Malaysia Techlympics 2025 telah dilancarkan secara rasmi dengan sasaran sebanyak 1.7 juta penyertaan di seluruh negara, serta memperluaskan penyertaannya kepada peserta antarabangsa dalam pertandingan berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Program pembudayaan STI ini dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation), sebuah agensi di bawah MOSTI sebagai rakan strategik bagi memfokuskan kepada usaha untuk memupuk minat dan membudayakan STI dalam kalangan pelajar dan golongan belia serta bantu membentuk generasi yang bersedia menghadapi masa depan.

Pertandingan ini dibuka kepada peserta berumur 7 hingga 30 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di peringkat sekolah, diikuti dengan saringan zon di enam wilayah utama dan seterusnya ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada bulan November. Format pertandingan ini menggabungkan cabaran praktikal, pendedahan teknologi sebenar dan pembelajaran pengalaman secara langsung.
Inisiatif ini turut mengutamakan nilai keterangkuman, dengan menumpukan usaha untuk memperluaskan akses dan ekuiti bersama komuniti kurang mendapat perhatian, dan yang berada di kawasan pedalaman melalui program jangkauan. Sesi latihan guru juga akan diadakan untuk mewujudkan tenaga pengajar dengan pengetahuan teknologi terkini dan memastikan guru-guru dapat mengintegrasikan ilmu ini dalam sistem pendidikan mereka bagi merapatkan jurang pendidikan di seluruh negara.
Pelancaran Malaysia Techlympics 2025 merupakan langkah penting dalam melahirkan bakat masa depan dan memupuk budaya inovasi yang akan membentuk landskap STI negara bagi generasi akan datang.
Menyedari peranan penting Kecerdasan Buatan (AI) dalam ekonomi masa depan, Malaysia Techlympics 2025 akan memperkenalkan lebih banyak pertandingan dan aktiviti berkonsepkan AI untuk menggalakkan generasi muda meneroka dan membangunkan kepakaran dalam bidang yang kritikal ini.
Selain itu, beberapa pertandingan terpilih juga turut menawarkan peluang dan pendedahan kepada pelajar untuk bertanding ke peringkat antarabangsa dan mewakili Malaysia di pentas dunia.
Selaras dengan keutamaan nasional dan global melalui sokongan kepada Dasar STI Negara 2021–2030 dan visi Malaysia MADANI, Malaysia Techlympics 2025 menyasarkan untuk membina kapasiti teknologi tempatan yang berimpak tinggi.Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia Techlympics 2025, layari techlympics.my atau ikuti Malaysia Techlympics di media sosial @mytechlympics.