Orang Islam dan Yahudi berpuasa di hari Asyura? Ini fakta-fakta bulan Muharram

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 21 September 2017

Pada hari esok (9 Ogos 2021) ni, umat Islam akan menyambut tahun baru iaitu bersempena dengan 1 Muharram 1442 hijrah yang kita kenal juga sebagai Maal Hijrah atau Awal Muharram. Ini bermakna, dah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad SAW, berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Walaupun Maal Hijrah ni tahun baru, tapi sambutannya taklah semeriah sambutan tahun baru masihi yang siap dengan konsert dan bunga api bagai. Kita selalu akan sambut Maal Hijrah dengan bacaan doa akhir tahun (untuk tahun sebelumnya) dan doa awal tahun.

Logo Maal Hijrah Malaysia. Imej dari vectorise.net

Tapi, rasanya banyak lagi sejarah dan perkara yang kita boleh belajar dari bulan pertama umat Islam ini, antaranya…

1. Kenapa Muharram jadi bulan pertama, sedangkan nabi berhijrah pada bulan Rabiul Awal?

Kalau kita teliti sejarah, masyarakat Arab pada mulanya tak ada kiraan tahunan dan hanya ada kiraan bulan. Nama-nama bulan itulah yang kita kenal sampai ke hari ni, macam: Muharram, Safar, Rejab, sampailah akhir.

Jadinya, pada zaman Khalifah Saidina Umar al-Khatab, orang mula cadangkan kepada beliau supaya dibuat kalendar kiraan tahunan untuk umat Islam. Menurut sejarawan Islam, Imam Ibnu Kathir – Saidina Umar masa tu bersetuju mulakan tahun Islam dengan tahun bermula hijrah Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah. Lepas tu ada pula beberapa cadangan pasal bulan mana yang patut dimulakan dalam kalendar Islam.

“Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan Muharram kerana ia bulan yang orang ramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram’. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. – al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam Ibnu Kathir.

Perjalanan hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Yathrib (Madinah). Imej dari education.microsoft.com

Jadinya, kita jangan terkeliru di antara tahun nabi berhijrah dan bulan nabi berhijrah. Ini kerana, sejarah mencatatkan Nabi berhijrah pada bulan Rabiul Awwal. Maknanya, bulan Muharram bukan bulan Nabi berhijrah. Oleh itu, maklumat yang tepat adalah:

  1. Muharram: Bulan pertama kalendar hijrah
  2. Rabiul Awwal: Bulan Rasulullah SAW berhijrah
  3. Kalendar hijrah: Bermula pada tahun Rasulullah SAW berhijrah

Pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama dibuat oleh Saidina Umar dan ia dipersetujui oleh semua. Dengan itu, sumbangan Saidina Umar tak dapat kita nafikan dalam memperkenalkan kalendar Islam yang kita guna sehingga ke hari ini.

“Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan Muslim, tetapi meniru bukan Muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman.” – Dr Asri Zainul Abidin. Dipetik dari drmaza.com

2. Kenapa orang Islam dan Yahudi berpuasa pada hari Asyura?

Ibnu Abbas telah meriwayatkan yang bermaksud:

“Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram), lalu baginda bertanya: ‘Apakah ini?’. Mereka menjawab: ‘Hari ini adalah hari yang baik, di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa’.

____

Lalu baginda SAW bersabda: ‘Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu’. Maka baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa.” – Riwayat Imam Bukhari.

Masyarakat Yahudi menyambut 10 Muharram dengan sambutan Yom Kipur bersempena apabila Allah menyelamatkan Nabi Musa A.S dan Bani Israel. Imej dari middbeat.org

Menurut Dr Maza, dah berlaku banyak perbincangan oleh para ulama tentang hadis ini. Antaranya adalah terbukti Nabi mengikut cara yang baik, sekalipun ia datang dari Bani Israel. Bagaimanapun, ada juga beberapa hadis yang kata Nabi kadang-kadang berpuasa dan kadang-kadang tak berpuasa di hari Asyura (10 Muharram) selepas kefardhuan puasa di bulan Ramadhan.

“Aisyah r.a berkata: Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari Asyura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari Asyura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa).” – Riwayat Bukhari & Muslim.

