- 1.3KShare sekarang!
- Email25
- Facebook1.3K
- Share
(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
Bila cakap pasal penambakan tanah, antara negara paling popular buat benda tu adalah Singapura. Tapi rupa-rupanya, Malaysia juga tak lama lagi akan buat benda sama.
Sebabnya, baru-baru ni projek penambakan tanah untuk buat tiga buah pulau buatan di perairan selatan Pulau Pinang dah dapat persetujuan pelaksanaannya oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).
Projek yang dikenali sebagai rancangan Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) ni sebenarnya dah lama menimbulkan kontroversi. Tapi sebelum kita buat apa-apa kesimpulan, rasanya lebih baik untuk kita kenal dulu apa dia projek PSR ni.
Pulau Pinang nak buat 3 pulau dan jualnya untuk biaya infrastruktur pengangkutan
Sebenarnya, projek ni mula-mula muncul pada tahun 2015 dan ia adalah sebahagian dari Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang. Pada asasnya, PIP ni adalah satu projek besar-besaran untuk menambah lebuh raya baru dan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang.
Tapi untuk buat semua benda ni, Pulau Pinang kenalah ada duit. Jadinya, di situlah munculnya Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).
Ideanya, kerajaan akan bina tiga buah pulau baru dengan keluasan sekitar 4,500 ekar. Lepas tu, diorang akan jual tiga suku tanah dari pulau-pulau baru ni dan dengan dana tu, diorang akan bina lebuh raya dan LRT. Dengar macam simple je kan?
Tapi… tak lah simple sangat seperti mana yang korang sangka.
Walaupun pada awalnya ia diumumkan pada tahun 2015, tapi rancangan ni dah dapat banyak semakan. Akhirnya, ia dapat juga kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) dengan pelaksanaannya wajib mematuhi 18 nasihat yang MPFN tetapkan. Malah sebenarnya, kerajaan Pulau Pinang dah sedia untuk minta Kerajaan Persekutuan biaya projek PIP dan LRT ni, kalau rancangan bina pulau tu ditolak.
Pihak yang bertanggungjawab untuk laksanakan projek penambakan ni adalah Konsortium SRS, hasil usaha sama 60:20:20 antara Gamuda, Ideal Property Development Sdn Bhd dan Loh Phoy Yen Holdings, juga termasuklah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Penambakan ni pula dijangka akan menelan kos sebanyak RM4 bilion (dilaporkan pada tahun 2018).
Untuk menampung kos pengangkutan Pulau Pinang yang bukannya sikit, menurut laporan, kerajaan Pulau Pinang dijangkakan akan menjual lebih kurang RM70 bilion nilai tanah bila tiga pulau baru dibina nanti. Macam mana boleh sampai angka tu, kitorang tak tahu lah, sebab kitorang ni bukan pakar.
Tapi nampaknya, diorang menjangkakan tanah tu akan dijual pada harga RM200 per kaki persegi dan nilai tu akan meningkat dari tahun ke tahun. Dengan anggaran kos PIP mencecah RM46 bilion, diorang juga harapkan yang jualan tanah tu boleh menampung lebih dari kos rancangan pengangkutan tu.
Tiga pulau tu juga akan ada tujuan dan kegunaan yang berbeza, iaitu:
- Pulau A: kebanyakannya untuk kawasan industri
- Pulau B: campuran komersial dan pejabat pentadbiran negeri
- Pulau C: kebanyakannya digunakan untuk pembinaan bangunan kediaman
Tapi walaupun projek ni dapat kelulusan dari kerajaan persekutuan, tak semua orang suka dengan rancangan penambakan ni, kerana…
Ramai yang kata projek bina pulau baru ni akan musnahkan alam sekitar
Dua minggu lepas kerajaan Pulau Pinang umumkan projek PSR ni akan dilaksanakan, banyak NGO dan masyarakat Pulau Pinang mula suarakan kebimbangan diorang. Pada 20 Mei lepas, dilaporkan – 15 NGO dah berkumpul untuk minta kerajaan Pulau Pinang cari jalan lain selain buat projek PSR.
Beberapa hari lepas tu pulak, 45 buah NGO dah bergabung hantar memo ke pejabat Tun Mahathir, dengan minta supaya projek PSR ni dibatalkan. Malah, ada juga petisyen online, yang minta benda sama dan dah ada 30,000 tandatangan (setakat artikel ni ditulis).
Antara sebab utama kenapa diorang menentang projek PSR ni adalah bimbang dengan kesannya terhadap alam sekitar. Macam – kemusnahan habitat pantai, penambahan 3.2 juta tan pelepasan karbon, kemusnahan pantai rekreasi dan pencemaran terumbu karang berhampiran Pulau Kendi.
Ada juga yang mendakwa keseluruhan projek PSR dan PIP ni memang dah sedia salah sejak ia bermula lagi. NGO-NGO dan petisyen kata, kerajaan Pulau Pinang tak telus dengan projek ni dan tak ada alasan yang benar-benar kukuh untuk membolehkan rancangan penambakan tu.
Satu lagi masalahnya adalah hampir 5,000 nelayan di kawasan berdekatan akan terjejas dengan projek ni. Malah, ribuan lagi nelayan di Perak pun akan terjejas sama kerana perlombongan pasir.
“Sekitar 10,000 komuniti nelayan di Pulau Pinang dan Perak akan terkesan dengan projek ini dan mereka ini adalah dari kumpulan B40, jadi jika kerajaan benar-benar serius untuk membantu golongan B40, mengapa musnahkan mata pencarian mereka? PSR menyokong pemaju, bukannya B40 atau nelayan.” – Meenakshi Raman, Sahabat Alam Malaysia. Dipetik dari Malay Mail.
Jadinya, desakan diorang untuk tamatkan projek PSR bukannya desakan kosong tak bersebab. Tapi kalau kita tengok hal ni lebih awal lagi, ini bukanlah kali pertama Pulau Pinang buat penambakan laut.
Pada tahun 1970-an, diorang dah buat penambakan melibatkan 1,000 ekar tanah. Tapi projek terbaru ni lagi membimbangkan, sebab ia dikatakan akan memberi kesan terhadap hidupan laut Pulau Pinang dan para nelayan.
Pada tahun 2006, projek penambakan Seri Tanjung Pinang bermula. Ia dah membuatkan terbinanya banyak kondo mewah di pinggir pantai Pulau Pinang, tapi juga membuatkan kepupusan ikan-ikan yang secara bergenerasi menjadi sumber nelayan bergantung.
“Sebelum ni, di sini terdapat banyak ikan. Sekarang, tidak ada apa-apa.” – Mohd Ishak, nelayan Pulau Pinang.” – Dipetik dari Guardian.
Dengan adanya garis di antara pembangunan untuk masa depan dan pemuliharaan, adakah ada jalan untuk pelan penambakan Pulau Pinang?
Nampaknya, kita kena tengok negara lain dalam hal ni.
Projek penambakan Singapura baru-baru ni adalah salah satu daripada tapak pelupusan terhijau di dunia
Baiklah, lepas baca aduan NGO-NGO yang bimbang dengan kesan ekologi akibat dari penambakan tanah ni, mungkin korang akan terkejut dengan satu projek dekat selatan ni yang mana projek penambakan diorang cukup mesra alam sekali. Sampaikan, ia dibuka untuk orang ramai buat aktiviti rekreasi – sementara ia juga digunakan sebagai tapak pelupusan!
Ya itulah dia. Pada tahun 1990-an, Singapura dah hadapi kekurangan tempat pelupusan sampah, dan disebabkan negara ni pakar dalam penambakan tanah, maka diorang pun cuba selesaikan isu ni, tapi dalam masa sama menjaga alam sekitar. Jadi, diorang dapat idea untuk bina tapak pelupusan luar pesisir dengan menambak semula tanah antara Pulau Semakau dan Pulau Sakeng, dan menjadikannya sebagai tapak pelupusan sampah.
Dalam merekabentuk tapak tu – jurutera, ahli akademik dan kontraktor semuanya bekerjasama untuk buat penyelesaian yang mungkin paling inovatif – untuk menyimpan sampah di tapak pelupusan dan tidak ke laut.
Maka, diorang pun bina perimeter sejauh 7km di sekitar pulau yang baru digabungkan, membinanya dengan “impermeable membranes”, tanah liat dan batu. Lapisan bahan super tebal ini menyimpan semua sampah dan bahan pencemar di dalam tapak pelupusan, manakala mana-mana air yang tercemar akan dirawat dengan loji di pulau tu.
Lebih utama dari tu, kawasan ni juga ada banyak terumbu karang yang berdekatan. Maka, dibina skrin di sekitar terumbu karang dan rumput laut untuk melindungi hidupan laut ketika pembinaan tapak itu. Tapak Pelupusan Semakau juga cukup hijau, sampaikan pihak berkuasa negara tu membenarkan orang datang dan buat aktiviti rekreasi di sana.
“Selain menjadi tapak pelupusan bersih dan bebas bau, Semakau juga menjelajah kawasan ekosistem semulajadi seperti bakau, rumput laut, dan terumbu karang, serta kepelbagaian biodiversiti yang kaya dari tapak sulaiman sampailah burung heron.” – Grace Chua, editor of Centre for Livable Cities
Jadinya, korang mungkin dapat fahamlah kenapa Semakau ni dipanggil oleh New Scientist, sebagai – ‘Garbage of Eden’.
Tapi bukanlah nak kata yang Singapura lebih baik dari kita, tapi sebaliknya benda ni nak tekankan peri pentingnya pendekatan yang bersih, lebih hijau untuk buat penambakan tanah, dan dalam masa sama dapat menyelamatkan dan memelihara hidupan laut.
Sementara tu, adalah lebih baik untuk kita jaga keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam semulajadi, dan semoga kita tak lupa antara kedua-duanya ini.
- 1.3KShare sekarang!
- Email25
- Facebook1.3K
- Share