Mansa Musa: Raja terkaya di dunia mengalahkan Jeff Bezzos, Bill Gates dan billionaire lain

Bila cakap pasal orang terkaya dalam dunia je, siapa yang korang fikir? Bagi korang yang masih mencari jawapan, orang paling kaya yang masih hidup adalah Jeff Bezos, pengasas e-dagang Amazon yang berjaya mengalahkan Bill Gates sejak tahun 2017. Menurut Forbes, kekayaan Jeff Bezos pada tahun ni dah pun mencecah $148.8B, mengalahkan billionaire Microsoft, Bill Gates sebanyak $109.8B. Dan kalau korang nak tahu sebanyak mana kekayaan billionaire ni, korang juga boleh tengok kat sini.

Guna nisbah beras pun dah tak kuat, kalau tengok depan mata apatah lagi. Footage dari Now This

Tapi macam mana kalau kitorang bagitau yang pada satu masa yang dulu, ada seorang raja yang sangat kaya, melebihi kekayaan milik Jeff Bezos sekarang, sampai hampir semua barangannya adalah dari emas. Beliau merupakan Mansa Musa, seorang raja empayar dari Mali, salah sebuah negara yang terletak di benua Afrika.

Semasa pemerintahan Mansa Musa juga, Mali mungkin merupakan pengeluar emas terbesar di dunia, dan Musa telah dianggap sebagai salah seorang terkaya dalam sejarah. Kalau kekayaan Jeff Bezos dah pun dianggarkan sebanyak $148.8B, dianggarkan, kekayaan Mansa Musa kalau dinilai pada zaman sekarang ni berjumlah 400 bilion USD, lebih dua kali ganda daripada apa yang dimiliki Jeff Bezos sekarang. Tapi itu cuma anggaran, dan kemungkinannya lebih lagi, sampaikan TIME magazine sendiri buat kesimpulan yang tak ada cara yang tepat untuk mengukur kekayaan Musa. 

Mansa Musa, pewaris harta raja empayar Mali yang hilang di lautan

Mansa Musa, Raja terkaya di Afrika. Imej dari the muslimvibe.com

Mansa sendiri bermaksud raja, atau sultan dan pemerintah. Jadi, Mansa Musa ni merupakan pemerintah empayar Mali, sebuah negara Islam di Afrika Barat yang ditubuhkan sekitar tahun 1240 – 1645M. Dia telah digambarkan sebagai individu terkaya pada Zaman Pertengahan, dengan pemerintahannya yang  bermula dari 1312 M hingga 1337M. 

Mansa Musa sendiri merupakan anak saudara kepada Sundiata Keita, iaitu pengasas empayar Mali, dan merupakan Mansa ke-10 dalam kerajaan empayar Mali. Manakala Mansa sebelumnya adalah Mansa Abu Bakr II, yang merupakan abangnya sendiri.

Sebelum menjadi pemerintah empayar Mali, Musa merupakan pemangku raja, menggantikan Mansa Abu Bakr II yang pergi mengembara. Ketika pemergian abangnya bersama armada kapal besar untuk menjelajahi Lautan Atlantik, tak semena-mena, rombongan abangnya tu  kemudiannya dikatakan hilang di laut semasa mengembara.

Mansa Musa kemudiannya memulakan pencarian terhadap Mansa Abu Bakr II dan rombongan yang hilang. Tapi selepas beberapa ketika, Mansa Abu Bakr II tak berjaya ditemui. Mengikut adat dan istiadat, Mansa Musa kemudiannya mewarisi takhta empayar Mali, sekaligus harta yang dimiliki raja sebelumnya.

Pernah menyebabkan inflasi di Mesir

Walaupun Mansa Musa mewarisi sebuah kerajaan yang sudah sedia kaya-raya, tapi dia juga berjaya mengembangkan perlombongan dan perdagangan emas dan garamnya sehingga menjadikan Mali yang kaya dengan sumber emas berkembang pesat dan menjadi kerajaan terkaya bukan saja di Afrika, dan seluruh dunia pada masa tu.

Malah pada zaman pemerintahannya juga, Mali merupakan salah satu kerajaan besar dan terkaya di Afrika, di mana kerajaan kuno Mali bukan je di mana Mali berada sekarang, tapi berkembang sampai Senegal, Gambia, Guinea, Niger, Nigeria, Chad, Mauritania, sehingga Burkina Faso.

Perbezaan Mali sekarang (garisan merah kecil), dan empayar kuno Mali (dalam garisan merah yang tebal) yang hampir 4 kali ganda besarnya. Imej tak diedit dari Google Maps

Semasa pemerintahannya, nama Mansa Musa mula terkenal disebabkan perjalanannya yang mewah ke Mekah di Arab Saudi pada tahun 1324. Dikatakan, sebanyak 60,000 orang bersamanya dengan 100 ekor unta untuk menunaikan haji. Dia juga membawa unta sarat dengan emas, dianggarkan sebanyak 136 kilogram! –lebih kurang sama dengan berat dua orang remaja baru nak up.

Dalam perjalanannya ke Mekah sekitar tahun 1324, Mansa Musa berbelanja mewah, dan dikatakan telah menghabiskan sejumlah besar emas sebagai bayaran. Salah satu perhentian dari Mali ke Mekah adalah Mesir. Semasa di Mesir, Mansa Musa membayar hampir segala yang dibelinya dengan emas, sehinggakan nilai emas di Mesir menjunam sehingga 20%, dan dikatakan hanya pulih selepas hampir satu kurun.

Rombongan Mansa Musa dan ke Mekah

Tapi dalam masa yang sama juga, dia membawa banyak idea baru ke Mali. Dia menggunakan kuasa dan kekayaannya untuk memperkuat pusat kebudayaan negara, terutama Timbuktu, sekitar tahun 1324. Dengan kebijaksanaan Mansa Musa, Timbuktu berjaya menjadi sebuah pusat perdagangan, budaya, dan Islam. Malah, ramai pedagang dari Hausaland, Mesir, dan kerajaan Afrika lain datang berdagang di bandar tersebut.

Ini termasuklah dengan kemasukan sebilanganan orang bijak pandai seperti arkitek, penyair, dan guru yang membantu meningkatkan kualiti kerajaannya. Hasilnya, selama dua puluh lima tahun pemerintahannya, Islam di Mali berada dalam kedudukan yang lebih kuat daripada sebelumnya.

Salah satu sarjana Islam yang turut wujud pada masa tu adalah Ibnu Battuta, seorang cendekiawan dari Maghribi, yang juga seorang pengembara Islam yang hebat dan setaraf dengan Marco Polo dan Christopher Columbus, dengan catatannya sendiri yang bertajuk ‘Rihlah’.

Ketika Ibnu Battuta datang ke Timbuktu pada tahun 1353, bandar tersebut telah pun menjadi pusat utama pembelajaran Islam di Afrika. Disebabkan  populasi Muslim yang besar dan merupakan salah satu jalan ke Mekah, Timbuktu telah menarik banyak cendekiawan Muslim. Malah, ramai keluarga pedagang di Timbuktu yang belajar di sana untuk menjadi sarjana Islam dengan mempelajari agama Islam, undang-undang, sastera, sains, dan perubatan.

Peninggalan Mansa Musa kepada Timbuktu dan Mali

Dengan kemasukan para cendekiawan ke pusat ilmu di Timbuktu ini, Mansa Musa menggunakan sebahagian besar harta Mali untuk membangunkan sejumlah besar masjid (malah ada yang mengatakan dia membina masjid pada setiap hari Jumaat zaman pemerintahannya).

Yang menariknya juga, banyak peninggalannya yang masih wujud sehingga ke hari ni.  Dan salah satu masjid yang paling terkenal adalah Masjid Djinguereber, yang boleh menempatkan seramai 2,000 orang dalam satu-satu masa.

 

Masjid Djinguereber, masjid yang dibina lebih dari 700 tahun, terbesar dan tertua di dunia. Imej dari dunyanewstv

Selain masjid, banyak juga universiti pengajian Islam yang dibina di seluruh negara, malah masih berdiri hari ini, sekitar 700 tahun kemudian. Universiti Sankore di Timbuktu dikendalikan di bawah pemerintahan Musa melahirkan ramai ahli hukum, ahli astronomi, dan ahli matematik. Universiti ini juga menjadi pusat pembelajaran dan budaya, menarik para sarjana Muslim dari seluruh Afrika dan Timur Tengah ke Timbuktu.

Universiti Sankore juga masih wujud sehingga kini, dan diiktiraf UNESCO sebagai salah sebuah yang diasaskan pada abad ke-14. Imej dari Africhroyale

Bagaimanapun, zaman kegemilangan Mansa Musa berakhir setelah kemangkatannya. Dia kemudiannya digantikan oleh anaknya, Mansa Maghan I, yang hanya bertahan selama 4 tahun sahaja sebelum digulingkan oleh pak ciknya sendiri.

Ia kekal menjadi sebuah kerajaan kaya sehinggalah tahun-tahun berikutnya, di mana pada tahun 1400-an, kerajaan mula kehilangan kawalan di sepanjang pinggir sempadannya. Kemudian, pada tahun 1500-an, Kerajaan Songhai dari Afrika Barat semakin berkuasa dan berjaya menjatuhkan empayar Mali, dan mengambil alih selepas kematian Mansa terakhir, Mansa Mahmud Keita IV pada sekitar 1610.

Manakala pada akhir abad ke-16 pula, kerajaan Maghribi berjaya mengalahkan Songhai dan Mali, ia diperintah Maghribi dan dijadikan ibu negara, sehingga abad ke-18, sebelum Mali menjadi koloni Perancis pada abad ke-19.

Walaupun Mali pernah mempunyai empayar yang kaya, malah pemerintah paling kaya di dunia satu ketika dulu, Mali yang dulu bukanlah seperti yang sekarang. Siapa sangka, sebuah negara di benua Afrika ni pernah mempunyai simpanan emas terbesar di dunia satu ketika yang dulu kini berubah 360 darjah, malah, masih perlu membayar cukai penjajah kepada Perancis sehingga ke hari ini.