- 2.0KShare sekarang!
- Email2
- Facebook2.0K
- Share
Belum pun sebulan kita sambut tahun baharu 2019, dah macam-macam benda yang jadi kat Malaysia. Dengan Yang di-pertuan Agong (YDPA) yang tiba-tiba letak jawatan, Wall Street Journal (WSJ) kata China nak tebus wang 1MDB. Untuk individu pulak, ramai jugak yang mulakan tahun baru dengan pasang azam baru. Selalunya orang akan ambik je azam-azam tahun lepas yang tinggal kenangan…
Bukan setakat tahun baru je, kita bakal dapat YDPA yang baru. Tapi ada individu yang mulakan tahun baru dia dengan bermasalah bila diorang keluarkan kata-kata kesat terhadap bekas YDPA dan akan kehilangan kerja. Bukan setakat tu je, diorang akan berkemungkinan dimasukkan ke dalam penjara kalau didapati bersalah.
So meh kita tengok, beberapa orang yang terkena ‘masalah tahun baru’ sebab diorang tersalah langkah di media sosial. Tapi sebelum tu…
Dah pernah ada orang kena penjara sebab hina YDPA sebelum ni
Sebenarnya kes hina YDPA ni bukan benda baru, tahun lepas pun pernah jadi. Memang macam tu lah dunia sekarang ni, korang boleh dikenakan hukum sebab kenakalan tangan korang main media sosial. Kalau korang nak tahu – seorang suri rumah pernah dibicarakan kat mahkamah sebab dia post berita palsu yang bersifat menghina YDPA.
Kalau ikut laporan kes ni, dia pun main Facebook macam yang korang selalu buat kalau ada masa lapang. Bezanya, dia ambik keputusan untuk gunakan platform media sosial untuk lakukan penghinaan pada YDPA. Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Akhirnya mahkamah pun jatuhkanlah hukuman 8 bulan penjara kat suri rumah ni. Kalau ikutkan dia dah bebas, moga dia ambik pengajaran supaya lebih berhati-hati bila guna Facebook.
Pada tahun 2017 pulak – ada seorang pengguna Facebook yang berani gila edit gambar YDPA masa tu dalam keadaan tak sopan. Dia gunakan nama ‘Catt Ginger’ di Facebook. Apa yang dia buat? Dia muat naik gambar YDPA yang disunting kat bahagian hidung supaya kelihatan macam khinzir. Bukan setakat letak gambar yang macam tu je – dia turut letak ayat; selamat menyambut Aidilfitri.
Atas sebab tu, dia pun ditahan. Tapi kitorang tak jumpa laporan yang beritahu dia kena dakwa atau tak.
Pemuda UMNO kecoh sebab kes hina YDPA?!
Kitorang rasa benda ni korang dah tahu, melainkan korang tinggal kat dalam gua atau takde internet sejak beberapa hari ni. Meh kita mulakan cerita dengan Eric Liew;
Eric Liew taip sesuatu yang keterlaluan kat FB, dia keluarkan ayat yang kitorang pun tak berani nak taip balik. Komen dia tu buat ramai orang marah sebab ia jelas-jelas bersifat menghina bekas YDPA. Apa lagi, warga internet pun bagi tular komen dia…
Bila dah tular, benda jadi kecoh ah. Apa lagi – Pemuda UMNO pun ambik keputusan untuk pergi serang tempat Eric Liew ni kerja. Diorang siap hantar memorandum kat syarikat Eric dan mintak syarikat tu ambik tindakan yang tegas – sebab katanya Eric Liew dah lakukan kesalahan yang langgar falsafah Perlembagaan Malaysia.
Kemudian ada pulak dua individu (suami isteri pulak tu) – diorang pun buat benda yang lebih kurang macam Eric Liew, tapi kes ni jadi kat Twitter pulak. Kuasa pengguna internet sekali lagi tularkan kedua-dua komen tu. Ramai yang mintak diorang dikenakan hukuman yang berat sebab kutuk bekas YDPA. Nampaknya, sekali lagi tekanan tu menjadi.
Kalau korang nak tahu – pasangan ni masing-masing kerja kat TNB dan firma perundingan PEMANDU Associates. Akibat daripada tekanan pengguna internet; kedua-dua syarikat ni ambik keputusan untuk gantung diorang dari bekerja.
Selain daripada perlu berhadapan kehilangan kerja – diorang jugak telah ditahan oleh PDRM untuk disoal siasat. Diorang ditahan sebab ada banyak laporan polis terhadap ketiga-tiga individu tu.
Cuba korang teka – diorang akan disiasat di bawah akta apa? Jeng je jeng. Nampaknya diorang akan disiasat di bawah Akta Hasutan. Benda ni agak aneh disebabkan beberapa perkara – orang yang hina YDPA tahun lepas yang kitorang cerita awal-awal tadi, tak dikenakan Akta Hasutan.
Patutkah diorang bertiga ni didakwa di bawah Akta Hasutan?
Sejak penahan tiga individu ni – ramai yang orang yang bincang tentang kewajaran diorang didakwa dibawa Akta Hasutan. Korang kena ingat – kitorang boleh kata; majoriti daripada rakyat Malaysia setuju diorang dikenakan hukuman sebab diorang biadap dan menghina YDPA memang satu jenayah kat Malaysia.
Persoalan utama diorang – wajarkah Akta Hasutan? Saja bagi korang ingat – Eric Liew dah dibuang kerja dan suami isteri tu pulak tengah digantung kerja, kemungkinan besar akan terima nasib yang sama macam Eric. So, kalau kitorang kat tempat diorang pun dah rasa susah gila dan menyesal atas tindakan tu. Kalau nak dakwa pulak, kenapa tak gunakan Akta macam suri rumah yang kitorang cerita awal-awal tadi?
Ada dua orang ahli politik yang beri pandangan yang Akta Hasutan ni tak wajar, diorang kata;
“Kami tidak melihat ekspresi ketiga-tiga individu tersebut sebagai tergolong dalam kategori yang disebutkan itu, walaupun ekspresi tersebut wajar dikecam. Keputusan pihak polis untuk menahan mereka di bawah Akta Hasutan adalah bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan, dan melanggar moratorium yang telah dikenakan, dan kami menggesa supaya mereka dilepaskan dengan segera,” – Kenyataan bersama 2 pemimpin muda DAP, dipetik dari MALAYSIAKINI
Lepas tu, ada jugak peguam yang kata diorang tak patut dikenakan Akta Hasutan tapi didakwa atas Kanun Keseksaan. Pengerusi Peguam Lawyers For Liberty (LFL), Latheefa Koya rasa tindakan kerajaan siasat diorang di bawah Akta Hasutan tu memang tak patut.
“Pihak berkuasa mesti lebih arif apabila memberikan reaksi terhadap mesej-mesej tular di media sosial terutamanya jika yang dikatakan posting ‘menghina’ telah diperbesar-besarkan. Berbuat demikian serupa seperti mob rule (pemerintahan sekelompok individu),” – Latheefa Koya, dipetik dari MALAYSIAKINI
Ada juga yang bagi pandangan yang YDPA melebihi semua orang dalam Perlembagaan. Menurut seorang Ahli Majlis Peguam Negara, Lukman Sheriff – YDPA ada keutamaan paling tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia. So, bila korang hina YDPA, ia akan dikira sebagai ‘hate speech’. So, diorang patut dikenakan hukuman.
“Kebebasan bersuara boleh disekat oleh undang-undang yang melarang persoalan ke atas apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan dan kedaulatan raja-raja.Maka menghina raja-raja adalah satu “hate speech” yang dilarang oleh undang-undang. Ini redline bagi negara kita. Lampu merah kita,” – Lukman Sheriff, dipetik dari Facebooknya
So, dari ketiga-tiga hujah pakar Perlembagaan ni, kita boleh nampaklah ada perbezaan pandangan yang jelas di antara diorang. Diorang ni pengamal undang-undang dan ada hujah tersendiri; ada yang tak setuju dengan Akta Hasutan, dan yang cenderung untuk setuju.
Bukan setakat diorang je ada perdebatan macam ni – Tun Mahathir pulak kata perlu pendefinisian yang jelas tentang ‘hina’ YDPA ni. Tapi dalam masa yang sama – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong – rancang nak gubal undang-undang baru untuk lindungi YDPA.
Kitorang rasa ramai je nampak perbincangan dan perdebatan tentang kes ni tengah berlaku dan hangat diperkatakan. Ada yang setuju, ada yang tak setuju – so, ni bukan kitorang saja memandai-mandai, sebab tu kitorang bagi hujah kedua-dua pihak.
Berhati-hati di jalan raya, hati-hati jugak kat alam maya
Take Our PollSo korang rasa macam mana? Wajarkah diorang ni didakwa di bawah Akta Hasutan sedangkan kita dah ada undang-undang lain yang boleh digunakan dalam kes ni? Diorang juga dah atau bakal dibuang kerja disebabkan kesalahan ni. Korang jangan lupa – mansuhkan Akta Hasutan ni terkandung dalam janji ke 27 Pakatan Harapan masa PRU14 hari tu.
Korang memang akan jumpa banyak perbincangan dan perdebatan tentang pemansuhan Akta Hasutan ni. Sebabnya ia adalah isu yang panas; sebelah pihak selalu kata nak lindungi negara, dan sebelah pihak lagi akan kata ia sering disalahgunakan atau dah ada undang-undang lain yang boleh digunakan.
Kalau didapati bersalah di bawah Akta Hasutan – Untuk kesalahan pertama diorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak lebih dari 3 tahun, atau kedua-duanya sekali. Antara orang yang pernah kena Akta Hasutan adalah Rafizi Ramli, dia pun ada kata dia tak berapa setuju dengan penangkapan di bawah Akta Hasutan ni.
Nasihat kitorang simple je – kalau tengah lepak kat media sosial tu, hati-hati lah ye. Korang kena fikir masak-masak sebelum tulis sesuatu, sebabnya takut nanti korang menginap kat bilik tak ada pintu. Lepas keluar bilik tu, hilang kerjalah pulak.
- 2.0KShare sekarang!
- Email2
- Facebook2.0K
- Share