Betul ke cara kerajaan kira harga minyak? Kami cuba sendiri dan ini hasilnya…

UPDATE: Semalam (15/11/2017), nampaknya harga minyak masih lagi naik. Naik tu bukan 1 sen atau 2 sen,tapi naik sampai 7 sen (dari 16 Nov – 22 Nov 2017). Sebelum ni (dari 9 Nov – 15 Nov 2017) pun naik 7 sen jugak.

___________________________________________________________________________

Pada hari Khamis lepas, kerajaan sekali lagi mengumumkan kenaikan harga minyak. Tak kiralah RON95, RON97 dan diesel semuanya naik. Nampaknya sejak 10 minggu lepas, harga minyak (RON95 dan RON97) terus naik dan tak turun. 

Harga minyak semasa. Imej dari mysumber.com
Graf harga minyak Malaysia. Imej dari imoney.my

Tapi, bila kita tengok laporan media pula, kita dapati harga minyak dunia sebenarnya merosot. Jadinya, persoalan mula timbul kenapa harga minyak kat negara ni naik sedangkan harga minyak dunia merosot. Itulah apa yang orang bising sekarang ni. Kitorang pun cuba jugak tengok dan nampaknya memang macam tu. (Klik sini untuk tahu harga minyak dunia.)

Graf membandingkan harga minyak dunia (seliter) dengan harga minyak di Malaysia (seliter).

Apa yang kita boleh dapat dari graf ni, ia menunjukkan yang harga minyak (RON95 & RON97) di Malaysia terus naik, walaupun ada trend harga minyak dunia yang menurun. Tapi, kita jangan buat kesimpulan dulu, kerana memang ada sebab kenapa perkara ini berlaku.

Ini kerana, apa yang kira selalu dengar pasal harga minyak dunia, sebenarnya itu adalah harga minyak mentah (crude oil) dan kita tak pakai harga minyak mentah. Kalau tak guna harga minyak mentah, kita nak guna harga minyak apa? Oleh itu, kitorang nak cerita sikit macam mana harga minyak di Malaysia ni ditentukan.

Kita tak guna harga minyak mentah, tapi…

Apa yang kita gunakan adalah harga MOPS. Apa pulak MOPS ni? MOPS ni adalah singkatan kepada Mean of Platts Singapore (MOPS). Indeks MOPS dikendalikan oleh Platts, sebuah syarikat di Singapura. Maka, tak hairanlah kalau Singapura jadi pembekal terbesar produk petroleum yang dah diproses di Asia Pasifik dan ketiga di dunia.

Apa yang lebih baik, harga minyak MOPS ni dah termasuk sekali dengan kos penapisan (proses). Indeks MOPS pula adalah berdasarkan purata transaksi harian perdagangan antara pembeli dan penjual produk petroleum.

Jangan tiru aksi ini. Imej dari Giphy.

Purata harga yang ditunjukkan juga adalah berdasarkan minggu, bulan dan tahun. Berbeza dengan yang lain seperti New York Mercantile Exchange (NYMEX) dan London Stock Exchange (LSE)., harga MOPS adalah lebih tinggi. Sebabnya kerana, NYMEX dan LSE adalah harga minyak mentah (crude oil), sebaliknya MOPS adalah harga minyak yang dah diproses.

Kerana itulah, pembeli produk petroleum (yang ditapis) akan merujuk kepada indeks MOPS sebagai penanda aras dan bukannya harga minyak mentah. Kerajaan kita pun nampaknya menggunakan harga MOPS dalam menentukan harga minyak.

Kalau korang nak tengok harga MOPS, korang boleh rujuk dekat web: Australian Institute of Petroleum. Tapi harga yang diberikan dalam Dolar Australia. Jadinya, bila korang nak kira, kenalah tukar ke RM dulu.

Harga MOPS yang boleh kita dapatj. Ia uga ada purata minggu, bulan dan tahun. Imej dari Australian Institute of Petroleum.

Selain tu, kita juga kena tahu yang kerajaan sebenarnya ada formula sendiri untuk kira harga minyak. Formula tu dikenali sebagai Automatic Pricing Mechanism (APM). 

Ok…jangan cakap banyak, jom kita kira harga minyak!

Dengan gunakan formula APM, kita akan diperkenalkan dengan beberapa kos lain iaitu:

  1. Kos operasi: Kos operasi termasuk kos pengangkutan yang dah ditetapkan oleh kerajaan sebanyak 9.54 sen seliter.
  2. Margin keuntungan syarikat minyak: Kerajaan tetapkan 5 sen seliter untuk petrol.
  3. Margin Keuntungan pengusaha stesen minyak : Kerajaan tetapkan 12.19 sen seliter.
  4. Alpha: Perbezaan antara harga MOPS dan harga sebenar yang dibeli syarikat minyak. Telah ditetapkan 5 sen seliter.
Kos yang dah ditetapkan kerajaan, kecuali MOPS yang ikut kadar semasa. Imej dari pemandu.gov.my

Semua kos ni kena dicampurkan dengan harga MOPS semasa, untuk kita dapatkan harga minyak yang sebenar.

Harga MOPS semasa + kos operasi + margin syarikat minyak + margin dealer stesen minyak + alpha = HARGA MINYAK

OK…jom mula kira harga minyak RON95 untuk minggu ni (7 September – 13 September 2017). Disebabkan harga tu bermula pada 7 September, kita kena tengok harga MOPS seminggu sebelumnya (31 Ogos – 6 September 2017).

Ambil harga sehingga 1/9/2017.

Lepas tu kita kena la tukar nilai MOPS ni ke RM. Sebabnya, MOPS ni dalam Dollar Australia. Jadi, kita tukar kepada RM mengikut purata minggu sebelumnya. Secara anggarannya adalah 3.41.

54.7 X 3.41 =186.53 sen

Jadi kita akan dapat:

186.53sen + 9.54 sen + 5 sen + 12.19 sen + 5 sen = 218.26sen / RM 2.18 sen!

Maknanya, harga untuk RON95 adalah RM 2.18 seliter, jumlah ni kurang 2 sen dari apa yang diumumkan oleh kerajaan iaitu RM 2.20.

Imej asal dari Youtube.

_______________________________________________________________________

UPDATE: Jadinya, kali ni kitorang nak cuba kira sekali lagi, tapi untuk 4 minggu sebelum ni, iaitu dari 26 Oktober 2017 sampai 22 November 2017. Sebabnya, sejak 4 minggu lepas, harga minyak nampaknya tak turun-turun. Malah ada yang naik sampai 7 sen.

Korang boleh rujuk harga MOPS kat sini.

1- Harga minyak RON95 (26 Oktober – 1 November 2017) = RM 2.20

Harga MOPS = 56.6

Purata tukaran kepada RM = 3.33

56.6 X 3.33 = 188.48 sen

188.48 sen + 9.54 sen + 5 sen + 12.19 sen + 5 sen = 220.21/ RM 2.20

Nampaknya hasil kiraan sama dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

2- Harga minyak RON95 (2 November – 8 November 2017) = RM 2.24

Harga MOPS = 57.5

Purata tukaran kepada RM = 3.30

57.5 X 3.30 = 189.75 sen

189.75 sen + 9.54 sen + 5 sen + 12.19 sen + 5 sen = 221.48/ RM 2.21

Nampaknya hasil kiraan kurang 3 sen dari harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Harga minyak semasa. Imej dari mysumber.com

3- Harga minyak RON95 (9 November – 15 November 2017) = RM 2.31

Harga MOPS = 60.3

Purata tukaran kepada RM = 3.26

60.3 X 3.27 = 197.18 sen

197.18 sen + 9.54 sen + 5 sen + 12.19 sen + 5 sen = 228.91/ RM 2.29

Nampaknya hasil kiraan kurang 2 sen dari harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

4.  Harga minyak RON95 (16 November – 22 November 2017) = RM 2.38

Harga MOPS = 63.0

Purata tukaran kepada RM = 3.26

63.0 X 3.26 = 205.38 sen

205.38 sen + 9.54 sen + 5 sen + 12.19 sen + 5 sen = 237.11/ RM 2.37

Nampaknya hasil kiraan kurang 1 sen dari harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini secara ringkasnya.

Harga minyak boleh kita kaitkan dengan nilai Ringgit semasa

Sebenarnya harga minyak ni juga kita boleh kaitkan dengan nilai Ringgit semasa. Sebabnya ia berkait rapat dengan tukaran mata wang. Sebagai contoh:

  1. MOPS naik, Ringgit sama = Harga Minyak naik.
  2. MOPS sama, Ringgit naik = Harga minyak turun.
  3. MOPS turun, Ringgit sama = Harga minyak turun.
  4. MOPS naik, Ringgit lemah = Harga minyak naik.

“…harga minyak juga dipengaruhi oleh pendapatan per kapita rakyat di negara ini. Pendapatan per kapita nominal rakyat Malaysia AS$10,878 dan harga minyak dalam dolar Amerika yang perlu dibayar, AS$0.51 seliter (ketika itu). Pendapatan per kapita nominal rakyat Singapura AS$53,053 dan harga minyak dalam dolar Amerika AS$1.44 seliter.

Nak lebih mudah faham, saya katakan macam ini. Pendapatan seorang rakyat Singapura AS$50 dan dia kena bayar AS$1.44 untuk seliter. Pendapatan seorang rakyat Australia lebih kurang sama dengan Singapura dan dia bayar hanya AS$0.80 seliter. Tapi seorang rakyat Malaysia yang pendapatannya AS$10 kena bayar AS$0.51 seliter.

Pendapatan per kapita nominal Singapura 4.9 kali lebih tinggi daripada Malaysia, tapi harga minyak di Singapura hanya 2.82 kali lebih tinggi daripada di Malaysia.” – Datuk Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari kadirjasin.blogspot.

Ada juga kebaikannya harga minyak ni naik. Imej dari monologgue.blogspot

Tapi sebenarnya apa yang kitorang kira tadi tu bukan betul sangat pun. Sebabnya sampai sekarang kerajaan masih lagi tak dedahkan cara pengiraan harga minyak yang sebenar.

Jadinya, apa yang kita perlukan sekarang adalah ketelusan

Sebenarnya, sebelum ni ada je pakar ekonomi yang desak supaya cara pengiraan harga minyak ni didedahkan. Tapi nampaknya macam yang kitorang kata tadi, kerajaan masih tak nak dedahkan. Kami masih lagi menunggu dengan penuh kesetiaaan.

Lagi satu, kitorang juga ada dapat maklumat bahawa ada sekumpulan saintis dari USM yang dah berjaya mencipta kapasitor yang boleh menjimatkan penggunaan minyak. (boleh baca kat sini).

Diharapkan alat ni dapat membantu kita untuk menjimatkan kos kehidupan seharian. Dalam waktu sama, apa yang kita boleh buat sekarang adalah kita kena bijak dalam menguruskan kewangan untuk menghadapi keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini.

“Takde”, kata auntie tersebut tanpa ragu-ragu. Imej dari fjjournal.blogspot.my

[Boleh baca tentang harga Minyak Malaysia dan bagaimana harga minyak di negara ini ditentukan secara lebih terperinci di sini]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.