Kalau korang langgar peragut dengan kereta, adakah korang akan didakwa?

(This article is translated from the English version, click here to read it!)

Memandangkan sampai 7-8 kes ragut kena report kat KL tiap-tiap hari, besar kemungkinan korang sendiri pun pernah ada member atau sanak sedara yang pernah kena. Selalunya time kena ragut, mangsa sangat terkejut sampai tak sempat nak buat apa-apa selain daripada ternganga. So bila baru ni keluar berita ada sorang mangsa yang kejar balik peragut sampai melayang motosikal dorang, ada antara kita yang bersorak senyap-senyap dalam hati.

Kitorang kat SOSCILI pun tak payah pergi jauh. Minggu lepas berdekatan dengan ofis, dua peragut pecahkan cermin kereta sorang wanita kat traffic light, tapi wanita tu kejar balik dan langgar peragut guna kereta dia.

Nasib baiklah wanita tadi takde apa-apa, kedua-dua peragut tadi je kena masuk hospital. Kitorang pun tertanya… adakah polis akan ambil tindakan kalau korang ‘tercederakan’ peragut? Walaupun kalau korang boleh claim insurans bagi cermin yang pecah tu semua?

So kitorang pergi tanya lawyer faveret kitorang, Fahri Azzat dan ofkos, soalan pertama adalah… boleh ke kita kejar peragut ni, dari segi undang-undang?

Ye, korang boleh kejar dorang!

kch-bp150515-ga-snatch-p2Peragut kena ikat tali rafia untuk diserahkan kepada polis. Imej daripada The Borneo Post

Menurut Fahri, Seksyen 27 Kod Prosedur Jenayah membenarkan rakyat marhaen macam kita ni menahan penjenayah bagi tujuan menyerahkan mereka kepada polis. Antara penjenayah yang terlibat termasuklah perompak dan peragut.

Bergantung kepada keadaan, satu lagi undang-undang yang berkaitan adalah Seksyen 96 dalam Kod Penal yang membenarkan korang mempertahankan diri. Walaupun begitu, sekiranya penjenayah tersebut terbunuh, korang masih boleh didakwa dengan kesalahan membunuh.

Jadi dalam kes ragut ni tadi…

Kalau korang langgar penjenayah dan dorang terbunuh, adakah korang akan didakwa?

JANGAN TIRU AKSI INI DI RUMAH.

Sebenarnya benda ni takde jawapan yang straightforward, sebab semuanya bergantung kepada hasil penyiasatan akhir polis.

Ok jom kita ambil contoh kes Mohamad Mazis Mohamed Mokhtar yang melanggar tiga mat motor yang cuba meragut dia dan kawan-kawannya (sorang member sampai kena tetak oleh peragut). Fahri kata memang wajar Mazis mengejar peragut bagi menghentikan mereka dari terlepas serta mendapatkan barang yang diragut.

Tapi samada perbuatan melanggar mereka adalah jenayah ataupun tak, itu bergantung kepada penyiasatan polis. Ini kerana tindakan korang tidak boleh melebihi apa yang diperlukan untuk menegakkan keadilan. Contohnya, mungkinlah korang terpaksa langgar peragut supaya dorang tak lari dengan barang-barang semua, tapi kalau lepas langgar korang golek-golek pulak atas badan dorang sampai jadi lempeng tu dah lain cerita.

“Ada benda ni yang dipanggil sebagai ‘proportionally’, jadi kalau saya serang awak dengan garfu plastik, awak tak boleh balas guna pistol untuk tembak kepala saya” – Fahri Azzat

Jadi kalau tindakan korang ‘tak setimpal’ dengan apa yang perlu dilakukan, korang boleh didakwa dengan jenayah kalau dorang tercedera atau lagi teruk, terbunuh. Ddalam kes Mazis tadi, ia tak boleh diambil kira sebagai tindakan mempertahankan diri sebab mangsa tidak lagi terancam bila peragut lari.

Tapi macam mana kalau korang bukannya mangsa, tapi menolong mangsa dengan mengejar peragut? Wel… kalau peragut tu tercedera atau terbunuh, korang masih boleh didakwa bergantung kepada penyiasatan.

