Istana Sepachendera: Dibina kerana CINTA Sultan Kedah dahulu kepada isterinya

(Korang boleh ikuti dan sertai FB Group Salam Sejarah-tera untuk tahu banyak sejarah negara kita).

Korang mesti ada pasangan atau buah hati yang korang memang sayang gila kan? Agaknya macam mana korang tunjukkan rasa cinta setinggi gunung korang tu? Adakah anda sanggup untuk meredah lautan api? Sempena Hari Valentine, apa plan korang untuk mak ayah, suami isteri, adik beradik, cikgu korang?

Korang tahu kan salah satu lambang cinta juga tersenarai dalam salah satu keajaiban dunia? Bukan pet lock letak kat pagar tepi jambatan tu ye. Tahu kan cerita pasal Taj Mahal. Di mana Taj Mahal dibina sebagai lambang sebuah cinta antara Shah Jahan terhadap isteri dia yang bernama Mumtaz Mahal.

Bukan yang kiri tapi yang kanan ye. Imej dari penulis

Jadi kali ni SOSCILI nak cerita pasal sebuah istana yang dibina kat Malaysia yang ceritanya lebih kurang sama macam Taj Mahal. Mesti korang tak tahu kan kat Malaysia pun ada monumen ala-ala Taj Mahal? Tapi yang penting bukan Kellie’s Castle. Plot ceritanya mungkin sama, tapi bukan dia. Nak tahu tak apa nama tempat tu? Jeng jeng jeng…

Demi cinta Sultan Kedah sanggup bina Istana

Baru-baru ni ada satu video sweet kat Twitter yang sepasang suami isteri ni sambut hari lahir dengan suami buat surprise yang isteri dia tak jangka; lagi-lagi bila umur dah kian lanjut usia kan. Suami dia buat macam tu sebagai tanda nak hargai isteri dan lambang cinta mereka. Tapi SOSCILI bukan nak cerita pasal tu, cerita tu bermula begini ….

Lakaran reka bentuk asal Istana. Imej dari Sinar Harian.

Korang tahu tak ada wujudnya Taj Mahal Malaysia yang diberi nama sebagai Istana Sepachendera (Sepahchandera, Sepahchandera, Sepahchandera; ada macam-macam ejaan tapi bunyinya lebih kurang sama je)?

Mesti korang tertanya-tanya, kat mana terletaknya Istana ni kan. Okay, sebenarnya Istana ni dah terbiar macam tu saja sejak tahun 2000 dan terletak di Jalan Kampung Baru, Alor Setar Kedah. Tapi yang peliknya ada juga masyarakat Kedah sendiri tak tahu pasal kewujudan istana yang penuh dengan sejarah ni. Hmm macam mana tu ye?

“Orang Kedah sendiri tak tahu pasal Istana ni, kecuali siapa-siapa yang dari kawasan situ ramai yang tahu.” – Fazwan, penduduk sekitar Kedah ketika dihubungi SOSCILI.

Tak tahu ke ni lah Istana Sepachendera tu? Imej dari penulis.

Istana ni dibina oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-26 (ada juga yang cakap 25 dan 24) untuk isterinya yang bernama Che Sepachendera. Jangan ingat mat salleh je yang sweet, orang Melayu pun sweet juga tau. Zaman nenek moyang kita lagi dah sweet, siap buat istana lagi. Korang buat apa pula untuk orang yang korang sayang?

Hakikat yang dapat dibuktikan mengenai istana cinta tu, orang umum memang jarang menyedari kewujudan ciptaan sejarah tu. Kecuali orang-orang lama yang tinggal kat Kedah. Mungkin sebab dah terbiar, bersemak samun pula tu. Kalau nak tahu, Istana Sepachandera ni terletak berdekatan dengan Istana Kuning yang sekarang ni dah jadi Pejabat Persatuan Kerabat Diraja Kedah. Kat Kedah ni banyak istana, jadi setiap kali pemerintahan sultan, mereka tidak akan tertumpu kat satu istana je.

Sultan Abdul Hamid dengan Che Sepachendera. Imej dari Facebook Mohd Adam Ahmad.

Orang ramai keliru antara Istana Kuning dengan Istana Sepachendera ni, sebab binaan ni terletak berdekatan je. Tapi apa yang dapat dibezakan, Istana Kuning tu sudah tentulah warna kuning dan binaannya masih terpelihara kalau nak dibandingkan dengan Istana Sepachandera ni.

Kalau siapa yang baru tengok binaan tu mesti punyalah korang cakap bangunan ni berhantu macam kes-kes bangunan lain yang terbiar. Tapi bangunan ni terletak dalam kawasan sekolah. Dan dikawal oleh pengawal kat situ. Cuma bangunan tu je terbiar dan tak diselenggara sehingga bersemak samun dan rosak.

Hmm takut dengan sedihlah bila tengok macam ni. Imej dari Langkawi Ink.com.

Istana tu dibina pada tahun 1882 setelah Sultan Abdul Hamid Halim Shah naik takhta sebagai Sultan Kedah pada tahun 1881 dan istana tersebut merupakan istana pertama yang Sultan Abdul Hamid Halim Shah buat. Istana tu dibina khas untuk isteri Sultan, Che Sepachendera yang dikatakan isteri pertama Sultan. Tapi ada juga yang kata Che Sepachendera ni bukan isteri pertama Sultan. Tapi yang tu masih lagi takda sumber yang sahih.

Untuk siapa-siapa yang tak tahu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah ni sebenarnya ayah kepada Perdana Menteri kita yang pertama, Tunku Abdul Rahman. Tapi bukan anak Che Sepachendera, tapi anak Sultan dengan isterinya yang bernama Che Manjalara. Dan isteri Sultan ni sebenarnya ada 9 orang dan anak dia ada lebih 40 orang.

Ramainyaaa….. Imej dari Gif Finder.

Istana ni lagi mengukuhkan lambang cinta Sultan Abdul Hamid Halim Shah dengan Che Sepachendera bilamana putera sulung mereka lahir dekat istana tu juga, iaitu Tunku Ibrahim yang juga digelar sebagai Tunku Sulong. Lagi bertambahlah nilai sentimental di situ.

Istana yang diperbuat daripada putih telur dengan madu. Boleh tahan ke?

Istana utama waktu tu adalah Istana Kota Setar yang sekarang dah jadi Muzium Di Raja. Tapi Che Sepachendera ni tak tinggal dan duduk dekat Istana utama tu. Dia tinggal dekat Istana yang suami dia dah bina khas untuk dia. Di mana kat situlah memori mereka tercipta.

Sweetnya cerita ni. Imej dari Tenor

Apa yang unik, istimewa dan menariknya mengenai Istana Sepachandera ni, dia dibina dan diperbuat daripada putih telur dan manisan lebah (madu). Hah? Terkejut ke? Tapi menarik bukan? Tapi macam mana pula tu? Agak-agak bangunan tu bersemut tak?

Okay cerita dia macam ni, waktu zaman dulu mana ada konkrit yang berteknologi tinggi macam sekarang. Jadi dengan adanya pakar-pakar senibina dahulu yang bijak pandai, mereka menggunakan putih telur dan madu sebagai pelekat dan cantuman pada bangunan. Putih telur dan madu tu dicampur dengan pasir dan jadilah macam simen.

“Saya difahamkan penggunaan putih telur dan manisan lebah itu diletakkan di bahagian dinding dan bumbung untuk menguatkan struktur bangunan itu daripada ditelan zaman.

Saya percaya kedua-dua bahan itu juga turut berperanan sebagai gam untuk melekatkan selain menguatkan struktur antara simen dan batu di bangunan terbabit” – Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd Yusof, Sejarawan, sumber dari BH Online.

Cuba bayangkan berapa banyak ayam yang dipaksa kena bertelur untuk digunakan buat bangunan ni. Yelah, dulu mana ada teknologi macam sekarang yang dah khususkan sesetengah ayam tu fungsi dia untuk bertelur je kan. Dan cuba korang bayangkan juga, betapa telitinya masyarakat zaman dulu untuk menghasilkan sebuah ciptaan.

Hah? Kena bertelur lagi? Lari….. Imej dari Gifer.

Bangunan tu pun masih kukuh lagi cuma ada beberapa aspek je yang dah lemah dan uzur dimamah usia. Bukan nak bandingkan dengan sekarang, tapi sekarang ni kualiti bangunan pun dah tak berapa baik, kejap-kejap bocor dan retak sana sini. Lepas ni kita boleh lah cadangkan arkitek ke tukang buat rumah ke untuk campur putih telur dengan madu dalam pasir dan simen.

Selain itu, Istana ni juga adalah campuran dari reka bentuk Siam dan Melayu. Sultan Abdul Hamid Halim Shah gabungkan seni bina tersebut sebab Che Sepachendera ni asal dari Siam. Jadi Sultan pun gabungkanlah inspirasi dan idea seni bina tu. Haih romantiknya Sultan kita ni.

