Kisah Konfrontasi Indonesia-Malaysia: Pertembungan antara Tunku dan Soekarno

Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 1963. Sebenarnya rancangan asal penubuhan Malaysia adalah gabungan antara Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Tapi Brunei menolak untuk serta dan Singapura pula disingkirkan pada 1965. Tunku Abdul Rahman mula-mula kemukakan cadangan penubuhan Malaysia pada 17 Mei 1961 di Adephi Hotel, Singapura. Ada pelbagai reaksi dari negara jiran, ada yang sokong dan ada yang bantah.

Tunku berikan ucapan di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Adephi Hotel, Singapura. Imej dari Arkib Negara Malaysia.

Soekarno selaku Presiden Indonesia adalah orang yang paling lantang menentang penubuhan ni. Bagi Soekarno penubuhan Malaysia adalah agenda imperialisme (perluasan kara) Barat dan neokolonialisme (kawal politik secara tidak langsung). Selain tu, Filipina jugak tak terima penubuhan Malaysia sebab Filipina nak claim Sabah yang ada sejarah dengan Kesultanan Sulu.

Akhirnya, Indonesia isytihar konfrontasi terhadap Malaysia dan lepas tu Soekarno pula isytihar “Ganyang Malaysia”. Kalau ikut Dewan Bahasa Pustaka (Pusat Rujukan Persuratan Melayu) konfrontasi bermaksud: Perbuatan memusuhi atau menentang sesuatu pihak.

Sebenarnya ada beberapa perkara dan cerita menarik di sebalik konfrontasi Indonesia-Malaysia. Antaranya adalah:

1. Tunku dah rosakkan rancangan Soekarno yang nak tubuhkan Indonesia Raya

Presiden Soekarno isytihar “Ganyang Malaysia”. Imej dari Pena Soekarno.

Sebenarnya, cita-cita Presiden Soekarno adalah nak tubuhkan Indonesia Raya iaitu gabungan Indonesia, Tanah Melayu dan Brunei. Jadi, bila Tunku Abdul Rahman buat cadangan penubuhan Malaysia, tindakan Tunku dah kira potong line rancangan Soekarno.

Makanya, pada 20 Januari 1963 – Menteri Luar Indonesia, Dr. Subandrio mengisytiharkan konfrontasi ke atas Malaysia. Soekarno yang terkenal dengan kehebatan pidatonya pulak menyeru rakyat Indonesia untuk “Ganyang Malaysia” pada 27 Julai 1963:

“Kalau kita lapar itu biasa. Kalau kita malu itu juga biasa. Namun kalau kita lapar atau malu itu karena Malaysia, kurang ajar!… Yoo…ayoo… kita… Ganjang… Ganjang… Malaysia, Ganjang… Malaysia… – Ucap Soekarno. Dipetik dari Inilah.com

“Ganyang Malaysia”. Imej dari Youtube

Pegangan dan cara kepimpinan dua tokoh ini sangat berbeza. Soekarno lebih pada ideologi nasional sosialis yang mirip. Tapi, Tunku pula lebih pro-barat, demokrasi dan anti-komunis.

“Sejahat-jahat penjajah ialah komunis, komunis adalah lebih dahsyat dan lebih merbahaya dari bentuk-bentuk penjajah yang pernah didiami oleh umat manusia dan kita mestilah berwaspada dengan ancaman komunis” – Ucapan Tunku Abdul Rahman, Utusan Melayu, 1962.

Walaupun Soekarno menafikan yang Indonesia mirip dengan komunisme tapi beliau tak dapat nafikan yang beliau menggunakan tiga elemen utama dalam pemerintahannya: nasionalis, agama dan komunis (NASAKOM).

Apa tu NASAKOM? Sebenarnya masa tu ada beberapa pihak yang bersaing dalam politik Indonesia:

  • Tentera Nasional Indonesia (TNI)
  • Parti Komunis Indonesia (PKI)
  • Parti-parti politik dari aliran agama dan nasionalis

Jadi, Soekarno gunakan falsafah NASAKOM dalam pemerintahannya untuk mengimbangkan pengaruh antara semua pihak ni. Dengan cara memasukkan elemen agama dalam fahaman komunis dan dalam waktu sama pentingkan nilai nasionalisme.

Presiden Soekarno dan pemimpin Parti Komunis Indonesia (PKI) DN Aidit.
Imej dari Republik Merah.

