Dua beradik ni pergi ke Sepanyol untuk ambik LESEN pemandu belon udara panas

Hari tu korang pergi tak festival belon udara panas yang ke-10 kat Purajaya tu? Siapa yang dapat experience naik belon udara tu mesti feeling-feeling macam dalam cerita Manisnya Cinta di Cappadocia kan? (Hehe).

Pesta tahunan tu berjaya menarik perhatian orang ramai, lagi-lagi hari yang adanya pesta belon udara tu waktu cuti sekolah. Lagi ramailah pengunjung datang nak rasa pengalaman naik belon udara tu macam mana. Lepas ni boleh lah tulis dalam diary. Ada lebih 20 jenis belon udara telah berterbangan kat Putrajaya tu dan terdiri daripada 14 buah negara kat seluruh dunia. Yang menariknya, belon udara tu ada macam-macam bentuk, bukan semuanya bulat dan lonjong je. Bentuk sotong pun ada!

Terbang ke Sepanyol sebab belon udara?

Banyaknyaaaaa. Imej dari Giphy

Apa yang menariknya dan apa yang kita tahu, sekarang ni kat Malaysia pesta belon udara panas ni dah jadi pesta tahunan. Setiap tahun mesti orang tertunggu-tunggu nak rasa naik belon udara panas ni. Yelah, nak travel pergi overseas tak mampu lagi, duit tak cukup, dapat merasa naik belon udara panas kat Malaysia pun kira okay jugak sebab kita boleh pilih bentuk belon udara yang mana yang kita nak naik. (Hehe).

Sebelum tu, di sebalik pesta belon udara tu korang tahu tak yang jadi pemandu belon udara pertama kat Malaysia ni adalah terdiri daripada golongan PEREMPUAN yang jugak merupakan adik beradik? Diaorang jugak orang yang bertanggungjawab dalam kendalikan Fiesta Belon Udara Antarabangsa Putrajaya (PIHABF) ni. Izzati Khairudin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat AKA Balloon Sdn Bhd dan Atiqah Khairudin merupakan Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam dalam syarikat yang sama.

Ni lah dua beradik pemandu belon udara Malaysia tu. Imej dari BH Online

Sebab nak teruskan legasi keluarga dan nak sambung amanat dari ayah diaorang yang menjalankan operasi syarikat AKA Balloon Sdn Bhd ni lah, diaorang berusaha nak dapatkan lesen penerbangan persendirian (PPL). Lesen tu bukan senang tau nak dapat. Diaorang ambik lesen tu kat Sepanyol, bukan macam ujian memandu JPJ untuk dapatkan lesen yang korang gagal waktu naik bukit tu tau (hehe).

“Bukan mudah sebenarnya untuk memperolehi lesen udara panas ini. Kami berdua menjalani latihan intensif yang sangat ketat.

“Di Sepanyol kami diajar untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Asas utama yang diajar adalah mengetahui arah angin, cuaca serta kawasan lapang yang sesuai untuk menerbangkan dan menurunkan belon udara panas,”- Izzati Khairudin, Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon Sdn Bhd, sumber dari BH Online.

Diaorang habiskan sebanyak RM100,000 nak bayar yuran untuk lesen belon udara tu. Uish harga yuran je pun dah boleh bayar sebijik kereta! Untuk dapatkan lesen tu, diaorang jugak kena pergi kelas khas. Jumlah sebenar adalah bernilai 7000 Euro bersamaan RM33,035. Jadi, diaorang terpaksa habiskan RM100,000 untuk dapatkan lesen dan sertai kelas khas tu.

“Kami membesar dengan belon udara panas, malah arwah bapa kami juga merupakan lelaki pertama Malaysia yang mengemudi belon panas. Selepas tujuh tahun bekerja on ground di PIHABF, kami akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil lesen di Sepanyol …,” – Atiqah Khairudin, Pegawai Pemasaran dan Perhubungan Awam, sumber dari EH!

Waktu sesi latihan kat Sepanyol. Imej dari Says

Syarikat tu merupakan sebuah syarikat perintis pertama perusahaan belon udara panas kat Malaysia ni. Dan syarikat tu jugak menawarkan khidmat dan servis jual dan sewa belon udara panas kat syarikat korporat yang lain.

