Menentang Tun M demi Bahasa Melayu? Ini kisah perjuangan A. Samad Said

Dalam hal ehwal pendidikan negara, kita boleh lihat terdapat pelbagai perubahan yang terjadi. Perkara macam tu terjadi disebabkan pelbagai perkara dan antara sebab yang terbesar adalah pertukaran Menteri Pendidikan dan juga kerajaan persekutuan. Hal ini kerana, setiap pihak mempunyai idea mereka tersendiri dalam memajukan sistem pendidikan negara.

Banyak benda yang telah diperdebatkan tak kira kat Parlimen ke, kat meeting kementerian ke, semua keputusan yang dibuat oleh ‘orang politik’ seakan-akan tidak tetap dan hanya berunsur ‘nak buat nama’. Disebabkan itu, ramai tokoh dalam pendidikan menolak keputusan yang dibuat oleh orang politik ni. Ini merupakan kisah A. Samad Said memperjuangkan Bahasa Melayu sehingga menentang Tun M.

Dasar PPSMI yang membangkitkan kemarahan sasterawan negara!

Semasa perhimpunan bantah PPSMI di KL. Imej dari Muslimeen United

A. Samad Said, siapa je yang tak kenal dengan legenda yang masih hidup ni. Dia merupakan sasterawan yang terkenal dan sangat berpengaruh dalam negara ni. Yang menariknya, dia dah pun ada dalam arena sastera ni sejak 1976 lagi dan mostly masih lagi belum lahir masa tu!

Kalau nak cerita pasal kejayaan A. Samad Said ni sangatlah banyak, mari kitorang cerita pula macam mana dia cuba menentang kerajaan dulu-dulu. Pada tahun 2009, kerajaan telah menukar dasar pendidikan mereka dengan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Masa ni depa masih bincang lagi. Imej dari Kembara Bahasa

Untuk makluman korang semua, sebelum munculnya dasar PPSMI ni. Mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah telah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Namun, itu semua berubah selepas kerajaan memutuskan untuk mewujudkan PPSMI dengan alasan ingin mengubah lanskap pendidikan negara.

Idea tu tak diterima baik oleh orang ramai, lebih-lebih lagi sasterawan negara. Ramai yang membantah sebenarnya tapi nama yang paling besar (maybe lah) adalah A. Samad Said. Pada masa itu, dia lantang bersuara dalam menentang dasar PPSMI sehingga ramai yang join sekaki bagi menentang idea baru kerajaan ni.

Dia sebab apa tau, orang Melayu kita ni sangat pantang bila bahasa ibunda diganggu. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan pendidikan negara, ramai berpendapat PPSMI hanya ingin memartabatkan bahasa penjajah dan tidak menjaga kepentingan Bahasa Melayu. Banyak lagi hal yang dibangkitkan oleh mereka yang menentang dasar ni, kira memang serious sangat masalah ni.

Demonstrasi depan Istana Negara yang diketuai pejuang berjanggut putih

Perarakan anti-PPSMI di Masjid Negara. Imej dari Rausyanfikir

Pada 7 Mac 2009, dikatakan seramai 30 ribu rakyat telah berkumpul di Masjid Negara untuk membantah PPSMI. Ia merupakan sebuah perhimpunan anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), korang bayangkan lah betapa besarnya kes ni dah kalau sampai buat gabungan khas untuk jatuhkan dasar kerajaan. Nama lain bagi peristiwa ni adalah Ulangan Perarakan Keranda 152.

Kalau nak diikutkan plan, mereka sepatutnya berarak dari Masjid Negara hingga ke Istana Negara tetapi diberi amaran oleh polis supaya mereka tidak berbuat demikian. Polis hanya membenarkan tujuh orang daripada ahli jawatankuasa GMP untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Mizan Zainal Abidin (ketika itu) di Istana Negara.

Rombongan yang membawa memorandum ke Istana Negara dikatakan dibarisi oleh beberapa nama besar dan salah satunya adalah A. Samad Said sendiri. Rombongan itu bergerak ke istana diiringi oleh polis, sebab masa tu Kuala Lumpur memang kecoh gila kot! Sampaikan penuh lori-lori Federal Reserve Unit (FRU), dikatakan juga banyak gas pemedih mata dilepaskan.