2. Soekarno tuduh rakyat Malaysia hidup dalam sengsara

Selain mengancam Malaysia, Presiden Soekarno juga dikatakan menyindir lagu Negaraku dengan menyanyikan lagu Terang Bulan. Hal itu jadi semasa beliau membuat ucapan kepada para wartawan bersempena dengan Persidangan Wartawan Afro Asia di Jakarta pada 24 April 1963. Akibatnya, rombangan wartawan Tanah Melayu bertindak keluar dari majlis itu.

“Rakyat Malaysia yang melalui zaman konfrontasi mungkin masih ingat betapa Soekarno menghina Tunku Abdul Rahman, pakaian Melayu dan lagu Negaraku yang dinyanyikan dalam bentuk asal bernama Terang Bulan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia

Sebenarnya melodi lagu Negaraku berasal dari lagu ‘Terang Bulan’. Lagu ni jugak jadi lagu rakyat di Indonesia. Lagu ‘Terang Bulan’ digubah oleh seorang ahli Muzik Perancis bernama Pierre Jean de Beranger.

Pierre Jean de Beranger dipercayai penggubah melodi lagu Terang Bulan. Imej dari Britannica.

Selain tu, Soekarno juga pernah tuduh yang rakyat Malaysia hidup dalam sengsara. Tapi dijawab oleh Tunku:

“Kata Tunku, Soekarno mengatakan rakyat saya sedang sengsara, makan jagung, tikus dan sebagainya tetapi sebenarnya mereka sedang menari, berjudi, minum-minum dan berpoya-poya.” – Zainuddin Maidin, Mahathir bukan kawan saya, p128

Walaupun begitu, Soekarno sememangnya terkenal sebagai seorang pemimpin yang hebat dalam sejarah Indonesia.

“Tidak ada seorang pun Presiden Indonesia yang mempunyai pengalaman sedemikian. Yang paling penting sekali, beliau memiliki satu keberanian, sikap serta pendirian politik yang luar biasa dan tidak tertanding oleh enam orang presiden yang lain.” – Dipetik dari Malaysian Digest

Che Guevara kawan baik Soekarno. Imej dari Merdeka.com

3. Dari perang mulut ke konfrontasi bersenjata

Lepas je Indonesia isytihar konfrontasi terhadap Malaysia. Pencerobohan dan serangan ke Tanah Melayu mula dilakukan. Keadaan mula parah apabila Tunku tetap isytiharkan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 walaupun Soekarno pulaukan keputusan Suruhanjaya Cobbold (suruhanjaya yang meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak tentang penubuhan Malaysia).

Antara ahli Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan pada 17 Jan 1962.
Imej dari Arkib Negara Malaysia.

Penubuhan Malaysia sepatutnya diisytihar pada 31 Ogos 1963, tapi ditangguhkan ke 16 September sebab tunggu laporan setiausaha PBB yang lewat. Bila Malaysia diterima sebagai anggota tidak tetap PBB, Indonesia ambil keputusan keluar dari PBB pada 1965 sebagai protes.

Perang mulut antara Tunku dan Soekarno juga dah berubah ke konfrontasi bersenjata. Walaupun macam tu, konfrontasi bersenjata antara Malaysia dan Indonesia adalah perang yang tidak diisytiharkan. Berikut adalah antara serangan yang dilancarkan Indonesia:

Walaupun macam tu, serangan-serangan tersebut dapat dipatahkan Malaysia dengan bantuan ketenteraan dari negara-negara Komanwel seperti Britain, Australia dan New Zealand.

Tunku Abdul Rahman sedang periksa senjata yang dirampas. Imej dari Zamkata.

4. Tunku dipaksa pijak lambang negara Indonesia

Tunku Abdul Rahman isytihar penubuhan Malaysia di Stadium Merdeka. Imej dari Malaysiancoin.

Pada 16 September 1963 Tunku dengan yakin isytiharkan penubuhan Malaysia di Stadium Merdeka di hadapan lebih kurang 30 ribu rakyat. Pada hari yang sama, Indonesia dan Filipina putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Kedutaan Malaysia di Jakarta dan Medan pun dibakar dalam satu protes.

Dekat Malaysia pula sehari lepas tu (17 September 1963), berlaku demonstrasi rakyat Malaysia di kedutaan Indonesia di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Dalam protes itu, penunjuk perasaan bertindak menyerang kedutaan, menurunkan Pancasila (lambang negara Indonesia) dan menaikkan bendera Malaysia.

Demonstrasi di kedutaan Indonesia. Imej dari Hari Itu Sudah Berlalu

Ketika inilah, Tunku dipaksa untuk pijak Pancasila apabila simbol itu diturunkan dari bangunan Kedutaan Indonesia dan diheret ke rumah Tunku di Jalan Dato’ Onn.

“Mereka telah memanggil Tunku keluar dan kemudian mengusung Tunku dan menyuruh Tunku pijak, ‘Pijak! Pijak! Pijak!’ simbol yang dibawa oleh mereka itu tetapi apabila Tunku enggan, mereka meletakkan Tunku di atasnya. Tunku berkata, “Awatlah hampa buat aku macam ni.” – Dipetik dari buku Hari Ini Sudah Berlalu (juga tersiar di Utusan Malaysia).

Samy Vellu (sekarang bekas Presiden MIC) dan Khalid Yunus (wartawan Utusan ketika itu) menaikkan bendera Malaysia di kedutaan Indonesia. Imej dari Utusan Malaysia.

Menurut Zainuddin Maidin (tokoh wartawan), Tunku ada sebab untuk tak nak pijak Pancasila:

“Tunku tentu mempunyai banyak sebab untuk tidak mahu memijak simbol negara Indonesia. Antaranya adalah kerana sikap beliau yang sederhana yang selalu tergambar dalam pendekatan politiknya juga dalam sikap hidupnya.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Selepas tu, banyak demontrasi anti-Soekarno dilakukan diseluruh negara. Terutamanya masa Pilihan Raya 1964.

“Pilihan Raya 1964 diadakan di tengah-tengah konfrontasi Indonesia, penuh dengan drama dan sandiwara, patung-patung Soekarno dan Subandrio (Menteri Luar Indonesia) dibakar dan disebat di sana sini.” – Zainuddin Maidin, Mahathir Bukan Kawan Saya, p161.

5. Disuruh senyum dengan Soekarno lepas rundingan gagal, Tunku mencarut depan wartawan

Cerita disebalik gambar. Imej dari Hari Itu Sudah Berlalu

Rundingan antara Malaysia dan Indonesia (1963-1964) berlaku sebanyak empat kali.

Ketika di Tokyo (1963) rundingan antara Tunku dan Soekarno gagal. Lepas je rundingan tu, ada gambar Tunku dan Soekarno tengah ketawa. Sebenarnya ada cerita menarik di sebalik gambar tu. Zainuddin Maidin ada menceritakan peristiwa ini di buku beliau.

Diceritakan yang ketika Tunku dan Soekarno keluar dari persidangan, mereka dah diserbu oleh para wartawan dan jurugambar asing. Masa inilah mereka diminta untuk senyum oleh jurugambar sebab kedua-duanya muka agak kelat je.

“Tunku dan Soekarno tidak menunjukkan wajah gembira sekalipun diminta tersenyum beberapa kali oleh jurugambar dengan perkataan cheese. Apabila didesak berkali-kali, Tunku akhirnya mencarut dengan perkataan Melayu yang terkenal dengan empat huruf menyebabkan Soekarno meletus ketawa dan Tunku sendiri ketawa.

___

Bukan lagi tersenyum. Ketawa semakin hebat apabila seorang wartwan bertanya is that cheese, Tunku? Tunku jawab, ya, ya, something smell like cheese.”- Dipetik dari buku Hari Itu Sudah berlalu, juga tersiar di Utusan Malaysia.

6. Ramai ditangkap kerana dituduh bersubahat dengan Indonesia

Ketika konfrontasi, kerajaan telah buat pelbagai tindakan untuk halang sebarang usaha yang menyokong Indonesia dan Soekarno. Jadi sesiapa yang disyaki ada kaitan dengan gerakan konfrontasi dan menyokong gagasan Melayu Raya akan ditahan di bawah ISA.

Antara yang ditangkap tu termasuklah pemimpin Front Sosialis seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Hj Muhammad (Pak Sako). Dipertua PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy pun ditahan kerana dituduh menyokong Soekarno.

Dari kiri: Ishak Hj Muhammd, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Imej dari Aliran

Pak Sako, Dr Burhanuddin dan Ahmad Boestamam memang terkenal dengan cita-cita mereka yang nak tubuhkan Melayu Raya sejak tertubuhnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh mereka (rujuk file PDF).

7. Lagu “Inilah Barisan Kita”, sebenarnya dicipta oleh orang Indonesia?

Walaupun Indonesia dah isytihar konfrontasi dan “Ganyang Malaysia”, tapi masih ada rakyat Indonesia yang tak sokong. Terutamanya dari mereka yang anti-komunis dan anti-Soekarno. Mereka ni berlindung di Malaysia ketika konfrontasi.

“Dalam konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia, seorang pegawai tinggi tentera Indonesia Mejar Benny Moerdani ditugaskan untuk menyusup ke Malaysia dan melakukan kerja-kerja sabotaj. Tetapi peranannnya telah bertukar kepada misi sulit mencari perdamaian ketika Jeneral Suharto sedang bangkit untuk melenyapkan kuasa Soekarno.