Ok… katakanlah korang bersih daripada sebarang tuduhan polis, ada satu benda lagi yang juga menjadi mangsa keadaan… kereta korang.

Adakah insurans akan bayar kerosakan kereta korang?

Kereta Mazis selepas kejadian. Imej dari Weehingthong.

“Ye, kalau korang ada coverage penuh insurans. Tapi hati-hati je la dengan premium tahun depan.” – Fahri Azzat.

Takde NBC? Tidakkkkkkkkk

NCB adalah “No Claim Bonus”, iaitu diskaun yang korang dapat pada insurans kenderaan kalau korang tak claim apa-apa dalam masa setahun. Klik untuk penerangan lanjut.

Kena ingat yang benda ni masih bergantung kepada polisi masing-masing la ye. Tapi dengan maklumat basic yang kita ada ni, kita boleh bayangkan satu senario:

Marzuki baru kena ragut dan dia pergi kejar peragut dengan kereta dia. Sakinah yang tak bersalah tengah memandu dalam kereta dia, tak jauh daripada Ahmar Marzuki. Tak lama lepas tu, Marzuki pun:

a) Berlanggar dengan Sakinah

b) Langgar motor peragut, yang kemudiannya terlanggar kereta Sakinah

Dalam kedua-dua kes, jawapannya sama:

Ye, Marzuki bertanggungjawab ke atas kereta Sakinah. Hanya sebab korang pergi kejar peragut dak bermakna korang boleh porak-perandakan satu KL sesuka hati macam dalam cerita Mad Max. (Lebih kurang macam ni la nasihat yang Fahri Azzat bagi.)

Ini bermakna… Marzuki kena bayar Sakinah, ataupun biarkan Sakinah claim insurans Marzuki (so tak dapat dah la NCB).

Kalau korang dah tangkap penjenayah, jangan belasah dia sementara tunggu polis!

Dengan kadar jenayah yang meningkat dan orang ramai tercedera, jatuh koma, dan juga terbunuh dek kerana peragut dan perompak ni semua; boleh faham la kenapa ramai sangat yang marah. Silap-silap kalau dapat tangkap di tengah khalayak ramai, memang sayur la si peragut tu.

Tapi korang kena ingat yang senang-senang je korang boleh ditangkap kerana turut menyalahi undang-undang, nak lagi kalau ada orang tangkap gambar atau rekodkan kejadian tersebut dengan smartphone.

Mungkin bunyinya macam tak adil bila penjenayah diberi perlindungan setelah apa yang dorang cuba lakukan, tapi memang ada sebab yang musabah dari segi undang-undang:

“Hanya kerana seseorang cuba melakukan jenayah tak bermakna orang lain dapat hak untuk memukul atau memalukan suspek. Kena ingat yang dia masih belum dijatuhkan kesalahan di mahkamah, jadi dia masih tak bersalah sehinggalah dibuktikan.

Sebanyak mana pun ianya bertentangan dengan sentimen dan emosi kita, kita harus berikan mereka hak dari segi undang-undang.” – Fahri Azzat

Tapi kenapa banyak sangat jenayah berlaku sekarang ni?

Satu-satunya benda yang kitorang belum sebut dalam artikel ni adalah… kenapa kadar jenayah sekarang makin naik? Benda ni boleh disebabkan beberapa faktor termasuklah keadaan ekonomi yang teruk dan jugak kemasukan pendatang asing secara tak sah. Tapi macam mana pulak dengan pihak polis, adakah dorang ni dah buat benda yang secukupnya untuk menyekat jenayah? Apa pendapat korang?

Setakat ni pihak polis ada mengambil langkah proaktif termasuklah menghantar pasukan peronda kat kawasan yang ‘panas’. Macam mana pun, kita pun kena jaga keselamatan diri sendiri. Dan kalau korang nak jaminan atas harta benda, korang boleh dapatkan insurans yang melindungi korang daripada jenayah ragut.

Jadi walaupun dah panjang berjela kami tulis artikel ni, kami harap korang takkan ada keperluan untuk menggunakannya ye. Sekadar menimba ilmu sahaja :)