Tapi, tetap ada hadis yang menceritakan kebaikan puasa Asyura seperti:

“Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari Asyura, lalu baginda SAW menjawab: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu.” – Riwayat Imam al-Tirmizi.

Suasana persiapan untuk berbuka puasa di Mekah. Imej dari gomuslim

Bagaimanapun, pada tahun akhir sebelum kewafatan Rasulullah SAW, ada yang kata kepada Nabi yang puasa ini nampak sama macam perbuatan orang Yahudi. Maka Nabi bersabda:

Daripada Ibn Abbas r.a berkata:

Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura, baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.

___

Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9. Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” – Riwayat Imam Muslim.

Masjid Quba, masjid pertama umat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah. Imej dari Ziyarats.

Oleh itu, menurut pendapat Imam Syafie dan ulama-ulama dalam mazhabnya, umat Islam disunatkan untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Sebabnya, Nabi pernah berpuasa pada 10 Muharram dan berniat untuk berpuasa pada 9 Muharram (sebelum wafat). Imam Nawawi (ulama mazhab Syafie) pernah berkata:

“Sebahagian ulama berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10″. – Imam Nawawi.

Jadinya, rebutlah pahala untuk di bulan Muharram ini. Jangan tahu nak makan bubur Asyura je…

3. Dari mana datangnya asal usul bubur Asyura?

Selain dari puasa Asyura, bubur Asyura juga antara makanan yang selalu muncul bila sampainya tarikh 10 Muharram. Bubur Asyura ni adalah sejenis makanan yang dibuat dari pelbagai campuran herba. Selalunya, bubur Asyura ni dibuat di masjid sebelum diagihkan kepada para ahli kariah atau para penduduk.

Malah, boleh dikatakan ia dah jadi tradisi masyarakat Melayu sejak dulu lagi. Tapi ada juga yang kaitkan tradisi buat bubur ni datang dari sejarah Nabi Nuh A.S. Tapi betul ke?

Menurut Dr Abu Anas Madani, cerita tentang Nabi Nuh tu datang dari kitab yang ditulis oleh beberapa orang ulama (termasuk ulama Nusantara). Cerita begini:

“…ketika mana bahtera Nabi Nuh A.S. berlabuh di Bukit Juudi pada ‘Hari Asyura’, maka berkatalah ia kepada umatnya: ‘Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih’.

____

Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S: Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang’.”

Kak, kamera kat depan ni. Imej dari jpnin.gov.my

Dalam penilaian Dr Abu Anas Madani, cerita ini memerlukan kajian dari mana sumber asalnya. Tapi nampaknya, beliau masih lagi belum jumpa sebarang petunjuk tentang kesahihan cerita ini.

“Jika kisah ini sahih sekalipun, dan kita menerima kaedah ‘Syarak sebelum kita adalah syarak kita juga’, persoalannya adakah makanan yang dibuat oleh Nabi Nuh A.S. adalah satu bentuk jamuan sempena 10 Muharram, atau ia adalah makanan biasa yang berkebetulan pada tarikh 10 Muharram?

___

… Jika benar kisah ini, dan betul istinbat orang Melayu bahawa disunatkan membuat bubur berdasarkan cerita ini, mengapa tidak ada anjuran daripada Nabi SAW atau amalan para sahabat tentang perkara ini?” – Dr Abu Anas Madani.

Tradisi bubur Asyura di Banjarmasin, Indonesia. Imej dari kalsel.prokal.co

Selain itu, ada juga yang cuba sandarkan buat bubur Asyura ni dengan hadis-hadis yang galakkan kita supaya menghulur dan berkongsi kesenangan dengan kaum keluarga pada hari Asyura.  Tapi nampaknya, kedudukan hadis itu daif dan palsu.

“Cuma, membuat bubur Asyura itu kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Asyura, buatlah bubur Asyura. Tetapi elakkan  kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.” – Dr Abu Anas Madani.

Selain itu, tradisi buat bubur Asyura juga baik dalam mengeratkan hubungan masyarakat. Tapi, selain dari buat bubur Asyura, tak terlepas pandang juga kita dengan peristiwa karbala yang disambut oleh orang Syiah.

4. Bulan Muharram juga adalah bulan haram berperang

Dalam kalendar Islam, kita ada 12 bulan dan 4 dari bulan itu dipanggil sebagai ‘bulan haram’. Empat bulan haram itu adalah Zulhijjah, Zulkaedah, Muharram dan Rejab. Maksud bulan haram adalah peperangan diharamkan di dalam bulan-bulan tersebut.

Krisis antara Palestin dan Israel yang tak pernah selesai sejak 1948. Imej dari vox.com

Menurut Maulana Asri, konsep bulan haram ini sebenarnya dah dipakai sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW lagi. Ceritanya, orang Arab jahiliyah dulu asyik berbalah je dan diorang ni pulak tak bergaduh sikit-sikit tapi kalau gaduh tu mesti nak perang. Perang tu pulak, tak pernah habis dan asyik bersambung je.

“Jadinya, mereka ni letih juga. Mereka ni pun buat peraturan, dalam bulan-bulan (tertentu) ni biar aman (tak boleh berperang). Jadinya, bila Islam datang, ia balik kepada yang asal dan (Islam) terima bulan-bulan haram ini…

____

Islam memang nak aman pun, maka ia diterima. Kalau boleh, sepanjang tahun aman lagi baik. Hal ini bermakna, Islam tak menolak semuanya, kalau ia baik maka ia boleh diterima.” – Maulana Asri Yusof.

Udah. Malas nak perang!!! Imej dari Giphy.

Menurutnya lagi, walaupun bulan-bulan ni diharamkan berperang, tapi kalau kita diserang dulu, maka kita boleh menyerang balik untuk mempertahankan negara. Syaratnya, bukan pihak kita yang memulakan perang tu, sebab di bulan haram kita diharamkan memulakan peperangan.

5. Peristiwa Karbala yang dikaitkan dengan hari Asyura

Berbeza dengan orang Malaysia yang buat bubur Asyura, masyarakat Syiah nampaknya sambut hari Asyura dengan memperingati peristiwa Karbala. Peristiwa ini dipercayai berlaku bila Saidina Hussain (cucu Rasulullah) yang juga anak Saidina Ali terkorban di tempat yang bernama Karbala, Iraq pada 10 Muharram (Hari Asyura). 

Makanya, wujudlah golongan manusia yang sambut hari Asyura dengan cara yang agak ekstrem seperti mencederakan diri sendiri, menangis, meronta, berteriak dan sebagainya. Menurut kepercayaan Syiah, tarikh 10 Muharram setiap tahun adalah hari berkabung untuk menunjukkan kesedihan atas kematian Saidina Hussain.

Imej dari afstudeerconcept.wordpress

Menurut mereka lagi, Yazid (Khalifah ke-2 Bani Umayyah) adalah orang yang bertanggungjawab membunuh Saidina Hussain. Bagaimanapun, menurut pendakwah dan pengkaji ajaran Syiah, Maulana Asri Yusof – perkara tu sebenarnya tak terbukti.

“…Yazid tidak terlibat dalam pembunuhan Saidina Hussain dan ia diketahui oleh orang-orang di zaman itu lagi… Anak perempuan Saidina Ali sendiri yang bernama Ramlah telah berkahwin dengan anak Marwan bin al-Hakam (Khalifah Umayyah).

____

Ramai keturunan Saidina Ali, Hussain dan Hassan yang berkahwin dengan keturunan Muawwiyah dan Yazid. Sebab itu tak betul semua ini (dakwaan Yazid membunuh Hussain).” – Maulana Asri Yusof.

Sebaliknya, menurut kajian sejarah, orang Syiah sendiri yang membunuh Saidina Hussain di Kufah. Kumpulan itu kemudiannya dikenali sebagai at-Tawwabun. Mereka ini adalah kumpulan yang mengkhianat dan membunuh Saidina Hussain.

Kesimpulannya, kita sendiri sebagai umat Islam diajar untuk sentiasa bersederhana dan menjaga batas dalam semua tindakan. Kerana Nabi sendiri tak pernah pun menyuruh kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang melampaui batas.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.