Expo 2025 sekarang ni tengah berlangsung di Osaka, Jepun. Bermula sejak tahun 1851 di London, pameran berskala global ni bukan calang-calang sebab himpunkan negara-negara dari seluruh dunia untuk mempamerkan segala macam kemajuan dalam teknologi, seni bina, budaya, dan inovasi masa depan.
Expo ni juga jadi tempat negara-negara tunjukkan identiti diorang melalui pembinaan pavilion, sebuah struktur yang direka khas ikut tema expo. Pavilion ni bukan sekadar bangunan, tapi simbol kebanggaan, kreativiti, dan hala tuju masa depan sesebuah negara. Tapi sebelum kita masuk isu utama yang nak dibincangkan, lebih baik kita tau sikit pasal ekspo ni.
Apa benda World Expo ni? Dia macam karnival Jom Heboh ke?
World Expo atau Pameran Dunia ni dah mula lama dah dari 1851 lagi dengan nama The Great Exhibition. Pada waktu tu ia diadakan kat bangunan Crystal Palace dan dianjurkan oleh Putera Albert sebagai pentas untuk tunjukkan kemajuan teknologi semasa Revolusi Industri. Kira macam dia nak kata: “Haa tengok ni kami dah maju gilerr”

Mungkin sebab semua rasa yang expo ni gempak giler, acara ni dah jadi berprestij dan diadakan setiap lima tahun lepas tu. Negara-negara di seluruh dunia berkumpul untuk pamerkan inovasi dan seni bina mereka termasuklah ciptaan ikonik macam roda ferris, eskalator, dan Menara Eiffel.
Ramai juga tak tahu pada World Expo kat Chicago tahun 1983, Johor dah sampai dulu sebelum adanya negara kita ni. Bukan tumpang pavilion British ke apa tapi masuk atas nama sendiri ‘State of Johor’. Ye la, waktu tu Johor adalah negara merdeka yang ada bawah naungan British.
Dalam pameran tu Johor pamerkan model kampung Melayu tradisional, hasil pertanian dan kraftangan tempatan, serta foto dan maklumat tentang kemajuan negeri di bawah Sultan Abu Bakar. Tujuannya nak tunjuk yang Johor sebagai negeri moden dan berdaulat yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa tanpa bergantung kepada British.
Malaysia bukan pendatang baru dalam dunia expo ni. Setiap kali kita sertai, ada harapan agar Pavilion Malaysia mampu tonjolkan keunikan kita dari segi budaya, teknologi hijau, pelaburan, pelancongan, dan inovasi. Tapi sayangnya, edisi kali ni dihantui satu isu yang cukup panas.
MITI didakwa ambil hasil kerja orang tanpa kredit
Pada awalnya, semuanya nampak berjalan lancar. Takde hujan, takde ribut. seorang pereka tempatan, Fey Ilyas, dedahkan kat Instagram yang Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan gunakan konsep reka bentuk Pavilion Malaysia yang dihasilkan oleh syarikat dia, Current Media Group (CMG), tanpa sebarang kredit ataupun bayaran.
Menurut Fey, pada tahun 2022, CMG telah dilantik secara rasmi oleh MITI sebagai perunding kreatif untuk Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka. diorang diberi tanggungjawab bangunkan konsep visual, tema utama, naratif, serta cadangan seni bina. Kerja-kerja tu diorang buat selama lapan bulan dengan tempoh masa yang agak ketat.
Tapi, pada Januari 2023, CMG diberitahu yang projek tu dihentikan. Diorang lepastu dimaklumkan yang konsep dibangunkan tu akan dimasukkan dalam proses tender terbuka.Senang cerita semua idea yang dah ada tu akan jadi bahan rujukan kepada sesiapa sahaja yang nak masuk tender, tanpa kebenaran dan tanpa sebarang pampasan.
Fey juga kata yang diorang dah cuba selesaikan isu ini secara profesional termasuklah adakan pertemuan dengan Menteri MITI, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan hantar surat rasmi serta dokumen sokongan. Tapi takde maklum balas positif yang diorang dapat. Lagi teruk diorang diberitahu bahawa tiada bayaran akan dibuat kerana “tiada rekod rasmi” tentang kerja yang diorang buat lepas dua tahun diorang usaha untuk dapatkan hak diorang.
Benda ni buatkan kami tertanya-tanya…macam mana sebuah kementerian uruskan projek besar macam ni boleh buat kerja tanpa sebarang rekod rasmi? Kita nak tuntut pelepasan cukai pun nak kena ada rekod ni kan pulak benda besar macam ni.
“Kami Sedang Siasat”
Pada 26 April 2025, MITI keluarkan kenyataan rasmi pasal isu ni. Dalam kenyataan tu, MITI nyatakan bahawa diorang ambil serius tuduhan tersebut (ayat biasa) dan akan jalankan siasatan dalaman (pun ayat biasa). Diorang juga tegaskan bahawa pembangunan Pavilion Malaysia untuk Expo 2025 dah patuhi semua prosedur perolehan yang ditetapkan oleh kerajaan dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
MITI juga tekankan komitmen diorang terhadap prinsip ketelusan, integriti, dan tadbir urus yang baik. Kalau siasatan mendapati wujud sebarang pelanggaran hak cipta atau salah laku, diorang berjanji akan ambil tindakan yang sewajarnya. TAPI, kenyataan itu tak sebut langsung nama CMG atau mana-mana pihak yang terlibat seolah-olah cuba jauhkan diri daripada kontroversi.
Macam mana dengan industri kreatif kita kalau benda macam ni asyik jadi?
Dakwaan ini mendapat perhatian luas dalam kalangan komuniti kreatif tempatan. Ramai penggiat seni, pereka grafik, arkitek dan jururunding kreatif nyatakan rasa tak puas hati dengan kejadian ni. Benda ni selalu terjadi, orang anggap kerja macam ni remeh dan mudah. Kalau syarikat kecil yang dilantik secara rasmi pun boleh dipinggirkan dan hasil kerja diorang digunakan tanpa izin, apa jaminan untuk pereka lain di masa depan?
Banyak suara gesa kerajaan supaya bukan je selesaikan isu ini dengan adil, tetapi juga baiki sistem perolehan kerajaan supaya lebih telus, adil, dan berpihak kepada pencipta asal. Ni bukan soal satu projek pavilion semata-mata ini soal maruah industri kreatif negara. Dulu bukan main kata nak lebih telus tapi sekarang lain pulak jadi.
Sayang Pavilion Malaysia tu dah cantik tapi terpalit kontroversi
Dakwaan terhadap MITI berkaitan Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka bukan benda kecil. Dia melibatkan persoalan lebih besar tentang macam mana kita hargai hasil kerja anak tempatan, macam mana sistem perolehan awam dilaksanakan, dan macam mana kita tampil kat pentas dunia.
Siasatan dalaman MITI kena telus dan berani dedahkan kebenaran. Kalau betul ada salah laku, diorang kena ambil tindakan. Kalau CMG benar dalam dakwaan diorang, pampasan wajib diorang dapat. Ini bukan soal siapa menang, tapi soal maruah dan keadilan. Diorang buat kerja selama lapan bulan kot, bukan lapan minit.