Yang lagi menarik, perhimpunan itu pun telah disertai oleh Yayasan Tamil Kebangsaan dan juga Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong). Macam mana zaman dulu tu kita boleh bersatu dalam perjuangan bahasa, tapi sekarang susah untuk kita lihat perkara begitu terjadi.

Allahyarham Dr. Hassan Ahmad. Imej dari Islamika

” Terdapat dua perkara yang dikemukakan, pertama meminta PPSMI kembali diajar dalam bahasa ibunda masing-masing dan kedua meminta pihak kerajaan meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan,” Dr. Hassan Ahmad, Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petikan dari mStar

Tuntutan yang dibuat tu nampak mudah je kot, takde lah sampai suruh subjek Bahasa Inggeris tu tukar ke Bahasa Melayu juga kan. Mungkin ada juga mereka yang merasakan perjuangan ni sia-sia je, tapi semua tokoh-tokoh sastera negara ada alasan mereka tersendiri tentang perkara itu.

Sebab utama PPSMI ditolak mentah-mentah

Kaum lain pun suruh mansuh PPSMI. Imej dari Jebatmustdie

Kalau kita lihat daripada tuntutan yang dibuat dalam memorandum tu, hanya dua perkara utama yang ditonjolkan. Tapi sebenarnya banyak lagi alasan mengapa PPSMI ni ditolak secara hebat oleh sasterawan negara dan juga rakyat. Pada 5 Mei 2009, A. Samad Said telah melontarkan sebab-sebab penolakan PPSMI bersama seorang lagi sasterawan negara bernama Muhammad Haji Salleh.

Professor Muhammad Haji Salleh. Imej dari bookcafe

Semua itu berlaku pada sidang media di Rumah PENA, Kuala Lumpur. Mereka mengatakan yang kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna Bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Switzerland, India dan Bangladesh yang mengungguli carta anugerah itu.

Seterusnya, kegagalan kerajaan dalam mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai ‘pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca’. Pada masa yang sama, penggunaan Bahasa Inggeris untuk sesuatu bidang itu sendiri telah menciptakan dua darjat yang berbeza.

Contohnya lah kan, yang pertama adalah mereka yang menguasai Bahasa Inggeris dan sains teknologi. Manakala yang kedua adalah mereka yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial, iaitu bidang yang dianggap tak penting dan lebih rendah darjatnya. Namun, kemarahan mereka pun tak berhenti takat tu je.

A. Samad Said dan Muhammad Haji Salleh dikatakan sanggup membuang gelaran rasmi kerajaan (Sasterawan Negara) tu jika keadaan memerlukan (pada masa tu). Itu semua bagi menguatkan lagi bantahan mereka terhadap PPSMI tu sendiri.

Kalau hang berani cuba la! Imej dari Tinta Pendeta

“Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya,” A. Samad Said, Tokoh Sasterawan Negara, petikan dari MalaysiaKini

Pada masa itu juga, A. Samad Said menambah yang kesemua sasterawan negara ‘akan terus berlawan’ dalam memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.

Segala bantahan yang dibuat oleh sasterawan negara dan orang ramai telah membuahkan hasil, semuanya bermula apabila kerajaan bersetuju untuk memansuhkan PPSMI secara berperingkat. Dalam pada itu, kerajaan juga melaksanakan program baharu iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Perjuangan berhasil? Imej dari Blog

Itu semua terjadi selepas keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009, ia menyatakan yang dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat bermula pada 2012 bagi sekolah rendah (tahun 1 dan tahun 4) dan sekolah menengah (tingkatan 1 dan tingkatan 4. Nak jadi cerita, kerajaan terus buat keputusan untuk tak pilih satu bahasa secara spesifik. Dorang just guna dwibahasa je, settle masalah!

Tapi kan, kalau tak reti Bahasa Inggeris sangat pun tak boleh juga kan. Mana lah tahu, mungkin akan ada jalan penyelesaian lebih baik. Walau bagaimanapun, semua tu perlukan perbincangan yang teliti dan bukan hanya membuat keputusan demi kepentingan sesuatu pihak sahaja. Tuntasnya, merupakan tanggungjawab kita semua untuk sentiasa memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan!