Betul ke orang zaman dulu ada yang tanam padi waktu malam? Ini penerangannya…

Tun Mahathir dah buat satu inisiatif supaya para petani tanam padi pada waktu malam. Inisiatif ni dibuat bertujuan untuk membantu meringankan kerja rakyat. Sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan penggunaan pekerja asing.

Bertenang semua ye…

Kenyataan ni dah dapat pelbagai respon macam yang kita jangkakan. Ada yang menerima dan ada yang menolak. Kali ni SOSCILI, akan bincangkan bersama mengenai penanaman padi pada waktu malam. Jom! Sambung baca artikel ni.

Mukhriz Mahathir kata ini adalah amalan orang dulu-dulu

Mukhriz Mahathir yang merupakan MB Kedah dan juga pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengatakan idea Tun Mahathir tu adalah kerana pengalaman dia yang pernah melihat orang bersawah pada waktu malam. Mukhriz juga mengatakan ini adalah amalan orang dulu-dulu.

“Sebenarnya, itu amalan dulu-dulu. Mungkin Tun (Mahathir) sebagai orang yang paling lama antara kita, beliau ingat perkara itu (tanam padi waktu malam). Saya ingat waktu kecil saya ke Tokai, dekat Pendang, memang ada pesawah bekerja pada waktu malam dengan memasang lampu gasolin,”- Petikan dari Berita Harian

Cuba try malam pulak. Imej dari Sinar Harian

Bila sebut orang dulu-dulu ramai yang akan terbayang, zaman kerajaan tradisional dulu lah kan? Kami pun cubalah semak kalau zaman purbakala dulu memang ada amalan tanam padi waktu malam kan. Sebabnya kerajaan-kerajaan terdahulu yang ada di Asia Tenggara memang terkenal dengan tanaman padi atau pun dikenali sebagai kerajaan Agraria.

Dalam satu tulisan kajian pasal petua dan tradisi tanaman padi orang Utara. Tak ada pula tulis orang Utara di Semenanjung bersawah waktu malam. Cuma yang ada hanyalah biji padi tu direndam selama 3 malam. Kemudian dibiarkan selama dua hari kat atas darat sebelum ditabur di tapak semaian.

Satu lagi aktiviti berkaitan malam dan pesawah adalah di mana para pesawah kena tunggu selama 3 malam dan apabila keadaan tak berangin, pesawah akan seru semangat padi. Kitorang ajar sikit bacaannya,

“Hai Merung Mesuk Nan Semulai, ni bapa (atau emak) mari nak bawa balik”- Petikan dari jurnal tulisan Rahimah Binti A. Hamid

Hai mambang padi, mambang…

Itulah aktiviti-aktiviti pesawah terdahulu berkaitan dengan malam. Setakat ni belum ada lagi disebut ditanam waktu malam. Persoalannya, betul ke boleh tanam padi waktu malam?

Ada ke orang tanam padi waktu malam?

Agak sukar untuk cari berita mengenai petani yang tanam padi waktu malam di Malaysia ni. Apa yang ada pun adalah tinjauan dari Astro Awani yang mendapati ada segelintir petani di kawasan Tokai, Pendang, Kedah tanam padi waktu malam. Mereka mengakui penanaman boleh dibuat waktu malam, tapi kena guna jentera sepenuhnya untuk membajak dan menabur padi.

Menurut salah seorang petani ni, dia mula berjinak-jinak tanam padi pada waktu malam sejak tahun lepas. Kiranya, baru lagi lah. Tak macam yang yang disebut Muhkriz bahawa ni amalan orang terdahulu. Pak cik ni pun baru setahun cuba untuk suka-suka. Tujuan diorang tanam waktu malam ni untuk elak cuaca panas dan mencuba sesuatu yang baru.

Suasana sawah padi waktu malam. Korang berani tak? Imej dari Steemit

Salah seorang pemandu traktor di sana pula, dia dah buat sejak 3 tahun proses memotong padi pada waktu malam. Menurutnya, waktu malam selesa dan risiko agak kecil sebab dia guna jentera, bukan secara manual. Kiranya, ada orang buat tapi tak lah dipraktikkan secara rutin oleh mereka.

Di Indonesia, ada petani tanam padi waktu malam secara manual

Dalam channel Youtube Indonesia Ekspos, ada lah tunjuk sikit petani di Sragen-Jawa Tengah buat aktiviti tanam padi waktu malam. Kali ni tak macam petani di Tokai, Kedah yang pakai jentera. Diorang nampaknya menggunakan cara manual, maknanya dengan tanganlah.

