Program Young Art Entrepreneurs Kohort Ke-11

Balai Seni Negara meneruskan komitmen dalam memperkasa  ekosistem seni dan industri kreatif tempatan menerusi penganjuran Program Young Art  Entrepreneurs (YAE!), yang kini memasuki Kohort ke-11. Program YAE! dirangka bagi  melahirkan usahawan muda seni yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya  saing, dengan memberi fokus kepada keupayaan menjana pendapatan secara mampan  melalui karya, produk dan perkhidmatan kreatif. 

Inisiatif keusahawanan seni yang komprehensif ini dilaksanakan pada tahun ini melalui  kerjasama strategik bersama Malaysia Design and Development Centre (DDEC). YAE! Kohort ke-11 menampilkan penyertaan seramai 20 peserta daripada pelbagai latar  belakang yang mengikuti sesi pembelajaran keusahawanan secara intensif. Bermula  pada September 2025, program ini berlangsung selama empat bulan, merangkumi  modul pembelajaran intensif, pembangunan produk kreatif, serta pendedahan kepada  pasaran sebenar.  

Program ini seterusnya diperkukuh dengan sesi mentorship selama tiga bulan, bertujuan  membimbing peserta dalam memperhalusi strategi perniagaan, penjenamaan, dan  pemasaran. Menariknya, kohort kali ini turut menggabungkan penyertaan peserta  baharu serta alumni YAE! bagi mewujudkan perkongsian perspektif yang lebih inklusif  dalam pembangunan produk dan keusahawanan seni. 

Bagi memeriahkan penganjuran Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) tahun ini,  Balai Seni Negara akan menganjurkan Kontena Seni, Warna & Warisan di Art Depot,  Balai Seni Negara, yang berlangsung dari 20 Disember 2025 hingga 1 Februari 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Sepanjang tempoh penganjuran, pelbagai  bengkel seni dan aktiviti kreatif akan diadakan bagi memberi pendedahan, pengalaman  pembelajaran serta penglibatan langsung kepada pengunjung. 

Penganjuran ini turut diserikan dengan YAE! Open Day, pada 20 dan 21 Disember  2025, yang berfungsi sebagai platform utama bagi peserta mempamer dan memasarkan  hasil seni serta produk keusahawanan mereka kepada umum. Selain itu, ia turut menjadi  wadah interaksi secara langsung antara peserta dengan orang ramai, pembeli,  pengumpul seni serta pemain industri kreatif, sekali gus memperluas jaringan dan  peluang pasaran mereka. Program ini seterusnya akan diakhiri dengan Final Show yang  dijadualkan berlangsung pada Januari 2026.  

Melalui penganjuran YAE!, Balai Seni Negara berharap program ini dapat menjadi  pemangkin kepada pembangunan bakat usahawan muda seni, seterusnya  menyumbang kepada pertumbuhan industri seni dan kreatif negara secara berterusan. Justeru, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Kontena Seni, Warna &  Warisan serta YAE! Open Day di Art Depot, Balai Seni Negara.  Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman  sesawang www.artgallery.gov.my.