____

Seorang lagi tokoh anti-Soekarno dan anti-komunis, Des Alwi. Des Alwi yang mendapatkan perlindungan politik di Malaysia ialah kawan rapat Tun Razak sejak belajar di London.” – Zainuddin Maidin, Buku: Saya bukan menteri.

Des Alwi juga seorang sejarawan, diplomat dan filmmaker. Imej dari The Jakarta Post.

Disebabkan Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun ramai rakyat Malaysia dan Indonesia sebenarnya bersaudara. Perkara itu juga jadi faktor kegagalan konfrontasi.

“Satu kisah benar menyebut, ada antara tentera Indonesia yang menyerah diri kepada orang kampung akhirnya ditemukan dalam satu peristiwa yang menyayat hati.

____

Tentera Indonesia itu dan orang kampung itu mempunyai pertalian darah dan hubungan persaudaraan dari tanah Jawa. Ia berakhir dengan insiden berpeluk-pelukan dan tangisan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Tentera Rejimen Diraja Australia yang terlibat di Sarawak pada 1965. Imej dari Australian War Memorial

Tentang lagu “Inilah Barisan Kita”. Sebenarnya lagu ni dicipta oleh penggubah musik terkenal Indonesia Saiful Bahari, yang juga pelarian dari Indonesia. Lagu ni jadi lagu patriotik rakyat Malaysia sampai sekarang.

“Penggubah lagu terkemuka Indonesia, Saiful Bahari yang menjadi pelarian dari Indonesia, adalah penggubah lagu patriotik Inilah Barisan Kita yang membangkitkan perasaan rakyat Malaysia dalam masa konfrontasi…

Saiful Bahari adalah rakyat Indonesia tetapi dengan mencipta lagu itu bukanlah bererti bahawa beliau telah mengkhianati bangsa Indonesia sebaliknya membuktikan kepada kita bahawa baginya bangsa Melayu Malaysia adalah juga bangsanya.” – Zainuddin Maidin. Dari bukunya: Saya Bukan Menteri.

Selain tu, Saiful Bahari (atau nama lain Surya Buana) jugak pernah jadi pegawai khas kepada Menteri Penerangan ketika itu Tan Sri Senu Abdul Rahman dan Pengarah Musik di Filem Negara Malaysia (FNM).

Saiful Bahari meninggal dunia di Tokyo pada 5 Disember 1976. Imej dari Cabik Lunik.

Soekarno digulingkan, Malaysia dan Indonesia berdamai

Pada 30 September 1965, Parti Komunis Indonesia (PKI) cuba buat rampasan kuasa di Indonesia dengan menculik dan membunuh beberapa orang jeneral tentera Indonesia. Peristiwa ni jugak dikenali sebagai “Gestapo” (Gerakan September Tiga Puluh) atau G30S. Enam jeneral tentera Indonesia maut dalam peristiwa tu (rujuk file PDF).

Kesemua jeneral yang dibunuh dimasukkan ke dalam Sumur Lubang Buaya.
Imej dari Pusaka Indonesia.

Jeneral Soeharto terselamat dalam peristiwa tu dan ambil alih kuasa eksekutif Soekarno pada 11 Mac 1966. Soekarno pula dilucutkan jawatan pada 12 Mac 1967 dan dikenakan tahanan rumah sehingga beliau meninggal dunia pada 1970 ketika berusia 69 tahun.

Jeneral Soeharto ketika peristiwa Gestapo. Imej dari Soeharto.co

Akhirnya pada 28 Mei 1966, rundingan dilakukan di Bangkok antara Timbalan Perdana Menteri Tun Razak dan Menteri Luar Indonesia Adam Malik. Hubungan Malaysia-Indonesia beransur baik menjelang tahun 1967 dan konfrontasi pun tamat.

Sepanjang konfrontasi ini (1962-1966) seramai 114 askar pasukan komanwel, 36 orang awam Sarawak dan lebih daripada 590 orang askar Indonesia terbunuh. Kini pada setiap 16 September kita akan sambut Hari Malaysia di seluruh negara. Oleh tu, kami ucapkan SELAMAT HARI MALAYSIA!!

Macam mana Tunku cuba jaga Malaysia selepas merdeka? Baca di sini

[Nota: Selain daripada link yang diberikan, artikel ini akan banyak merujuk buku Hari Itu Sudah Berlalu (dipendekkan jadi HISB) tulisan Tan Sri Zainuddin Maidin, Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu dan Bekas Menteri Penerangan Malaysia.]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.