Tujuan diorang tanam malam sebab nak elak panas pada waktu siang. Kebanyakan yang menanam padi dalam video ni adalah wanita. Mereka memang dah lama amalkan aktiviti ni. Aktiviti ni melibatkan satu kampung, bukanlah segelintir sahaja macam di Kedah tu.

Ada para petani mengatakan tanam padi pada waktu malam akan meningkatkan kos

Memang ada petani yang setuju. Tapi, kita juga perlu dengar luahan para petani yang tak setuju dengan perkara ni. Mereka menegaskan bahawa dah memang kebiasaan untuk petani tanam padi pada waktu siang, dan malam adalah waktu berehat selepas seharian bekerja.

Dua benda penting yang menjadi masalah besar jika petani nak tanam padi waktu malam adalah kos yang akan bertambah sebab kena pasang lampu. Kedua, petani akan terdedah kepada bahaya kerana waktu malam adalah waktu ular dan haiwan berbisa lain keluar dari sarang.

Kalau siang boleh elak. Malam terpijak. Tak tahu apa nasib. Imej dari Kalsel prokal

“Mana boleh tanam padi waktu malam. Waktu malam tidak sesuai berada di sawah. Cadangan ini mustahil dan agak tidak masuk akal,” – Mamat Engah, pesawah di Batu Rakit, petikan dari Sinar Harian

Tanaman waktu malam perlu banyak teknologi baru

Setakat yang kita tengok, aktiviti bersawah waktu malam ni agak terpencil di negara kita. Mesti ramai yang juga terkejut dengan cadangan Tun Mahathir ni. Berdasarkan carian kami, negara-negara maju yang amalkan aktviti berkebun (bukan tanam padi) waktu malam ni banyak menggunakan tekonologi-teknologi terbaru.

Contohnya di Perancis, disebabkan kekurangan pekerja buruh ladang dah membawa kepada penciptaan Robot Pemangkasan Anggur (vine-pruning robot). Robot ni boleh bekerja siang dan malam kerana menggunakan bateri tenaga solar. Ia boleh melakukan potongan rumput kat pokok setiap 5 saat.Siap dengan kamera, infrared sensor dan dikawal oleh tablet komputer.

Dah macam transformers. Sebenarnya jentolak je pun. Imej dar BBC

Dan salah satu negara Asia yang dah mula jadikan aktiviti perladangan siang dan malam adalah Jepun. Itu pun guna jentera dan teknologi yang tinggi. Pada tahun 2018, Jepun dah buat ladang salad pertama yang dikendalikan secara automatik. Maknanya siang dan malam lah berkebun. Ia merangkumi kawasan bukit bukau antara Kyoto, Osaka dan Nara.

Apa yang diuasahakan adalah penanaman 30,000 salad sehari yang diletakkan di dalam bekas yang diterangi cahaya LED. Ia juga diletakkan disebuah bilik yang tertutup rapi untuk elakkan dari terkena penyakit, kotoran atau pun serangga perosak. Aktiviti-aktiviti berkebun dalam tu semunya diuruskan oleh robot.

Aktiviti membajak jagung waktu malam. Imej dari machinefinder

Kalau nak diikutkan, banyak je lagi teknologi yang wujud untuk menguruskan kebun dari siang sampai malam. Tapi itu semua memerlukan penyelidikan dan kajian yang lebih mendalam.

Keutamaan ketika ini buat para petani?

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas, Datuk Salahuddin Ayub, saranan Tun Mahathir mengenai penanaman padi waktu malam tu mempunyai makna yang tersirat. Baginya lagi, kenyataan tu menyeru agar rakyat memikirkan cara yang terbaik untuk menjadikan kehidupan lebih baik.

Aktiviti kutip anggur waktu malam. Imej dari joysjoyofwine

Walaupun macam tu, kami berharap kerajaan ambil jugalah pendapat dari petani pasal inisiatif ni. Mungkin ada keutamaan lain yang perlu dibuat dulu bagi segelintir pesawah dan petani yang perlu dibawa bersama. Seperti kata seorang pesawah ni,

“Daripada mencadangkan padi ditanam pada waktu malam adalah lebih baik kerajaan mencari jalan membantu para petani dengan memperkenalkan idea-idea baharu untuk mempertingkatkan pendapatan mereka. Kami sudah lama bekerja di bawah panas terik matahari dan tidak menjadi masalah.”- Zamzuri Ishak, petani, petikan dari Utusan.

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT