- 219Share sekarang!
- Email5
- Facebook214
- Share
Empat Dara Duduk Di Tepi Sungai ~~~ Duduk Menjerat Si Ketamlah Batu ~~~ Ha masukkk!
Itulah penangan Kampung People 2 lakonan Elly Mazlein (Mona) dan Adibah Noor (Dona) yang trending sekarang ni. Semuanya bermula dengan satu babak yang memaparkan Mona mencabar Dona menyanyikan lagu tradisional Melayu itu. Tak pasal-pasal lagu Empat Dara popular di media sosial dan kembali didengar oleh rakyat Malaysia.
Berdasarkan maklumat, Empat Dara adalah lagu ciptaan Ahmad Yusoh seorang penggiat ghazal yang terkenal pada suatu masa dulu. Lagu itu kemudiannya telah dinyanyikan oleh ramai artis dari dulu hinggalah sekarang. Antara yang paling popular sudah semestinya versi yang didendangkan oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini (allahyarhamah) dalam album Dewi Seri Malam.
Jadi, apa kata kita layan dan luangkan masa mendengar versi-versi ‘Empat Dara’ yang pernah dinyanyikan oleh artis-artis lain ni? Mungkin kita boleh mula dengan…
1. S. Radziah & Orkes Gambus Penambang, pada tahun 1968
Berdasarkan dapatan, S. Radziah & Orkes Gambus Penambang mendendangkan lagu ini dalam satu piring hitam yang dikeluarkan pada tahun 1968. Walaupun begitu tak ada maklumat lanjut tentang siapa S. Radziah – yang banyak menyanyikan lagu-lagu tradisional Melayu ini.
Apa yang pasti, beliau juga ada mendendangkan lagu lain seperti Hanya Janji, Belahan Dua Jiwa, Kaseh Bukan Paksaan, Kenangan Manis dan banyak lagi. Bila dengar nyanyian S Radziah ni, memang terasa keaslian dan keasyikan irama Melayu-nya tu.
2. Nuraniza Idris, dalam albumnya ‘Iktiraf’
https://www.youtube.com/watch?v=-PJN3d-EKMw
Nama ni sememangnya tak perlu diperkenalkan lagi dalam industri muzik Tanah Air. Terkenal sebagai Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris menyanyikan lagu ni dalam album studio-nya yang ke-10, ‘Iktiraf’ pada tahun 2000. Album itu menampilkan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sebagai penerbit dan pengubah lagu untuk beberapa buah lagu.
Selain Empat Dara, album itu juga menampilkan lagu – Mengulek (Prolog), Iboq (Kita), Manira, Laduni, Malinja, Logamaya, Dewangga, Kuala Mersing, Ya Salam dan Joget Dondang Sayang.
3. Siti Nurhaliza berduet dengan kakaknya
https://www.youtube.com/watch?v=_wFhEMCt3oc
Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza pun tak terlepas dari menyanyikan lagu ni untuk beberapa kali. Antaranya adalah berduet bersama kakaknya Saida Tarudin dan ketika Konsert Lentera Timur 2013 di Istana Budaya pada 2013. Selain itu, Siti juga ada membawakan pelbagai lagi lagu berimara Malaysia seperti Cindai, Nirmala, Balqis, Ya Maulai dan banyak lagi.
4. Faizal Tahir tampil dengan irama Malaysia
Untuk yang ni pula, sebenarnya memang agak jarang kita dengar penyanyi Gemuruh ni menyanyikan lagu irama Malaysia. Tapi rupa-rupanya, Faizal Tahir pernah mendendangkan Empat Dara dalam program Ghazal Rock di TV3 pada musim raya tahun 2008. Program unik tu berkonsepkan ‘muzikal dua genre’ menggabungkan irama ghazal dan rock yang dihoskan oleh Ally Iskandar dan Faizal Ismail (Hot FM).
Selain Faizal, artis lain yang turut tampil dalam program tu adalah Anuar Zain, Ning Baizura, Ella dan Jinbara.
5. Pak Ngah, pejuang irama Malaysia yang disegani
Kalau berbicara soal irama Malaysia, tak dapat kita dari melupakan jasa Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) sebagai antara orang yang cukup ke depan mengetengahkannya. Dan rupa-rupanya, Pak Ngah juga pernah mendendangkan lagu ni pada 2009 di Singapura. Persembangan itu dibuat dalam satu bengkel konsert Taman Warisan Melayu, anjuran Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (PERKAMUS).
Irama Malaysia kembali didengari
Walaupun ketika ini lagu irama Malaysia agak kurang mendapat sambutan, nampaknya perkembangan terbaru ini menunjukkan sebaliknya. Malah, Siti Nurhaliza dalam album terbarunya, ManifestaSITI2020 pada 3 Julai lalu juga tampil dengan lagu irama Malaysia apabila beliau memberikan nafas baru pada lagu: “Teratai Menjelma” yang pernah dinyanyikan oleh Datuk Sudirman Haji Arshad (allahyarham).
Menurut Siti, beliau tak akan meninggalkan lagu irama Malaysia dalam setiap albumnya dari dulu hinggalah ke akan datang. Terima kasih juga kepada populariti Kampung People dan Elly Mazlein yang membuatkan orang ramai membuka mata dan kembali mendengar lagu-lagu irama Malaysia.
“Tiba-tiba lagu ni keluar di recommendation, lah rupanya pasal Kampung People😂. Eloklah anak-anak muda sekarang dah suka lagu lama macam ni! Thanks Kak Lina Pom Pom sebab femeskan balik.” – Kata seorang netizen di Youtube.
- 219Share sekarang!
- Email5
- Facebook214
- Share