Dan Izzati ada bagitahu yang selain dapat uruskan syarikat tu, bila dia ada lesen sebagai pemandu belon udara panas tu dia dapat tahu dengan lebih mendalam tentang kerja teknikal berkaitan belon udara panas. Selain tu, dapat jugak bagi kelebihan kat dia bila berhadapan dengan pelanggan yang gunakan servis belon udara panas tu jugak. Menarik!

Belon udara dikategorikan sebagai sukan baru

Kat overseas ada aktiviti yang macam ni jugak. Mesti best. Imej dari Refined Guy

Selain dapat bagi peluang kat orang ramai dapat merasa naik belon udara panas tu, diaorang jugak dapat cuba benda baru yang jarang-jarang ada kat Malaysia ni. Dan aktiviti naik belon udara panas ni dah popular dan komersial kat luar negara, cuma kat Malaysia kurang diketengahkan sebab kos penyelenggaraannya agak mahal.

Aktiviti ni dikategorikan sebagai aktiviti sukan baru dan salah satu sukan udara sebab ia perlukan teknik dan kawalan yang betul serta tertentu waktu mengendalikan belon udara tu. Dan ia jugak dikategorikan riadah yang sesuai untuk keluarga.

Sambil tu dapat cari ketenangan jugak. Imej dari Giphy

Izzati dan Atiqah buat keputusan nak ambik lesen pemanduan belon udara tu sebab dia perhatikan kat Malaysia masih takde lagi jurulatih dan latihan khas dalam sukan belon udara ni, selain daripada dapat mewarisi apa yang ayah dia tinggalkan. Kalau nak tahu, ayah diaorang, Kapten Khairudin Abdul Rani merupakan orang pertama Malaysia yang memandu belon udara panas ni.

“Mungkin pendedahan mengenai sukan ini masih baru dalam kalangan warga Asia. Siapa tahu mungkin kami akan menjadi tenaga pengajar pertama dari Asia nanti,” – Izzati Khairudin, Ketua Pegawai Eksekutif, sumber dari BH Online.

Diaorang jugak ada mewujudkan Myballoon Adventure di bawah seliaan AKA Balloon Sdn Bhd yang terletak kat Sungai Besi, Kuala Lumpur. Organisasi tu menyediakan pakej menaiki belon udara panas pada bila-bila masa, jadinya tak payah tunggu pesta belon udara tu yang akan ada cuma setahun sekali tu je.

Pakej tu termasuk sekali dengan makanan, sijil dan gambar dalam belon udara tu yang dikelilingi pemandangan yang shantik! Kalau nak tahu pakej tu lebih lanjut, boleh klik sini.

Siapa nak rasa pengalaman jadi burung, bolehlah pergi kat Myballoon Adventure tu. Imej dari Wander With Angela

Kalau kat luar negara terutamanya kat kawasan Eropah, aktiviti belon udara panas ni sangat komersil dan orang-orang kat sana sangat familiar dengan kemahiran diaorang mengendalikan belon udara panas.

Tapi sebenarnya kat Malaysia, aktiviti ni berpotensi untuk dikomersilkan sebab Malaysia ada kelebihan sendiri iaitu dari segi cuaca dan suhu. Macam kat negara luar, cuaca 4 musim jadi halangan bagi diaorang untuk terbangkan belon udara tu, tapi kat Malaysia, ianya boleh dijadikan sebagai salah satu kelebihan.  

Mungkin lepas ni akan ada keluar filem Manisnya Cinta di Kuala Lumpur? 

Layannn. Imej dari Khairil Azreen Azmi

Korang kena ingat juga, naik belon udara panas bukan je buat korang seronok, tapi alam sekitar juga selamat.

Gas belon udara boleh selamatkan Bumi. Tapi macam mana?

Ni struktur belon udara panas tu. Imej dari slideplayer

Untuk terbangkan belon udara panas tu, ia perlukan teknik-teknik tertentu dan pengemudi belon udara tu perlu tahu arah angin, di mana belon tu akan mendarat dan keadaan cuaca ketika tu. Selain tu, pengemudi belon udara tu jugak perlu ikut prosedur yang dah ditetapkan sebab nak kendalikan belon udara ni agak remeh dan complicated. Dan belon ni tak tahan dengan cuaca panas, jadi kalau suhu atau cuaca tersangat panas tu, belon ni akan jadi tak stabil dan bahaya kalau diterbangkan.

“Jika cuaca panas, belon tidak stabil dan berbahaya kerana belon udara perlu dipanaskan kira-kira dua hingga lima minit sebelum diterbangkan dan kami menggunakan gas asli cecair (LPG) berbanding gas propana yang sering digunakan pemilik belon udara di luar negara,” – Izzati Khairudin, Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon Sdn Bhd, sumber dari Metro.

