- 730Share sekarang!
- Email26
- Facebook704
- Share
(This article is translation. For original, visit our sister site, CILISOS)
Baru-baru ni, nampaknya kita kedengaran lagi kisah pasal satu kumpulan yang dikenali sebagai Skuad Badar. Kalau korang tak pernah dengar pasal kumpulan dari Sungai Petani ni, rasanya mungkin korang pernah dengar pasal tindakan satu kumpulan yang bawa pasangan khalwat pergi kubur dan bagi ceramah agama pada diorang di sana.
Menurut pengasas kumpulan ni, Azhar Mohamad, cara diorang tu cukup rasional untuk selesaikan masalah hubungan di luar pernikahan ni.
“Kami bawa mereka ke tanah perkuburan supaya mereka sedar yang semua Muslim akan berakhir di sini – perkuburan. Di sana, kami akan menasihati mereka tentang kehidupan akhirat supaya mereka dapat bertaubat dan tahu salah mereka.” – Azhar, dipetik dari Today Online.
Kalau korang nampak kumpulan ni bertindak macam pihak berkuasa, jangan anggap macam tu pulak, sebab diorang ni tak diberi kuasa langsung oleh kerajaan. Diorang sebenarnya hanya kumpulan sukarela (tanpa kuasa undang-undang). Walaupun tanpa kuasa atau waran rasmi, diorang ni…
Dah buat serbuan dekat pelbagai tempat (bukan khalwat je)
Sebenarnya, kumpulan ni baru je ditubuhkan dua tahun lepas, dan sebab tu jugalah rasanya tak banyak maklumat pasal diorang. CILISOS ada cuba hubungi Azhar (pengasas) untuk dapatkan lebih maklumat pasal apa yang diorang buat dan kenapa, tapi dia tak bagi maklum balas pula. Jadinya, kitorang cari maklumat pasal diorang melalui laporan-laporan media.
Berdasarkan dapatan, kebanyakan aktiviti Skuad Badar ni jenis serbuan. Dikatakan, serbuan tu berdasarkan maklumat orang awam, dan juga risikan diorang sendiri.
Sebagai contoh, sesebuah hotel tu akan nampak meragukan kalau banyak motosikal parking di depannya. Nampak macam diorang ni agak-agak je kan? Tapi dengan taktik tu, dari Jun 2017 sampai Oktober 2018, diorang dah tangkap 270 orang pasangan di Sungai Petani, termasuklah 70 pasangan bawah umur. Apa yang lagi mengejutkan, ada lelaki berumur 30 tahun diserbu bersama dengan budak perempuan 12 tahun!
Selain tangkap pasangan berkhalwat, diorang juga dilaporkan buat serbuan dekat rumah urut, pusat judi, motel dan hotel yang diorang syak ada tawarkan perkhidmatan pelacuran atau seksual.
Selain tu, cyber cafe pun tak terlepas. Diorang selalunya akan serbu cyber cafe pada hari Jumaat sebab nak tangkap budak-budak yang tak tunai Solat Jumaat. Lepas serbuan, diorang akan bagi tazkirah kepada budak-budak ni, dan kemudiannya bawa diorang ke masjid. Korang boleh tengok videonya di sini.
Dalam kes berasingan, diorang ada desak seorang wanita supaya buat permohonan maaf secara terbuka, lepas cetuskan kontroversi di internet. Sebenarnya, wanita ni penjual ubat tenaga batin lelaki dan peralatan seks. Tapi, dalam satu video tu, dia ada kata – ‘teringin’ nak dirogol 10 lelaki.
Lepas tu, Skuad Badar tawarkan kaunseling dan bimbingan kepadanya untuk buat permohonan maaf. Tapi dengan syarat, permohonan maaf tu dibuat secara ikhlas dan berpakaian sopan ketika bersiaran langsung FB.
Dalam masa sama, diorang turut buat aktiviti NGO macam – protes pengedaran Bible kepada rakyat Kedah, minta Waytha Moorthy buat permohonan maaf sebab dituduh memfitnah orang Islam, menentang ICERD, buat forum berkaitan Islam-Melayu dan buat Solat Hajat minta mohon Allah beri hidayah kepada Siti Kassim.
