Masak Maggi dan menang tiket ke Bangkok?! Ni apa yang berlaku dekat Lotus’s Chef Challenge

Pernah tak korang masak sedap sangat sampai rasa “Aku ni patut buka restoran”? Kalau ye, korang memang patut usha pertandingan memasak Lotus’s Chef Challenge yang kembali dengan lebih sengit untuk tahun kedua.

Bertemakan “Dari Dapur ke Pentas”, pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat kulinari tempatan dan membuka jalan untuk mereka melangkah ke pentas antarabangsa. Acara ni dianjurkan bersama oleh Lotus’s Malaysia, Professional Culinaire Association (PCA) Malaysia, dan TAEM Academy, serta mendapat pengiktirafan berprestij daripada World Association of Chefs’ Societies (Worldchefs).

“Melalui tema Dari Dapur ke Pentas, kami ingin memberi peluang kepada bakat-bakat kulinari tempatan untuk menyerlah dan menunjukkan kebolehan mereka kepada orang ramai.” – Azliza Azmel, Pengarah Eksekutif, Perkhidmatan Korporat Lotus’s Malaysia

Berlangsung pada 31 Oktober dan 1 November 2026 lepas, pertandingan ini menghimpunkan 87 peserta akhir yang dipilih daripada 122 penyertaan dari seluruh negara untuk bertarung di pentas akhir di Lotus’s Ampang dalam Kategori Profesional dan Kategori Chef Muda.

Diorang diuji dalam lapan kategori berbeza, termasuk hidangan berasaskan ayam, salmon, daging lembu gaya Asia, sajian berasaskan tumbuhan, dan pencuci mulut moden.

Masak hidangan kampung, menang tiket ke Bangkok

Bila sebut hidangan kampung, kita akan bayangkan hidangan ringkas di rumah. Sekali Khairul Aming buka restoran Rembayung, baru la makin ramai orang sedar potensi masakan Melayu.

Sentuhan tradisi inilah yang membawa tuah kepada Chef Noor Shobahiyah Abu Bakar yang dinobatkan sebagai Juara Kategori Profesional (25–40 tahun).

Juara Kategori Profesional, Chef Noor Shobahiyah Abu Bakar

Kemenangan ini melayakkan beliau membawa pulang tiket ke Thailand Ultimate Chef Challenge (TUCC) 2027 di Bangkok, baucar tunai Lotus’s bernilai RM3,000, serta bimbingan daripada Ketua Jurulatih TUCC 2027, Chef Selebriti KK Yau.

“Hari ini saya masak hidangan kampung saya, Kedah. Saya buat nasi daging, daging bakar percik daun pisang. Selalunya dahulu arwah ayah saya memang suka makan hidangan ini dan kebiasaannya memang saya selalu masak makanan ini, selalu buat.” – Chef Noor Shobahiyah Abu Bakar

Bukan itu saja, Lotus’s Chef Challenge turut mencabar kreativiti peserta mengolah bahan dapur harian yang biasa kita beli di pasar raya. Menariknya, satu lagi menu yang menghadiahkan pingat emas kepada Chef Noor Shobahiyah adalah Maggi!

“Hari ini pun saya ada buat Maggi, tetapi hari ini saya ubah suai sedikit, saya buat gaya masak lemak daging salai menggunakan Maggi. Dan dapat keputusan pingat emas.” – Chef Noor Shobahiyah

Antara hidangan Maggi di Lotus’s Chef Challenge 2026

Chef Muda terketar-ketar pada 10 saat terakhir

Selain Chef Profesional, Lotus’s Chef Challenge juga menarik penyertaan untuk Kategori Chef Muda (18-30 tahun).

Kategori ni dimenangi oleh Loi Kee Yeong, yang mengaku beliau sampai menggigil dalam pertandingan ni.

“Memang menggigil, sangat gemuruh. Sebab kedua-dua pusingan perlawanan saya memang hampir-hampir nak tamat, mungkin dalam 10 ke 20 saat terakhir baru saya sempat siap, jadi saya memang sangat gemuruh” – Loi Kee Yeong

Juara Kategori Chef Muda, Loi Kee Yeong

Walaupun berdepan saat-saat cemas, beliau berjaya merebut tiket untuk meneruskan cabaran di Culinaire Malaysia 2027, dan juga baucar tunai Lotus’s bernilai RM3,000. 

Selain tu, naib juara dan tempat ketiga juga menerima RM2,000 dan RM1,000, serta lapan hadiah saguhati bernilai RM300 bagi setiap kategori menjadikan jumlah keseluruhan hadiah terkumpul sebanyak RM16,800. Memang puas shopping lepas ni!

Tapi yang paling penting…

Pertandingan ni menjadi batu loncatan untuk kerjaya peserta

Bagi Lotus’s Malaysia, objektif pertandingan ni jauh lebih besar daripada sekadar mencari seorang juara. Ia adalah satu cara mereka membantu peserta membina jaringan kerjaya industri kulinari dan hospitaliti.

“Kami berharap mereka bukan saja dapat peluang untuk bertanding, tapi juga dapat berkenalan dengan chef-chef, belajar dari mentor, dan membina kerjaya yang lebih besar dalam industri kulinari dan penghotelan,” – Azliza Azmel

Antara otai-otai dunia kulinari Malaysia yang menceriakan acara ni adalah Chef KK Yau

Tambahan pula, Lotus’s Malaysia memastikan tiada pembaziran berlaku sepanjang pertandingan ini berlangsung. Bekerjasama dengan Food Aid Foundation, sebanyak 319.57kg lebihan makanan yang masih elok dan selamat dimakan yang tidak digunakan dalam pertandingan telah diselamatkan dan dikongsi dengan komuniti.

“Walaupun ini nampaknya kecil, tapi manfaatnya sangat besar. Ia selari dengan usaha Lotus’s untuk menyokong kelestarian alam dengan mengurangkan pembaziran makanan dan meningkatkan akses nutrisi kepada mereka yang memerlukan,” – Azliza Azmel

Lebihan makanan yang masih elok dan selamat dimakan daripada acara ni disalurkan kepada komuniti melalui Food Aid Foundation

Dengan penutup tirai yang penuh emosi dan pencapaian, Lotus’s Chef Challenge 2026 membuktikan bahawa dengan semangat dan kreativiti, bakat tempatan mampu bersinar hingga ke pentas dunia.

Jadi untuk korang yang berbakat dan berminat nak warnai industri kulinari negara, jangan lupa pasang niat dan nantikan penganjuran Lotus’s Chef Challenge seterusnya!