Betul ke ayam ni tak sembelih? Kami tanya JAKIM

Beberapa minggu lepas, negara kita kecoh sekejap dengan video viral yang menunjukkan kepala ayam supermarket yang macam takde kesan sembelihan. Dalam video yang dimuat naik seorang makcik ni, dia menunjukkan bahagian kulit leher ayam yang nampak elok je tanpa kesan hirisan. 

ayam supermarket yang kononnya tak sembelih
Video penuh kat link ni.

Benda ni timbulkan keraguan kepada orang ramai – macam mana halkum ayam tu dipotong kalau kulit dia putus kat tempat lain? Dan macam mana ayam tu boleh dapat cop halal JAKIM?

Sejak perkara ni tular, JAKIM dah pun beri penjelasan yang lebihan kulit kat leher ayam tu adalah disebabkan penggunaan mesin head puller (penarik kepala) untuk memisahkan kepala ayam dari badan setelah ia disembelih mengikut kaedah syarak. 

Jadi sebenarnya ayam tu disembelih dan diproses guna teknologi moden, tapi isu ni buat kitorang terfikir… kalau sembelihan kat kilang, macam mana tukang yang sembelih beribu ekor ayam sehari tu buat ikut cara Islam? Takkan tiap-tiap ekor ayam dibacakan Bismillah dan niat sebelum kena sembelih?

Jadi, kitorang hubungi JAKIM dan sembang dengan Ustaz Mohd Amri Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Kanan kat Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC), untuk jawab semua kemusykilan ni.

Benda pertama yang kitorang belajar pasal penyembelihan berskala besar ialah…

Sesetengah tempat sembelih BERPULUH RIBU ekor ayam sehari

Kebanyakan orang bandar sekarang dah tak sembelih ayam sendiri, dan mungkin cuma pernah sembelih masa amali Pendidikan Islam kat sekolah je. Tu pun ingat-ingat lupa sebab tahan geli pegang kaki ayam sementara member korang cari halkum ayam tu.

Time bakar ayam yang disembelih tu tak geli pulak. Gif drpd Tenor.

Jadi jom refresh sikit camne sembelih ayam. Rukun sembelihan ada empat je:

  • Penyembelih: Kena beragama Islam (atau ahli kitab) dan berakal.
  • Haiwan yang disembelih: Masih hidup sepanjang proses sembelihan, dan kena dari jenis yang halal dimakan. Jangan sembelih kura-kura pulak!
  • Alat sembelihan: Kena tajam dan bukan diperbuat dari tulang, kuku atau gigi.
  • Sembelihan: Niat sembelih kerana Allah SWT, pastu putuskan urat halkum dan urat marih (saluran pernafasan dan saluran permakanan, sunat putuskan dua urat darah).

Ini je yang wajib untuk pastikan binatang yang disembelih tu halal dimakan. Tapi bila sembelihan ni dibuat kat kilang dalam skala besar, caranya jauh beza dengan apa yang kita belajar masa zaman sekolah dulu.

“Sembelihan dalam industri, contohnya di Malaysia ini, dalam 90 ribu ekor [ayam] yang disembelih sehari, untuk satu kilang… Dikatakan hampir kepada 4 juta ekor disembelih sehari di Lembah Klang… Jadi bayangkan bagaimana [industri] yang berskala besar ini [berada] di antara syarak, dan prosedur, dan juga standard.

– Ustaz Mohd Amri Abdullah, kepada SOSCILI.
Rupa rumah penyembelihan moden. Imej drpd HARUMI

Lagi-lagi pula, rumah sembelihan ada tambah banyak langkah untuk cekapkan dan cepatkan proses diorang. Contohnya, diorang gunakan conveyor belt untuk bawa ayam melalui proses stunning (renjatan elektrik untuk pengsankan ayam), sebelum sampai ke tukang sembelih.

Lepas sembelih pula, ada beberapa mesin yang digunakan untuk membersihkan ayam, termasuk scalding (celup air panas), membuang bulu, mengeluarkan isi perut, mencabut kepala, dan akhirnya pembungkusan.

Kalau tak boleh nak bayangkan, cuba tengok video dari Destinasi TV ni:

Kalau korang tengok, walaupun proses dia lebih moden dan berskala besar, sebenarnya ada banyak prosedur yang ditambah oleh JAKIM untuk pastikan ayam diproses ikut standard diorang. Antaranya:

  • Lepas proses renjatan elektrik, ada Muslim Halal Checker yang akan pastikan setiap ekor ayam masih hidup. Ayam yang mati akan dibuang dan tak akan disembelih.
  • Selepas disembelih, ayam akan digantung selama sekurang-kurangnya 4 minit untuk keluarkan darah.
  • Selepas ayam mati, Halal Checker akan pastikan setiap ayam disembelih dengan sempurna. Mana yang tak putus urat halkum dan urat marih juga akan dibuang.
Ayam yang mati sebelum sembelihan akan dibuang dalam tong macam ni. Imej drpd Destinasi TV

Pendek cerita, prosedurnya memang sangat ketat untuk pastikan ayam yang sampai ke tangan kita ditanggung halal.

