- 128Share sekarang!
- Email7
- Facebook121
- Share
Seluruh manusia di dunia ini pasti mengenali lagenda pemuzik dari kumpulan muzik The Beatles iaitu John Winston Lennon atau nama popularnya John Lennon. Semasa bersama dengan The Beatles, beliau dan ahli kumpulannya telah berjaya menghasilkan 12 album – antara album yang popular ialah Revolver, Sgt. Pepper’s Lonely Hearts Club Band, Abbey Road dan Please Please Me. Namun, pada tahun 1970, The Beatles telah berpecah dan masing-masing membuat haluan kerjaya muzik sendiri.
Pada 8 disember 1980, John Lennon telah menghembuskan nafas terakhirnya kerana ditembak oleh peminatnya sendiri. Namun, bagaimana kejadian tragedi kematian John Lennon mungkin masih menjadi tanda tanya kepada segilintir orang. Jadi, mari kami bongkarkan kenapa John Lennon mati dibunuh oleh peminatnya sendiri. Sambil baca artikel ni, korang boleh dengar lagu popular mereka iaitu “Hey Jude” (lagu yang ditulis oleh Paul McCartney untuk memujuk anak John Lennon):
John Lennon dibenci selepas mengaku The Beatles lagi hebat dari Tuhan
Pada Mac 1966, The Beatles telah menghadiri satu sidang media yang dihoskan oleh seorang wartawan, Maureen Cleave, dan John Lennon telah mengeluarkan satu kenyataan yang sangat kontroversi. Menurutnya, kumpulan The Beatles merupakan sebuah kumpulan yang sangat popular dan beliau juga kata populariti The Beatles lebih besar dari Jesus (Tuhan).
“Agama kristian akan hilang. Ia akan lenyap dan menyusut. Saya tidak perlu berdebat dengan perkara itu; Saya betul dan saya akan terbukti benar. Kami lebih popular daripada Jesus sekarang; Saya tidak tahu yang mana akan menjadi yang pertama – rock ‘n’ roll atau agama Kristian.
___
Jesus baik-baik saja tetapi orang- orangnya ramai dan tiada kesistimewaan. Mereka memusingkannya sehingga merosakkan saya. ” – John Lennon, dipetik dari kenyataannya di sidang media.
Selepas lima bulan sidang media itu, majalah remaja Amerika iaitu DATEbook juga telah menerbit artikel yang mempunyai topik kenyataan John Lennon disertakan dengan muka Paul McCartney pada muka hadapan majalah.
Hal ini telah mencetuskan kemarahan kepada semua peminat The Beatles, mereka ini telah melakukan demonstrasi dengan membawa sepanduk yang bertuliskan “haramkan The Beatles“, “The Beatles busuk“, “John Lennon ialah setan“, “balik rumahlah The Beatles” dan sebagainya. Perasaan tidak puas hati mereka membuak-buak sehingga mereka membakar album-album dan gambar-gambar The Beatles secara besar-besaran. (korang boleh tengok video demonstrasi itu di sini).
Bukan itu sahaja, terdapat stesen radio juga mula mengharamkan semua lagu The Beatles dimainkan dalam radio. Menurut Tommy Charles dan Doug Layton yang merupakan DJ di Stesen Radio WAQY, Brimingham, telah mengetahui tentang kenyataan John Lennon selepas membaca majalah DATEbook lalu mereka berasa sangat marah dan mengharamkan semua lagu The Beatles dimainkan di radio. Tommy dan Doug juga telah membuat pengumuman supaya peminat-peminat menyerahkan segala vinyl, gambar dan majalah kepada mereka untuk tujuan membakar.
“Tidak masuk akal dan tidak suci (dari segi agama). – Tommy Charles, DJ radio, dipetik dari Pop History Dig.
____
“Sesuatu yang harus dilakukan untuk menunjukkan kepada mereka bahawa mereka tidak dapat melepaskan diri dari hal sebegini.” – Tommy Charles, DJ radio, dipetik dari Pop History Dig.
Peminatnya melepaskan lima das tembakan ke arah John Lennon
Pada 8 Disember 1980, John Lennon bersama isterinya, Yoko Ono, telah datang ke Hit Factory Recording Studio untuk sesi temu ramah bersama BBC yang kemudiannya menjadi satu kenangan manis kepada BBC sehingga melabelkannya sebagai “The Last Lennon Tapes“. Sebabnya, itulah sesi temu ramah terakhir sebelum John Lennon meninggal dunia.
Setelah John Lennon dan Yoko Ono sampai ke perkarangan rumah mereka di Dakota, mereka berjalan menuju ke rumahnya, tiba-tiba datang seorang yang tidak dikenali telah melepaskan lima das tembakan ke arah John Lennon. Empat kelongsong peluru menyerang pada badan John Lennon dan akhirnya beliau rebah kelemahan di atas jalan.
Selepas dibunuh, suspek tersebut masih berada di kawasan kejadian sehingga dia ditangkap oleh pihak polis. John Lennon akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Roosevelt (sekarang dikenali sebagai Mount Sinai West)
Semasa perbicaraan, suspek dipercayai bernama Mark David Chapman dan tujuan David Chapman membunuh John Lennon adalah disebabkan cemburu dengan harta dan kekayaan beliau. Bukan itu sahaja, tujuan lain yang mencetuskan keinginan untuk membunuh John Lennon adalah kerana kenyataan kontroversinya iaitu The Beatles lagi hebat dari Tuhan.
Menurut Wartawan Hiburan BBC News Online, Tom Brook, beliau merupakan antara orang yang berada di tempat kejadian. Pada malam itu, Tom Brook berada di rumahnya lalu mendapat panggilan dari seorang kawannya yang kata terdengar bunyi tembakan di kawasan perumahan Dakota dan pada masa itu kawan beliau menyatakan kemungkinan mangsanya ialah John Lennon. Tanpa berfikir panjang, beliau mengambil pita perakam dan buku nota lalu bergegas ke tempat kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, Tom Brook melihat ramai orang telah bersesak untuk melihat apa yang berlaku dan majoriti dari mereka kelihatan gelisah dan keliru. Mereka memberitahu Tom Brook bahawa memang ada penembakan dalam beberapa jam lepas, mereka menyangka John Lennon. Selepas itu, beliau mendengar laporan dari radionya dan ternyata benar bahawa John Lennon mati.
Beberapa jam kemudian, kawasan tempat kejadian menjadi sesak kerana dibanjiri oleh peminat-peminat John Lennon yang menangis dan tidak percaya apa yang berlaku.
“Seluruh jalan dipenuhi dengan orang-orang dari pelbagai usia, ramai dari mereka menangis teresak-esak, penonton, pemberita, dan semua orang dalam keadaan terkejut,” – Tom Brook, Wartawan Hiburan BBC News Online, dipetik dari BBC News UK.
John Lennon sentiasa diingati sehingga sekarang
Kehilangan John Lennon sememangnya memberikan kesan yang mendalam terhadap penduduk England kerana lagu-lagunya yang sentiasa mewarnai kehidpuan mereka. Pada tarikh hari jadi John Lennon, orang ramai akan pergi ke Central Park dan akan menghiaskan lantai yang bertulis “Imagine” (nama album John Lennon) dengan jambangan bunga serta gambar sambil menyanyikan lagu John Lennon dan The Beatles.
Oh ye, kalau korang nak tahu kawasan yang mereka selalu buat penghormatan John Lennon itu dikenali sebagai “Strawberry Fields” (diilhamkan dari lagu The Beatles, Strawberry Fields Forever).
Kiranya John Lennon ini ibarat seorang seniman yang dianggap lagenda, kalau macam kita di Malaysia P.Ramlee ialah Seniman lagenda yang telah mengharumkan Malaysia dan telah meninggalkan karya seni yang hebat kepada kita pada hari ini.
Bukan itu sahaja, ramai juga penyanyi yang menjadikan John Lennon sebagai idola mereka. Antaranya ialah Liam Gallagher, beliau merupakan bekas vokalis Oasis. Semasa konsert mereka di Maine Road pada 1996, mereka menyanyikan lagu “Live Forever” dan pada akhir persembahan lagu itu, mereka memaparkan gambar John Lennon (korang boleh tonton di sini). Liam Gallagher juga telah menamakan anak pertamanya Lennon Francis Gallagher juga sebagai penghargaan kepada John Lennon.
“Saya berumur lapan tahun pada ketika itu. “Imagine” ialah lagu untuk saya, hal ini kerana saya tonton TV dan saya masih ingat lagu itu sepanjang masa dan hanya berfikir, “Siapa lelaki ini?” Dan jelas sekali kita melupakannya dan pergi ke sekolah. Lama-kelamaan, dalam hidup saya telah ditemani oleh The Beatles.” – Liam Gallagher, dipetik dari Far Out.
Selain itu, korang mesti pernah menonton konsert pembukaan olimpik di London pada 2012, banyak juga persembahan menarik yang ditunjukkan dan pada masa yang sama mereka juga telah memberikan penghormatan kepada John Lennon iaitu persembahan koir kanak-kanak serta muzik video “Imagine” dimainkan (korang boleh tengok di sini). Ternyata kehilangan John Lennon sangat memberikan impak kepada semua orang. Jadi, apa pendapat korang mengenai John Lennon serta lagu-lagunya?
Di Malaysia, terdapat satu pembunuhan yang melibatkan ahli PAS:
Tahukah awak semua, ada juga kisah lain mengenai pembunuhan J.W.W Birch
*Artikel ini pernah diterbitkan pada 15 Oktober 2020*
- 128Share sekarang!
- Email7
- Facebook121
- Share