- 22Share sekarang!
- Facebook20
- Twitter0
- LinkedIn2
- Email0
Mungkin korang pernah nampak orang India pecahkan kelapa, sama ada masa perayaan Thaipusam, kat dalam drama TV, ataupun masa buka kedai atau rasmikan kereta baru.

Kalau korang India, rasanya dah tahu dah apa ni. Kalau bukan, mungkin korang akan fikir, “Jap, kenapa dia hempas buah kat atas jalan? Kuat pulak tu…”
Sebenarnya inilah satu ritual yang sangat dihormati dalam komuniti Hindu. Kelapa selalunya dipecahkan sebelum berlakunya perkara-perkara penting atau besar. Macam perkahwinan, peperiksaan dan ujian.
Dan jangan terkejut, sebab Kamala Harris pun pernah buat. Pada tahun 2010, beliau suruh makciknya tolong pecahkan kelapa sebelum dia bertanding pilihanraya kat Amerika. Dan lepastu beliau menang sebagai Peguam Negara California.
Tradisi pecah kelapa dalam budaya Hindu bukan sekadar amalan biasa, tetapi mempunyai makna yang mendalam dan sejarah yang panjang. Untuk fahamkan dengan lebih lanjut, kita perlu selami asal-usul dan simbolisme di sebalik amalan ni.
Soalan yang paling relevan la, macam mana tradisi ni bermula?
Kelapa ganti korban manusia dan haiwan
Zaman Veda kuno dulu, bila orang Hindu buat upacara, bukannya sekadar persembahkan bunga atau buah, tapi juga melibatkan korban. Selalunya binatang yang dikorbankan, tapi ada juga beberapa kes korban manusia! Ini tanda kesyukuran, sebab korban (digelar yagna atau yajna) dilihat sebagai simbol paling besar patuh kepada tuhan.
Lagi bernilai korban tu, lagi serius doa seseorang tu terhadap tuhan… Jadi kalau nak minta hujan turun, atau nak hasil tanaman yang berkualiti, diorang akan standby dengan seekor kambing (atau lebih 😮)
Dengan perubahan zaman, falsafah seperti ahimsa (tanpa kekerasan) mula jadi teras dalam agama Hindu. Maka bermulalah pencarian cara untuk mohon berkat tanpa menumpahkan darah.
Amalan pecahkan kelapa yang kita kenal hari ni dikatakan bermula dari Adi Shankaracharya (aka Adi Shankara), seorang cendekiawan Veda dari Kerala. Kata orang, masa dia tengah cari alternatif yang tak ganas sangat, dia ternampak sebiji kelapa dan terus terfikir, “Eh, nampak macam tengkorak manusia ni.” Tak tahu macam mana fikiran itu muncul, tapi terus dia ambil dan praktikkan. Dan jadilah kelapa sebagai simbol baru dalam ritual.
Menurut Adi Shankaracharya, kelapa yang bulat dan berbulu itu “cukup syarat”.
- Kulit yang keras = tengkorak manusia.
- Isi putih = tubuh manusia,
- Air di dalamnya = darah, nyawa atau roh.
Macam mana pun, bukan semua penganut Hindu menerima tradisi kelapa ni. Di tempat seperti Nepal, korban haiwan masih menjadi budaya, terutamanya ketika perayaan besar seperti Dashain dan Gadhimai.
Still, kita akan terfikir juga, adakah kelapa dianggap sebagai “buah suci” semata-mata sebab bentuknya macam tengkorak? Sebenarnya ada sebab lain yang jadikan kelapa lebih tinggi martabatnya berbanding buah lain…
Kelapa digelar “buah Tuhan”
Mungkin masa kecil, ada yang merasa rambut berminyak sebab mak atau nenek rajin urut rambut korang guna minyak kelapa. Atau korang mungkin trauma tulis karangan panjang tentang 101 kegunaan kelapa masa kat sekolah. Tolak tepi jap semua tu, sebab kelapa ni penuh dengan simbolisme suci.
Okay, mula-mula kita kena fahamkan dulu tentang Tridev, iaitu tiga entiti utama dalam agama Hindu: Brahma (pencipta), Vishnu (pemelihara) dan Shiva (pemusnah).
Ada satu cerita di mana Tuhan Vishnu turun ke dunia dengan tiga hadiah istimewa untuk manusia: Dewi Lakshmi sebagai simbol kekayaan dan kesejahteraan, seekor lembu suci bernama Kamdhenu yang mampu memenuhi segala keinginan, dan sebatang pokok kelapa. Ye, kelapa.
Bukan sekadar pokok biasa, ramai percaya pokok ni membawa intipati Vishnu dan Lakshmi. Dari sini, pokok kelapa jadi simbol kepada kemurnian, kesuburan dan kesinambungan hidup. Malah juga dikenali sebagai “sriphal” (buah Tuhan), dan sering dijadikan lambang bagi Tridev: Brahma, Vishnu dan Shiva.
Apa yang menarik lagi, setiap bahagian kelapa ada makna tersendiri. Kulit luarnya yang keras melambangkan sifat duniawi dan ego manusia, macam cengkerang yang menghalang pertumbuhan rohani. Tapi bila dipecahkan, isi putih dalam tu menggambarkan hati sebenar seseorang yang suci dan tulus, bersih daripada segala niat negatif. Macam bentuk sebenar manusia lah, ikhlas dan merendah diri.
Boleh kata, kalau pecahkan buah kelapa, sama macam pecahkan ego seseorang dan persembahkan diri yang sebenar kepada tuhan.
Kelapa lindungi korang, dan jaminan kejayaan
Dikatakan dalam Purana Ganesh, suatu ketika dulu, dewa Ganesha pecahkan kelapa dan persembahkannya kepada Tuhan Shiva untuk minta diberi kebijaksanaan dan juga minta ditunjukkan jalan yang lurus. Dari situ, bermulanya tradisi pecah kelapa dalam penyembahan Ganesha.
Kenapa? Sebab Ganesha adalah dewa penghapus rintangan dan penyedia kejayaan sebelum apa-apa permulaan baru. Sebab tu orang pecahkan kelapa sebelum buat apa-apa yang besar, macam beli kereta baru, atau nak dapat A+ untuk ujian.
Biasanya semasa puja, kelapa dihias dengan kemas, dioles bahan wangi seperti kayu cendana, abu suci (vibhuti), dan kumkum merah, kadang-kadang ditambah kalungan bunga kecil. Lepastu, pecahkannya dengan niat baik, samada niat untuk buang ego, bersihkan diri, atau tunjukkan hormat.
Seterusnya, ada beberapa cara nak pecahkan kelapa:
- Pegang kelapa dengan tangan dan hempas ke lantai: biasa berlaku semasa perarakan Thaipusam, penganut Hindu ambil kelapa dan hempas kuat ke atas jalan simen.
- Atas permukaan batu/guna tukul: kelapa diletak atas permukaan berbatu, pastu pukul dengan tukul sampai pecah
- Bersama doa/ucapan: sami bacakan doa sebelum kelapa dipecahkan
Kalau kelapanya tak pecah macam diharapkan, sama ada pecah melintang atau tak retak dengan sempurna, sorry cakap, kena ulang guna kelapa lain. Pecah sempurna bermaksud sembahan diterima sepenuhnya oleh dewa, jadi tak elok ambil risiko. Malah di beberapa kuil, siap ada tempat khas disediakan dan kalau tak ada, pecahan biasanya dilakukan berdekatan pintu masuk kuil.
Air dalam kelapa pula dijadikan ‘air suci’, seperti holy water, yang disembur atau dipercikkan ke atas orang, ruang, dan barang. Ramai percaya air ini mampu membersihkan segala aura negatif atau nasib malang di sekeliling.
Okay, lepas pecah segala kelapa dan serpihnya terbang sana-sini, apa jadi lepas tu? 🤔
Kelapa yang dipecahkan tu boleh buang? Kan kan?
Untuk si penulis yang memang tak tahu apa-apa dan baru belajar pasal ni memang fikir, “Okay dah setel, balikla apa lagi,”
Dah tu kenapa salah? Sebab cerita ni tak habis lagi. Dalam kenyataan media Consumers Association of Penang (CAP) pada tahun 2023, diorang tegaskan bahawa isi kelapa dan airnya ini patut dianggap sebagai ‘prasadam’ (makanan suci). Isi kelapa boleh dimakan mentah, dijadikan masakan, atau dikongsi dengan orang lain. Keseluruhan upacara tu patut dilakukan dengan penuh hormat, maksudnya bukan setakat pecahkan lepastu blah macam takde apa berlaku.
Masa sambutan Thaipusam di Pulau Pinang, semua pecahan kelapa takkan ditinggalkan macam tu je. Akan ada kumpulan sukarelawan yang bersihkan semuanya. Selain tu, sejak dari 2019, pasukan sukarelawan di Batu Caves bersihkan dan kumpul sisa buah dan dihantar ke “bank buah”.
Lebihan buah-buah kelapa ni diserahkan kepada pertubuhan seperti Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) untuk digunakan sebagai makanan haiwan terbiar. Tak membazir pun.
Lagi satu, CAP dah pesan kat semua orang yang buat tradisi ni. Satu kelapa je dah cukup tau, tak perlu lebih untuk lebih berkat 😉 Yang penting masa buat tu, hati kena ikhlas.
Kelapa tetap jadi buah yang power
Ni lah sejarah disebalik pengganti suci kepada korban kuno, yang akhirnya berubah jadi amalan yang mesti sebelum setiap peristiwa penting dalam hidup. Dari majlis kahwin, peperiksaan, nak masuk rumah baru sampailah rasmikan kereta baru.
Sepanjang zaman, ritual pecah kelapa bukan lagi hanya benda yang dibuat di kuil, tapi dah diserap masuk ke dalam kehidupan seharian. Caranya mungkin lebih moden, tapi tujuannya masih sama: minta berkat, buang halangan, mulakan lembaran baru.
- 22Share sekarang!
- Facebook20
- Twitter0
- LinkedIn2
- Email0