Istana ini juga mempunyai tiga tingkat dan setiap reka bentuk serta struktur dalamannya mempunyai fungsi yang berbeza. Dan kebiasaannya Istana ini sentiasa dipenuhi dengan aktiviti keramaian sebab binaan tersebut dan ruang dalam Istana tu dah dikhaskan untuk orang awam buat aktiviti, macam aktiviti keramaian tu.

Ni lah ruang Istana Sepachendera tu. Imej dari Umkeprints.

Bila dah terbiar, Istana diganti dengan sekolah dan sekarang tunggu masa nak roboh je

Bila Che Sepachendera ni meninggal dunia pada tahun 1909, dan Sultan Abdul Hamid bersumpah taknak tinggal di Istana tu lagi disebabkan terlalu banyak kenangan mereka kat situ dan taknak lah Sultan berterusan sedih je kan. Sultan pun kena move on.

Istana tu terbiar macam tu saja sampailah tahun 1922. Jadi dengan inisiatif Tunku Ibrahim yang waktu tu dia memang pentingkan pendidikan, dia jadikan Istana tu sebagai Sekolah Perempuan Kampung Baru yang merupakan sekolah Inggeris khas untuk perempuan di Kedah. Dan sekolah tersebut juga terbuka untuk golongan diraja pada waktu tu. Siapa yang tak berapa mahir akademik, akan dialihkan fokus mereka pada bidang kemahiran macam menjahit dan memasak.

Ni antara pelajar yang bersekolah dekat Istana Sepachendera. Imej dari Langkawi Ink.com.

Sekolah tu ada dekat Istana sampai tahun 1954 je dan sekolah tu berpindah di Jalan Langgar Kedah serta dinamakan sebagai Sekolah Menengah Sultanah Asma. Ada juga pada waktu perang dunia ke-2, Istana tersebut dijadikan Pusat Bahasa Jepun. Tapi lepas perang berakhir, ia digantikan semula dengan sekolah juga sehinggalah pada tahun 2000, Istana tersebut dijadikan surau untuk pelajar Kolej Insaniah. Selepas tu, Istana tersebut dah tak digunakan lagi sampailah ke hari ini.

Kronologi Istana Sepachendera. Imej dari Umkeprints.

Istana ni sekarang terletak di dalam kawasan sekolah, Sekolah Menengah Islam Al-Haj. Bila Istana ni dah tak berpenghuni dan dah tak digunakan, Istana ni dah mengalami kerosakan yang teruk sehingga 60-80% daripada keseluruhan bangunan disebabkan ada parasit dan pokok liar. Sedihnya.

Kawasan Istana yang semak samun dan rosak. Imej dari New Straits Times.

Sekarang, status Istana ni macam tergantung sepi yang di mana pada tahun 2014 hari tu, ada juga diwartakan Istana tersebut akan dibaiki dan dijadikan sebagai muzium dan galeri Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tapi sampai sekarang masih tak ada apa-apa tindakan lagi. Masayarakat Kedah mengatakan memang kat Kedah banyak bangunan-bangunan yang terbiar. Sayangnya kalau bangunan bersejarah macam tu terbiar tunggu roboh macam tu je. Tu pon dikira salah satu khazanah negara yang tinggi nilainya.

Kedah lubuk warisan sejarah

Sebenarnya Kedah salah satu negeri yang dilaporkan banyak menemui penemuan artifak-artifak, khazanah bersejarah dan bangunan lama. Agak-agak negeri Kedah boleh tak diwartakan sebagai negeri bersejarah macam Melaka juga?

Macam-macam ada kat Kedah. Imej dari penulis.

Baru-baru ni ada sekumpulan agensi yang buat gotong-royong di kawasan Istana tu, katanya nak teruskan perancangan muzium dan galeri yang dah dirancang dulu. Tapi kita tunggu saja lah apa berita seterusnya dan apa yang akan jadi nanti.

“Jadi kita harap mana-mana pihak yang berkaitan dapat bersama dengan kerjasama negeri untuk melaksanakan agenda dalam usaha menaikkan kebudayaan sejarah di Kedah” – Asmirul Anuar Aris, Exco Perlancongan, Seni dan Budaya, sumber dari Sinar Harian. 

Kita sebagai rakyat Malaysia sebenarnya kena ada inisiatif juga untuk suarakan konservasi tempat-tempat bersejarah macam ni. Kita patut tahu kewujudan tempat-tempat unik ni kerana benda-benda macam ni merupakan sejarah negara kita, jangan hanya tahu dan ingat apa yang ada dalam buku teks dan yang keluar exam je tau.

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)