Satu lagi, diorang buat khidmat masyarakat, macam beri bantuan kepada orang miskin dan sebagainya.
Namun, kitorang tak dapat nak cari sumber yang betul-betul dipercayai kenapa diorang buat semua benda ni. Tapi apa yang kitorang dapat tahu, diorang ni sebenarnya rasa kecewa dengan pihak berkuasa agama negeri. Azhar mendakwa, yang pihak berkuasa cuma bercakap je, tanpa tindakan. Jadinya, diorang ambil keputusan untuk buat tindakan, macam serbu hotel dan pusat urut.
“Kami tengok orang awam dah buat laporan bertahun-tahun dan tidak ada sebarang tindakan terhadap premis seperti ini.
Patutnya ini kerja mereka tapi mereka tak ambil tindakan, kami NGO Islam terpaksa ambil tindakan.” – Azhar Mohamad, katanya dipetik dari FMT.
Dari apa yang kita dengar dan baca ni, boleh dikatakan yang Skuad Badar ni sebagai pelaku ‘vigilante’ atau penegak undang-undang dengan cara sendiri. Dan ni juga menimbulkan persoalan kepada kita semua…
Diorang ni tak kena warning dengan pihak berkuasa sebenar ke?
Walaupun korang nampak diorang ni buat serbuan macam garang je, tapi serbuan tu hanya dibuat bila diorang dah berbincang dengan pegawai masjid setempat (nak tengok kalau ia akan menjejaskan imej Islam), dan juga dapatkan ‘surat kelulusan’ dari pihak polis (sebenarnya hanya laporan polis yang nyatakan niat diorang) terlebih dulu.
Tapi, ia masih lagi terpulang kepada pihak berkuasa sama ada membenarkan diorang atau tak.
“Kalau kami nampak banyak motosikal di luar hotel, kami akan pergi ke meja depan dan tunjukkan ‘surat kelulusan’ kami.
Jika pihak hotel tak membenarkan kami masuk, kami tidak akan masuk. Tapi, kami akan tunggu di luar.” – Azhar Mohamad, dipetik dari Today Online.
Masa diorang bermula dulu, diorang ada juga bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Kedah. Kalau satu tempat serbuan tu tak nak beri bekerjasama, Azhar kata Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) akan minta diorang bantu. Kalau ada pesalah berulang pula, diorang akan serahkan mereka ni kepada JAIK.
“Jika kita tahan mereka buat kali kedua kita akan serahkan kepada pejabat agama dan setakat ini hanya tiga kes sahaja pasangan ditahan kali kedua.” – Azhar, dipetik dari Harian Metro.
Jadi, berdasarkan laporan polis dan kerjasama JAIK, nampaknya pihak berkuasa sedar dengan kewujudan Skuad Badar dan membiarkan mereka ni jalankan aktiviti. Menurut Asri Yusoff, (Ketua Polis Kedah) pada 2017 – pihaknya tak akan menghalang Skuad Badar, kalau aktiviti diorang ni sekadar memberi nasihat kepada umat Islam.
Pihaknya juga ada panggil kumpulan ni sebelum diorang jalankan aktiviti, dan Polis tak dapat apa-apa laporan terhadap Skuad Badar sebelum tu.
Bagaimanapun, pihak polis tetap bagi amaran kepada kumpulan ni supaya jangan bertindak melangkaui kuasa.
“Mereka nak beri nasihat kepada budak-budak main game di kafe siber itu tidak ada masalah atas dasar seorang Muslim dan ia tidak melibatkan bukan Islam
Kalau mereka bertindak dengan menutup kedai dan sebagainya, itu tidak boleh sebab itu kerja pihak berkuasa seperti polis untuk bertindak. Lagi pun mereka ada lesen berniaga, mana boleh bertindak sesuka hati.” – Asri Yusoff, dipetik dari FMT.
Walaupun pada mulanya ia nampak okay je untuk Skuad Badar, tapi pada awal tahun ni…
Azhar sendiri dah ditahan, sebab jadi ahli pertubuhan haram
Sekitar bulan Januari lalu, JAIK dah buat laporan polis terhadap Skuad Badar, yang kemudiannya membawa kepada penahanan Azhar dan beberapa ahli kumpulan lain. Dalam laporan polis tu, Skuad Badar disebut sebagai menjalankan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran JAIK dan tak pernah dilantik untuk menjadi penguatkuasa agama.