Sebelum nak terbangkan belon udara panas tu, proses pertama yang perlu dikendalikan adalah proses mengembangkan ‘skirt envelope’ belon udara tu yang perlukan kira-kira tempoh 15 minit ke 20 minit. Untuk kembangkan ‘skirt envelope’ tu api dinyalakan pada bahagian pembakar menggunakan gas petroleum cecair (LPG) lepastu dihalakan ke arah ‘skirt envelope’ tu. Setiap belon udara tu dilengkapi dengan 3 tong gas LPG sebab setiap 1 jam, belon udara perlukan 1 tong gas LPG tu.

Contoh tong-tong gas LPG. Gas LPG ni pun gas yang kita guna waktu masak tu. Imej dari Docplayer

Apa yang menariknya, gas LPG ni sangatlah ‘eco-friendly’ dan selamat kepada alam sekitar kita ni. Gas ni adalah gas yang boleh menggantikan gas klorofluorokarbon yang boleh kurangkan kerosakan pada lapisan ozon.

Gas LPG ni menghasilkan dan melepaskan gas rumah hijau yang boleh menyebabkan pemanasan global dalam kadar yang sangat minimum. Jika nak dibandingkan dengan semua bahan api fosil yang ada, gas LPG ni lebih selamat. Gas LPG terdiri daripada kuantiti Nitrogen, Sulfur dan zarah-zarah lain yang sangat sedikit. Kalau bahan-bahan tersebut dilepaskan dalam kuantiti yang banyak menerusi sesuatu gas, ianya akan merosakkan dan bagi kesan ke atas ruangan atmosfera bumi ni.

Ada satu kajian bagitahu yang kalau seseorang tu masak atau menggunakan bahan api LPG, sebenarnya ia dapat membantu menurunkan kadar penyerapan gas rumah hijau sehingga 70%! WOW!!! Selain tu, haba yang dikeluarkan dari gas LPG ni jugak kurang panas kalau nak dibandingkan dengan gas-gas yang lain.

Proses nak ‘terbangkan’ belon udara. Imej dari BH Online

Jadi, gas LPG memang sesuai digunakan untuk terbangkan belon udara panas ni. Tapi ada jugak orang yang tak bertanggungjawab dan nak jimatkan kos, diaorang guna gas hidrogen untuk apungkan belon kat udara. Bila guna gas hidrogen ni memang lah ada kelebihan dia, sebab belon tu akan terapung lebih tinggi sebab sifat gas hidrogen ni lebih ringan daripada udara. Jadi seronoklah dia bebas terbang ke sana sini.

Tapi apa yang bahayanya gas hidrogen ni mudah terbakar dan meletup kalau terdedah dengan bahan atau sumber api yang berhampiran. Dan ada satu kes kat Terengganu dulu, belon yang menggunakan gas hidrogen meletup dan dah mencederakan lebih kurang 30 orang dan kanak-kanak kat situ. Bahayakan? 

Ni lah belon udara yang terbakar tu. Imej dari Airships

Jadi lepas ni kalau korang nak belikan belon yang kat pasar malam tu kat budak kecik, ataupun nak naik belon udara, kena pastikan dulu gas apa yang diaorang gunakan tu.

Lepas ni ada poin nak lepak Putrajaya

Bila kita tengok dan semak semula, pesta belon udara panas yang setiap tahun diadakan kat Malaysia ni dapat bagi peluang kat orang ramai rasa macam mana naik belon udara tu dengan kos yang lebih jimat dan murah kalau nak dibandingkan dengan kos pergi kat negara luar.

“Pengunjung bukan saja dapat melihat belon udara panas yang dihiasi dengan pelbagai warna, malah boleh menyaksikan keindahan di Putrajaya.” – Datuk Dr Aminuddin Hassim, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), sumber dari BH Online.

Suasana waktu pesta belon udara hari tu. Imej dari BH Online

Eh bukan tak bagi korang pergi luar negara, tapi kalau kat dalam negara ada benda yang sama lebih baik rasai apa yang ada dengan lebih murah. Selain tu, dengan adanya aktiviti yang macam ni, dapatlah jugak jadi tarikan pelancong luar negara dan secara tak langsung dapat majukan negara dengan adanya pertukaran transaksi dan ada hubungan dua hala yang baik.

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)