tak kenal dengan pakar ekonomi, Prof Dr Madeline Berma yang kini berkhidmat sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM Sarawak. Mengulas tentang sambutan Hari Gawai, selalunya beliau akan balik ke Sarawak dan menyambutnya bersama ahli keluarga dan saudara-mara di sana.
Tapi disebabkan pelaksanaan PKPB, nampaknya tahun ini Dr Madeline hanya menyambutnya di Bangi, Selangor. Menurutnya, ketika sambutan Hari Gawai – antara makanan tradisional Iban yang lazim dihidangkan adalah pansuh ayam (ayam masak dalam buluh), lemang dan ikan.
Tapi disebabkan beliau tak balik Sarawak tahun ni, makanan untuk Hari Gawai pun mula berubah.
“Makanan Hari Gawai MCOC (PKPB) saya tahun ini Nasi Ambeng, nasi istimewa Orang Jawa… Orang Iban berpesta Gawai Dayak, makan Nasi Ambeng.” – Katanya.
Sambil bergurau, beliau berkata mungkin dirinya akan dipanggil sebagai ‘Iban celup’ nanti. Apa-apa pun, baginya sambutan Hari Gawai kali ini cukup istimewa, kerana sebuah pesta diraikan dalam keadaan penjarakan sosial.
2. Hari Gawai tahun ini tanpa ‘Ngirup Ai Pengayu’ dan ‘Ranyai’ – Fabian
Bercerita tentang sambutan Hari Gawai tahun ini, seorang pelajar, Fabian berkata – ia sangat berbeza dengan sebelumnya kerana beliau tak dapat menyambutnya bersama keluarga tercinta yang tinggal di rumah panjang. Sebaliknya, beliau hanya dapat menyambutnya bersama kakak dan abang ipar di bandar.
Menurutnya, antara aktiviti yang tak dapat mereka sekeluarga lakukan kali ini termasuklah tradisi ‘Ngirup Ai Pengayu’ yang cukup sinonim dengan masyakat Iban. Selalunya, tuak atau Ai Pengayu ini akan disediakan sambil menanti detik 12 tengah malam pada 30 haribulan Mei setiap tahun. Kata Fabian, masyarakat Iban percaya bahawa ianya dapat memanjangkan umur.
“Dari segi masakan pula, ada banyak jenis makanan tradisional kaum Iban yang sering dihidangkan sempena Hari Gawai seperti ‘Penganan’, ‘Sarang Semut’, ‘Sarang Engkerawai’ dan sebagainya.
__
Secara peribadinya, saya amat menggemari ‘Manuk Pansuh’. Manuk Pansuh ialah sejenis hidangan berasaskan ayam di mana ayam akan dimasak di dalam buluh. Aromanya memang sedap!” – Katanya kepada SOSCILI.
Dalam masa sama, Fabian juga menyambut Hari Gawai kali ini tanpa mendirikan ‘Ranyai’ di rumah panjang iaitu hiasan pohon yang didirikan di tengah-tengah ruai – ruang khas yang dibina mengikut struktur istimewa sesebuah rumah panjang.
“Biasanya, ‘Ranyai’ akan dihasilkan daripada pokok pisang. Tetapi, tahun ini, kami tidak menggunakan ‘Ranyai’ untuk menyambut Hari Gawai sebab agak susah untuk mendapatkan pokok pisang di kawasan bandar, di samping mematuhi arahan PKPB yang tidak menggalakkan orang awam untuk keluar tanpa alasan yang munasabah.” Katanya kepada SOSCILI.
Apa yang pasti, walaupun Hari Gawai disambut dengan penuh sederhana pada tahun ini, tetapi baginya cukuplah sekiranya perayaan tradisi ini tetap dihormati.
3. Menyanyi lagu Gawai dan menari bersama rakan-rakan – Jowena
Pelaksanaan PKPB juga nampaknya dah menghalang seorang pelajar Universiti Malaya (UM), Jowena dari pulang ke kampung halaman. Hal tu juga membuatkannya tak dapat menikmati hidangan lazim setiap kali tibanya Hari Gawai, seperti daun ubi, pansuh ayam , daging khinzir panggang dan lemang. Ini kerana, masakan ini sukar didapati di sini dan kekangan alat untuk memasaknya.
Tambah Jowena, selalunya seminggu sebelum sambutan Gawai akan ada pelbagai aktiviti, termasuklah seperti pertandingan ratu cantik atau ‘Dayung Sangon’ dalam bahasa Bidayuh. Selain itu, mereka juga biasanya akan berkumpul bersama-sama masyarakat kampung dan menari dengan iringan ‘live band’. Acara ini berpanjangan selama seminggu.
Walaupun begitu, ia tak menghalangnya dari menyambut Hari Gawai dan Kaamatan bersama rakan-rakan di sini. Sehari sebelum Gawai, Jowena ada mengunjungi rumah kawannya di Bangsar yang turut menyambut Hari Kaamatan.
“Kami sekawan masih boleh menyanyikan lagu Gawai dengan iringan gitar dan menari. PKPB hanya mengurangkan kemeriahan di Hari Gawai.” – Katanya kepada SOSCILI.
4. Sambutan melalui teknologi sahaja – Gary Munau
Manakala Gary yang bekerja di Kuching pula hanya menyambut perayaan Gawai dalam talian bersama keluarga yang berada di Bintulu, 12 jam perjalanan melalui jalan darat.
“Tahun ini agak berbeza, tak dapat nak balik kampung sebab masih dalam PKPB. Tapi apapun kita kena patuh dgn pkpb kerana ianya merupakan langkah yg baik untuk semua.Tahun pertama tak bergawai bersama, sama juga dengan sambutan Hari Raya. Namun, melalui teknologi kita dapat berhubung dengan keluarga semua… ” – Gary Munau, Pegawai Perhubungan Awam
Dan bila ditanya tentang makanan perayaan Gawai, rupanya, tak jauh beza dengan Hari Raya dan Tahun Baru Cina,
“Kalau gawai usually kita ada lemang, pansuh ayam, kuih tradisional (kuih jala, penyaram, kuih sepit).”
Perayaan kita dahulu, tidak akan sama lagi seperti dulu
Salah seorang warga Sarawak yang kami hubungi, Jowena tetap berharap dan berpesan supaya tradisi tetap dipelihara tidak kira di mana kita semua berada. Baginya, PKPB tidak menghalang sambutan Hari Gawai, tapi ia haruslah disambut berdasarkan SOP yang ditetapkan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan ramai. Kami tutup artikel ni dengan serangkap pantun dari Sarawak Voice.
Nembiak mit anang belandak bak ruai
Urang tuai duduk berami bersimpoh
Hari Gawai ari besai
SOP kitai patut dipatuh
- 145Share sekarang!
- Email1
- Facebook144
- Share