Skuad tu juga tak pernah diberikan tauliah, memasuki premis tanpa kebenaran, dan… tak pernah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Kesannya, diorang direman selama 4 hari untuk membantu siasatan di bawah Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi. Sebab kenapa lepas 2 tahun baru ditahan, kitorang tak tahu sangat. Tapi ia mungkin kerana adanya beberapa laporan media pasal tindakan diorang ni dan juga kecaman masyarakat.
Salah satunya macam dakwaan bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, bahawa tindakan Skuad Badar tu melanggar undang-undang dan mendesak campur tangan pihak berkuasa bagi menghentikan aktiviti tu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa, pun kata tindakan kumpulan tu yang jalankan undang-undang dengan cara sendiri, hanya akan mencemarkan imej Islam.
Apa-apa pun, dengan penangkapan ni, ia dah menghentikan aktiviti Skuad Badar buat sementara waktu. Pada April lepas, Azhar dan enam lagi ahli kumpulannya dah didenda RM1,000 setiap seorang, lepas didapati bersalah menyertai pertubuhan haram.
Tapi adakah ni pengakhiran Skuad Badar? Rasanya macam tak je, sebab…
Diorang rancang nak buat comeback… dengan cawangan di seluruh negara
Pada awal bulan ni, Azhar ada mengumumkan yang Skuad Badar akan buat kemunculan semula pada akhir Julai dengan alasan, tanpa diorang – aktiviti tak bermoral akan berleluasa. Dia juga kata yang keadaan di bawah pentadbiran PH ni lebih teruk lagi, sebab bilangan kereta yang parking dekat hotel dah bertambah, kalau nak dibandingkan dengan sebelum ni.
“Kemunculan ini dibuat kerana kita mahu jaga anak bangsa beragama Islam agar terhindar daripada perkara mungkar.
Sebab kita boleh nampak keadaan sekarang cukup membimbangkan. Kalau di Sungai Petani (Kedah) budak-budak beromen depan-depan kita, atas motosikal. Kita tak boleh biarkan.” – Katanya kepada Malaysiakini.
Skuad ni juga akan muncul dengan nama baru – Skuad Badar al-Qubra. Qubra ni bermaksud besar dalam Bahasa Arab. Sesuai dengan hasrat Azhar nak luaskan skuad ni ke seluruh negara dengan buat beberapa cawangan, untuk membantu pihak berkuasa agama negeri. Bukan tu je, diorang juga muncul dengan prosedur piawai operasi (SOP) yang sedang dirancang.
“Kita kini sedang dalam persiapan dalam pelbagai aspek khususnya bagi mendaftarkan pertubuhan ini kepada ROS (Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia).” – Azhar, katanya kepada Malaysiakini.
Sebagai tindak balas dari kenyataan Azhar tu, Pihak Polis Bukit Aman ada keluarkan amaran kepada diorang supaya jangan bertindak melanggar undang-undang, kerana diorang tetap bukan badan berkuasa agama dan tak ada apa-apa kuasa.
Exco Agama Kedah, Ismail Salleh pun nasihatkan diorang hentikan sementara aktiviti, sampailah kes pendakwaan di mahkamah selesai. Untuk masa akan datang, dia kata Skuad Badar masih boleh membantu mencegah kemungkaran dan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri. Tapi, kumpulan tu tetap dilarang dari ambil tindakan undang-undang secara sendiri.
“Mereka tidak boleh ikut undang-undang rimba sesuka hati, semua orang terikat pada perundangan negara.
Saya mohon mereka akur dan jika mahu teruskan amal makruf nahi mungkar dibolehkan, tetapi harus ikut peraturan.” – Ismail Salleh, dipetik dari Sinar Harian.
Sehingga artikel ni ditulis, kita masih tak dengar apa-apa laporan pasal tindakan serbuan Skuad Badar. Tapi, mungkin tak lama lagi kita akan dengar, bila diorang buat comeback nanti.
- 730Share sekarang!
- Email26
- Facebook704
- Share