“Kerja masa kecil, besar nanti tahu cari duit sendiri.”
Itu antara ayat paling biasa kita dengar bila budak-budak bawah umur mula bekerja. Ada yang tolong mak ayah di warung, ada yang jadi pelayan restoran kecil, ada juga yang buat content TikTok untuk promote produk orang lain.

Nampak macam tak salah. Tapi kita jarang tanya budak tu memang nak kerja, atau terpaksa? Mereka dibayar dengan adil, atau sebenarnya dieksploitasi?
Isu kanak-kanak bekerja ni bukan je pasal moral dan sosial, tapi sangat berkait rapat dengan undang-undang sedia ada. Sebelum kita bincang pasal benda lain, kita kena faham dulu undang-undang Malaysia yang diperuntukkan untuk isu ni.
Apa kata undang-undang Malaysia pasal kanak-kanak bekerja?
Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 [Akta 350], sesiapa di bawah umur 15 tahun dikira sebagai kanak-kanak. Mereka yang berumur antara 15 hingga 17 pula dikategorikan sebagai orang muda. Dalam konteks pekerjaan, kategori umur ni penting sebab hak dan sekatan yang dikenakan tak sama.
Dalam satu kes seorang lelaki didakwa bawah Seksyen 5(1)(c) Akta 350 sebab benarkan seorang kanak-kanak OKU berumur 14 tahun kerja lebih masa dan langgar syarat masa bekerja yang dibenarkan.
Di Semenanjung Malaysia, undang-undang benarkan kanak-kanak bekerja dalam pekerjaan ringan je macam bantu perniagaan keluarga atau terlibat dalam acara seni dan sukan dengan syarat tertentu.
Tapi mereka ni tak boleh kerja lebih enam jam sehari, atau bekerja antara pukul 8 malam hingga 7 pagi. Lagi penting, mereka tak boleh bekerja dalam situasi berbahaya seperti di kilang, tapak pembinaan atau restoran 24 jam.
Tapi penting untuk kita semua faham yang undang-undang yang diguna pakai ni tak seragam di seluruh Malaysia. Banyak peruntukan undang-undang yang cuma terpakai di Semenanjung sementara Sabah dan Sarawak ada perundangan sendiri yang sedikit berbeza.
Sabah dan Sarawak: Lain undang-undang, tapi sama tujuan
Dalam Bab 11, Seksyen 72 Ordinan Buruh Sabah ada menyatakan secara spesifik tentang pekerja kanak-kanak dan orang muda. Mereka cuma boleh kerja kalau:
- Bekerja dalam perniagaan keluarga je macam tolong mak ayah jual kuih ke, berniaga ke.
- Atau kerja dalam bidang seni yang sah contohnya berlakon atau buat persembahan.
- Tapi ingat, kerja ni tak boleh ganggu sekolah, tak boleh bahaya, dan waktu kerja kena terhad.
- Jangan nak kerja malam pulak! Lepas jam 8 malam memang tak boleh langsung sebab nak bagi kanak-kanak tu rehat cukup.
Dalam satu kes kat Sabah, seorang wanita warga Filipina yang juga migran tanpa dokumen didapati bersalah membiarkan tiga kanak-kanak termasuk anak perempuan dia menjual buah-buahan di jalanan hampir 12 jam sehari, enam hari seminggu.
Kesalahan ni didakwa dibawah Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(1) Akta yang sama yang bawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan
Sarawak pun tak jauh beza. Di Sarawak, mereka guna Ordinan Buruh Sarawak yang dah pun dipinda melalui Akta A1754 (Pindaan 2025). Secara asasnya, peraturannya lebih kurang sama macam di Semenanjung dan Sabah, tapi ada beberapa garis keras yang patut kita beri perhatian, terutama bila melibatkan kanak-kanak dan orang muda.
Yang menariknya, undang-undang ni bukan sekadar jaga dari segi kesihatan dan keselamatan fizikal, tapi juga ambil kira soal moral dan perkembangan emosi budak-budak. Ordinan ni senaraikan secara jelas jenis-jenis pekerjaan yang dilarang keras untuk kanak-kanak dan orang muda:
- Kerja yang ada kaitan dengan pelacuran, pornografi, alkohol, dadah, perjudian, dan perkhidmatan urut.
- Pekerjaan yang guna budak-budak untuk mengemis atau jadi pelayan sosial (social escort).
- Apa-apa aktiviti yang boleh eksploitasi tubuh, emosi dan moral mereka secara langsung.
Pendek kata, kalau kerja tu ada unsur eksploitasi atau berpotensi ganggu perkembangan diri, memang tak boleh langsung.Semua ni terkandung dalam Seksyen 73 dan Jadual Kedua Ordinan, yang fokus kepada perlindungan budak-budak daripada eksploitasi fizikal, emosi mahupun sosial.
Walaupun ada peraturan yang jelas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, hakikatnya banyak kanak-kanak yang terperangkap dalam pekerjaan yang tak sepatutnya.
Perbezaan pelaksanaan, kurang pemantauan dan normalisasi budaya “kerja masa kecil’ akan buka ruang kepada satu isu yang lebih membimbangkan iaitu eksploitasi buruh kanak-kanak terutamanya dalam sektor tak formal dan pekerjaan berisiko.
Walaupun undang-undang dah gariskan dengan jelas apa yang boleh dan tak boleh, hakikatnya situasi di dunia sebenar tak macam tu. Masih ramai kanak-kanak yang terlibat dalam kerja-kerja berisiko seperti ladang di luar bandar, restoran sampailah ke dunia digital.
Sikap masyarakat yang anggap “budak kerja tu biasa” dan penguatkuasaan yang longgar secara tak langsung buka ruang untuk eksploitasi yang kadang-kadang tanpa kita semua sedar.
Buruk sangat ke kesan eksploitasi kanak-kanak bekerja ni?
Kita selalu ingat yang tolong mak ayah di warung, ambil upah kutip cili atau bantu berniaga kecil-kecilan adalah sebahagian daripada pengalaman. Tapi sebenarnya ada garis yang sangat nipis di antara bantu dan eksploitasi.
Kalau kerja tu buatkan budak terpaksa berhenti sekolah, tak cukup tidur, letih atau cedera, tu bukan lagi ‘tolong’, tapi eksploitasi. Lagi menyedihkan ada yang terpaksa bekerja sebab kesempitan hidup walaupun terpaksa buat kerja berat dan cuma dapat upah yang rendah. Kebanyakan mereka ni tak ada pilihan pun sebenarnya.
Januari dan Jun tahun lalu, pihak polis selamatkan 52 orang kanak-kanak termasuk warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi buruh melalui Ops Pintas Mega di seluruh negara yang turut disertai beberapa agensi lain termasuk Jabatan Tenaga Kerja.
Sementara pada 2021 pula Polis Diraja Malaysia (PDRM) selamatkan 38 orang kanak-kanak Rohingya yang dieksploitasi bekerja di kilang pelitup muka.
Eksploitasi kanak-kanak ni adalah satu kesalahan jenayah yang serius dibawah undang-undang Malaysia dan bercanggah dengan konvensyen antarabangsa macam ILO Convention138 & 182 serta Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC).
Jangan fikir kerja waktu kecil tu semestinya akan menjadikan budak tu “lebih matang”. Realitinya, kerja terlalu awal memberi kesan besar kepada perkembangan mental dan fizikal mereka.
Situasi ni akan bagi kesan buruk kepada kanak-kanak dan buatkan diorang:
- Hilang minat untuk terus belajar kerana dah biasa pegang duit sendiri.
- Mengalami kecederaan akibat kerja berat, seperti di ladang atau kilang kecil.
- Rasa rendah diri bila dibandingkan dengan rakan sebaya yang masih bersekolah.
- Terdedah kepada gangguan seksual, penderaan atau pemerdagangan manusia.
- Cepat burnout atau kemurungan kerana tekanan hidup terlalu awal.
Akhirnya, mereka kehilangan sesuatu yang sangat berharga, zaman kanak-kanak mereka sendiri. Masa untuk bermain, belajar, membesar dengan sihat dan selamat semuanya diragut daripada mereka cuma kerana mereka terpaksa bekerja demi sesuap nasi.
Apa yang kita boleh buat? Dan kenapa ‘biasa’ tak patut jadi kebiasaan.
Kadang-kadang kita nampak budak bawah umur buat kerja yang tak sesuai macam angkat barang berat, kerja kedai makan sampai lewat malam, atau tak pergi sekolah. Tapi kita tak boleh anggap benda ni ‘biasa’.
Kalau korang nampak benda tu depan mata korang, sebaiknya laporkan pada JabatanTenagaKerja (JTK). Kenapa JTK? Sebab mereka adalah agensi penguatkuasa utama yang bertanggungjawab atas undang-undang berkaitan pekerjaan. Kalau laporkan kat JTK, kes tu akan ada rekod rasmi yang bolehkan mereka jalankan tindakan.
Walaupun undang-undang Malaysia macam Akta Kanak-Kanak 2001, Akta 350, dan ordinan khas Sabah & Sarawak dah terang-terang tulis: budak bawah umur hanya boleh buat kerja ringan je, tak boleh ganggu sekolah, tak bahaya dan tak boleh kerja malam, realiti kat luar sana lain cerita.
Masih ada kanak-kanak yang terpaksa bekerja walaupun umur belum layak, dan keadaan ni terus berlaku tanpa banyak halangan.
Undang-undang kita memang kukuh, tapi pelaksanaan dan penguatkuasaan kadang-kadang tak seiring dengan niat asal undang-undang tu. Dan sebagai masyarakat, kita semua ada peranan. Bila nampak benda tak kena, kita tak boleh buat-buat tak nampak.
Kesedaran, keprihatinan dan tindakan kita boleh bantu pastikan budak-budak ni dapat peluang belajar dan membesar macam yang sepatutnya.
Tuai Cerita ialah program felo yang direka untuk mengetengahkan suara kanak-kanak dalam komuniti rentan di Sabah. Melalui penceritaan dan kewartawanan beretika, kami memberi sorotan kepada isu penafian hak kanak-kanak yang menyumbang kepada buruh kanak-kanak di dalam dan sekitar ladang kelapa sawit di Sabah.
Program ini digerakkan oleh rakan kongsi tempatan, ANAK dan Global Shepherds, serta dilaksanakan oleh Project Liber8. Program ini dijalankan atas kerjasama Kesatuan Eropah, Pertubuhan Buruh Antarabangsa, dan UNICEF.