“Oleh kerana itulah dalam hal ini, sebagai orang awam, apa juga yang dah diputuskan oleh pihak yang berautoriti tentang halal – dalam hal ini JAKIM – yang memberikan status halal itu, hendaklah kita yakin.” 

– Ustaz Mohd Amri Abdullah, kepada SOSCILI.

Selain dari proses ni, ada banyak lagi protokol yang sangat teliti untuk rumah penyembelihan yang halal, sampaikan berapa volt digunakan untuk stun ayam pun dah ditetapkan.

Petikan drpd “Malaysian Protocol for the Halal Meat and Poultry Productions

Jadi kalau korang ada masa, bolehlah print dan baca protokol sembelihan halal dari link ni (pdf). Tapi persoalan kami yang utama masih belum terjawab…

Kalau kilang sembelih 90 ribu ekor sehari, 90 ribu kali ke kena baca Bismillah dan niat?

Sister Minnie pun takottt

Kalau korang perasan, dalam rukun sembelihan, takde pulak sebut wajib baca Bismillah sebelum sembelih. Ehh??

Sebenarnya, baca Bismillah ni adalah sunat je. Tapi walaupun tak wajib, JAKIM ada letakkan lafaz Tasmiyah ni dalam prosedur sembelihan diorang, dan prosedur JAKIM ni sebenarnya lagi ketat berbanding dengan rukun!

Jadi, macam mana diorang kuatkuasakan benda ni kalau ayam tu datang ke tukang sembelih atas conveyor belt yang laju?

Pemeriksa halal memastikan penyembelihan sempurna. Imej asal drpd HLRB Processing Sdn Bhd.

Menurut Ustaz Amri, memadai bagi tukang sembelih untuk lafazkan Bismillah sebelum ayam pertama sahaja, dan seterusnya niat boleh dilakukan hanya menerusi lintasan hati sepanjang proses sembelihan berjalan. Bagi kilang yang menggunakan mesin sepenuhnya, konsepnya lebih kurang sama: operator cuma perlu lafaz dan niat bila menghidupkan mesin, sehinggalah mesin tu dihentikan.

“Syaratnya orang itu mestilah orang Islam yang dia juga kena niat sembelihan. Dia on kan suis tu, dia (conveyor belt) akan pusing. Dia pun tak niat satu-satu, tapi dia dah niat daripada awalnya. Bila dia dah off, nak on balik dia kena niat dari awal… Kalau tak nanti, letih juga. Banyak!”

– Ustaz Mohd Amri Abdullah, kepada SOSCILI.

Berbalik pula kepada isu kepala ayam yang viral baru-baru ni, kami juga tanya kenapa kulit lehernya lebih panjang daripada kesan potongan di urat halkum ayam tersebut. Dari situ, kami dapat tahu sesuatu yang sangat menarik…

Kepala ayam tu mungkin datang dari ayam lain!

Seperti yang dijelaskan di awal tadi, semasa ayam diproses, mesin head puller akan digunakan untuk putuskan kepala ayam tersebut, dengan cara menarik kepalanya sampai putus dan diasingkan. Sebab kulit kan sifatnya elastik, jadi kulit leher ayam tersebut akan memanjang melebihi kesan potongan asal.

Mesin head puller. Kepala ayam akan tersepit kat sini dan ditarik sampai putus. Imej drpd Hab Halal JAKIM (FB).

Menariknya, Ustaz Amri juga menceritakan bahawa kepala ayam yang korang dapat dalam beg tu mungkin datang dari ayam yang berlainan terus. Jadi kalau korang cuba padankan badan dengan leher ayam tu, mungkin dia tak match. Tapi, kenapa diorang buat macam tu???

Ayam supermarket ni ada dua jenis, Ayam standard dan Ayam Super:

Perbezaan Standard dan Super. Imej drpd Ayam Bukit Merah.

Untuk Ayam Super, tujuan kepala dan kaki diasingkan ni adalah untuk kurangkan pencemaran bakteria dari bahagian-bahagian tu. Tapi, ayam ni jadi kurang popular sebab ramai orang ragu dengan status halal ayam tersebut, walaupun dah ada logo halal kat bungkusan. 

“..akhirnya orang tak nak beli ayam yang tanpa kepala dan tanpa kaki. Dia akan memberikan kerugian kepada pasar raya. Akhirnya dalam hal ini rumah sembelih terpaksa ambil balik kepala tu yang telah diputuskan, dibersihkan dan dimasukkan balik ke dalam ayam tu.”

 – Ustaz Mohd Amri Abdullah, kepada SOSCILI.

Disebabkan tu, sekarang lepas dicabut melalui head puller, kepala-kepala ayam ni akan dikumpul dan dibersihkan sebelum dimasukkan balik ke dalam plastik bersama badan dan kaki ayam. Jadi memang kepala ayam yang korang beli tu bukan kepala dia sendiri, dan tak matching dengan badan.

Tapi asalkan ada logo halal, boleh yakin ayam tu selamat dimakan, sebab…

Logo halal JAKIM bukan menjamin halal berdasarkan rukun semata-mata 

Korang tahu tak sebenarnya sijil halal JAKIM bagi rumah sembelihan ni kena mohon setiap tahun? Kalau setahun tu tak cukup kerap lagi, dalam jangka masa tu juga JAKIM akan selalu buat pemeriksaan mengejut dengan pergi ke rumah-rumah sembelihan ni masa operasi.

Selain JAKIM, pihak berkuasa tempatan pun buat spotcheck jugak. Klik gambar untuk baca berita.

Selalunya kerja sembelihan ni terjadi seawal 3-4 pagi, jadi pihak JAKIM akan bangun awal dan buat tinjauan ke tempat-tempat yang ada sijil halal ni. Menariknya, perkara pertama yang diorang akan check adalah tukang sembelihan tu sendiri.

“…perkara pertama yang akan kita buat adalah kita akan pergi check dulu tukang sembelih tu. Biasanya kami akan bagi salam kepada tukang sembelih. Kalau tukang sembelih ni senyap je, ayam pulak yang jawab… Hmm, itu memang berat la. Sebab bila dia dah pakai raincoat ni, kulit sama hitam, agama lain-lain.”

– Ustaz Mohd Amri Abdullah, kepada SOSCILI.

Setelah temuduga tukang sembelih dari segi pengetahuan syarak dan sama ada diorang bertauliah atau tak, diorang akan periksa sistem dalam rumah sembelihan tu sendiri, bukan sahaja dari segi syarak malah dari segi standard seperti MS1500:2019 dan protokol daging halal

“Bab kebersihan kena jaga, bab keselamatan makanan juga perlu jaga. Katakanlah ayam disembelih oleh pak haji atau ustaz sekalipun, kalau ayam ni diletakkan di atas lantai yang boleh menyebabkan pencemaran bakteria… maka konsep halalan toyyiban ini tak boleh diletakkan di atas ayam ini.” 

– Ustaz Mohd Amri Abdullah, kepada SOSCILI.
Logo-logo halal yang diiktiraf JAKIM. Imej drpd The Vocket

Yang paling menarik, logo halal kita bukan saja diiktiraf di seluruh dunia dan menjadi rujukan negara-negara OIC (Organization of Islamic Cooperation), malah standard halal JAKIM juga sebenarnya lagi ketat dari standard halal pelbagai negara lain.

Antaranya, JAKIM mewajibkan rumah sembelihan ada sekurang-kurangnya dua pekerja muslim, pakaian kilang yang bersih, tak boleh merokok atau minum di premis, wujudnya Jawatankuasa Halal Dalaman, dan macam-macam lagi

Walaupun ketat, pembekal ayam masih berusaha dapatkan sijil halal ni, sebab kalau takde, diorang tak boleh jual ayam diorang kat pasar raya besar dan kebanyakan tempat lain. Tapi mungkin korang terfikir…

Kalau takde logo halal, macam mana nak pastikan ayam yang korang beli tu halal?

Takkan nak tanya ayam tu pulak kan? Gif drpd Giphy.

Kalau korang jenis yang beli ayam di pasar malam atau pasar tani, Ustaz Amri menyarankan korang periksa leher ayam yang dah disembelih tu sendiri dan pastikan dua saluran besar kat leher tu – urat marih dan urat halkum – terputus sebelum beli. 

Kalau korang beli ayam mentah dalam bungkusan macam di pasar raya, cukup sekadar ada logo halal di pembungkusan. Tapi macam mana kalau tak jumpa logo halal? Korang boleh check direktori halal JAKIM di www.halal.gov.my, dan taipkan nama rumah sembelih atau syarikat yang tertera kat label.

Tak pasti juga rumah sembelihan mana? Sekarang dah ada apps VerifyHalal, di mana korang boleh scan je barcode dan tahu dari rumah sembelihan mana dan status halalnya.

Tentang ayam mentah yang dah dipotong-potong pula, mengikut pengalaman Ustaz Amri, kebanyakan pasar raya yang besar menjadikan syarat supaya pembekal ayam mereka ada sijil halal, jadi kalau korang beli kat pasar raya macam Lotus’s, Giant, Hero dan yang sewaktu dengannya, sepatutnya takde masalah. Tapi kalau kurang yakin, beli je yang dalam bungkusan yang ada logo halal.

Contoh logo halal di bungkusan ayam.

Berbalik kepada isu ayam yang viral ni, Ustaz Amri menasihati orang awam supaya jadi pengguna yang bijak, dan jangan jadi pengguna yang beremosi.

“Jangan menghalalkan perkara yang haram. Jangan mengharamkan perkara yang halal… Siapa yang menghalalkan benda yang haram, mengharamkan perkara yang halal ini, dosanya sama seperti mensyirikkan Allah SWT, kerana kita mengambil tugas Allah SWT.”

– Ustaz Mohd Amri Abdullah, kepada SOSCILI.

Jadi, pastikan kita periksa dulu sebelum viralkan!