Adakah Timor Leste Sedia Terima Pelancong Malaysia? Kami pergi check sendiri untuk korang

Masa penulis bagitau mak dia yang dia nak pergi lawatan kerja kat Dili, benda pertama yang mak dia cakap, “Kenapa, apa jadi kat India?”. Mak dia keliru antara Dili dengan Delhi. Jujurnya kat sini dah boleh nampak sebanyak mana orang Malaysia tahu pasal Timor Leste. Tambah-tambah lagi ibu negaranya, Dili.

Bila Cilisos dapat jemputan untuk lawatan media ni pun, kami terpaksa Google kat mana sebenarnya jiran misteri Malaysia ni menyorok. Pastu, dapatlah tahu Timor Leste ni betul-betul tengah dalam wilayah Indonesia, lebih kurang saiz Kelantan dengan populasi dua kali ganda Seremban. Selain tu, tak banyak yang kami dapat dari Internet.

Kadang-kadang orang tersalah fikir dia sebagai Papua New Guinea. Imej dari Geographic Guide dan Research Gate.

Boleh kata rasa ingin tahu tu level hampir nak pecah kepala lah Google ni. Negara apa ni yang susah sangat orang nak cakap pasal dia?

Nak jadi cerita, lepas beberapa hari mengembara di jalanan (mengelak beberapa jalan berlubang yang wow), berbual dengan penduduk tempatan dan mengorek sejarah yang agak liar jugak… inilah yang kami dapati.

 1. Untuk ke Timor Leste sangat mudah dengan laluan baharu Batik Air

Sedikit fakta menarik: hanya 6 bandar dari seluruh dunia yang ada penerbangan terus ke Dili. Dan setakat 6 Jun 2025, Malaysia secara rasmi dah sertai kelab yang sangat eksklusif tu. Dengan laluan baharu Batik Air, korang boleh naik kapal terbang kat KLIA dan hirup udara segar Timor Leste dalam kira-kira empat jam je.
Taknak drama tapi korang memang boleh rasa udara gunung ni masuk terus ke paru-paru dan menghidupkan jiwa bandar korang

Nak senang faham, laluan baharu untuk penerbangan ke Dili wujud selepas Duta Besar Malaysia ke Timor Leste, Dato’ Amarjit Singh berjaya adakan perjanjian dua hala antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Timor Leste.

“Pada masa itu, tiada perjanjian perkhidmatan udara dua hala antara kedua-dua negara. Tuan yang Terutama mengambil inisiatif untuk libatkan kedua-dua Kementerian Pengangkutan di Malaysia dan Timor Leste, serta pihak berkuasa yang berkaitan untuk percepatkan perjanjian,”

– Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Murthy dalam ucapan yang disampaikan bagi pihaknya oleh Ketua Pemasaran Batik Air, Bavani Veeriah
Ni harga satu hala je la tapi. Imej dari tangkapan layar Batik Air.

Penerbangan dijadualkan dua kali seminggu, jadi tarikh perjalanan korang perlu fleksibel lah. Dan jangan lupa borang pengisytiharan dalam talian! Korang ada sekurang-kurangnya lima hari sebelum perjalanan untuk isi ni. Tapi serius, kena setelkan ni sebelum korang mendarat sebab takde roaming untuk syarikat telekomunikasi Malaysia di Timor Leste. Lagi satu, nak isi benda macam ni kat airport boleh jadi leceh jugak. 

Sambil-sambil tu, korang boleh dapatkan kad SIM tempatan bila dah sampai. 10 USD dapat jugaklah data tanpa had yang korang takyah pening kepala nak fikir nanti.

Elok je kami turun dari pesawat, semua kerumitan perjalanan tu hilang macam tu je. Kami disambut baik dengan istiadat hormat air, senyuman mesra, beg cenderahati tempatan dan buat pertama kalinya dapat merasa kopi Timor Leste yang sebenar. Paling takleh lupa sambutan persembahan tarian tradisional yang buat kami rasa macam VIP sejak awal lagi.

2. Melangkah ke Timor Leste rasa macam masuk ke zaman 60-an

Kalau korang pernah terfikir macam mana rupa Asia Tenggara sebelum semua bangunan pencakar langit, pusat beli-belah gergasi dan lebuh raya wujud kat mana-mana, Timor Leste mungkin satu perkara yang paling hampir dengan mesin masa. Kami blah je dari airport, terus rasa macam hidup kat zaman dulu-dulu.

Boleh nampak vibe dia ke?

Hidup rasa macam lagi perlahan kat sini. Malah bas yang kami naiki pun merangkak pada kelajuan 40km/j sampai ke hotel. Jalan-jalan utama di Dili biasanya okay je, tapi makin jauh korang pergi, makin berlubang besar jalan dia dan tar pun perlahan-lahan hilang. Jadi panaskanlah otot-otot sebelum gerak melainkan korang okay dengan sakit punggung.

Hehe takde lah bergegar teruk sampai macam ni.

Untuk pengangkutan awam, tak banyak. Takde LRT, takde MRT, malah Grab pun takde untuk selamatkan jiwa pelancong korang yang tak tahu pergi mana, atau mungkin hilang kejap lepas kebas duduk lama sangat dalam bas tadi. Tapi korang jangan risau sebab ada cara lain. 

Kalau nak tahu, penduduk tempatan guna Mikrolets iaitu van mini comel berwarna-warni yang berfungsi sebagai bas tak rasmi di bandar ini. Kenapa tak rasmi eh? Sebab korang kena tahan van sebaik korang nampak dan kena bagitau pemandu nak turun dekat mana.

Bunyi macam best tapi lebih baik korang sewa je kereta dari airport. Tak pun upah je pemandu tempatan untuk tunjuk jalan sekitar.

Ni Mikrolets. Nampak macam Skittles ada roda kan wheeee.
Imej dari Travel Adventurers. 

Dan mengenai topik melancong, boleh kata agak selamat untuk ambil angin di jalanan walaupun kami tak semangat sangat pada waktu malam. Penduduk tempatan mesra dan kadar jenayah pun tak tinggi (dan tak melibatkan warga asing sangat). Tapi macam biasa lah, kat mana-mana pun korang pergi, berhati-hati masih idea yang baik. Jangan pulak tinggalkan beg korang tanpa pengawasan, dan jangan merayau tak tentu hala di lorong-lorong gelap contohnya.

Lepastu, bila cakap pasal penginapan, pilihan kat sini lebih kepada yang ringkas dan biasa-biasa je, dengan beberapa pengecualian seperti Hotel Timor dan Palm Spring Hotel jika korang nakkan sesuatu yang lebih up

Kami bermalam di Palm Spring dan biliknya sangattttt sangatlah selesa. 

Macam yang kami nampak, makin jauh dari bandar kawasan tu, makin mencabarlah keadaannya, jadi sesetengah tempat itu mungkin tak ada bekalan air dan elektrik. Pendek kata, jangan harapkan yang grand sangat lah. 

3. Dari terumbu karang sampailah denai gunung, ada banyak kat sini untuk diteroka

Salah satu tempat yang semua orang suruh kami tengok ialah Pulau Atauro, sebuah pulau kecil tak jauh dari Dili. Pulau ni terletak betul-betul di tengah-tengah Coral Triangle yang terkenal. Ahli biologi marin nampaknya memang jumpa syurga paling best untuk diorang sebab terumbu karang di sini katanya antara yang paling biodiverse di dunia. Siap ada ikan lumba-lumba, ikan paus dan ikan Finding Nemo yang cantik korang boleh tengok. 

Cer korang tengok kat kawasan laut yang warnanya berubah tu, situ tempat terumbu karang berada.
Wanita tempatan menjual bakul anyaman sendiri

Kami naik feri pada awal pagi untuk ke pulau tu dan hanya ambil masa dalam sejam untuk sampai. Memang feri bergoyang sepanjang jalan, jadi jangan lupa pil loya korang! Tapi nasib kitorang tak berapa baik. Waktu kami pergi, laut sangat bergelora (bila fikir balik boleh faham kenapa bot bergoyang sampai macam tu), jadi kami tak dapat snorkelling atau menyelam. Jadi kami naik lori dan lawat beberapa kedai tempatan. 

Kedai ni dinamakan Boneka dimana diorang buat anak patung dan beg tangan dan segala macam dari sisa. Wang itu kemudiannya diorang gunakan untuk sokong komuniti di Maquili, sebuah kampung di Pulau Atauro.

Kami punyalah seronok tengok barang kemas, beli ole-ole buatan tangan, dan cuba tidak terlalu fikirkan semua ikan yang kami tak nampak. Dan walaupun pantainya sangat best dan air jernih giler sampai boleh nampak masa depan sendiri dalam tu, kami tak dapat hilangkan perasaan yang mesti banyak lagi benda di Timor Leste selain laut dan pasir je. 

Persoalan-persoalan ni terjawab masa salah satu makan malam terakhir kami, dimana diorang tayangkan filem pendek tentang negara diorang. Dan pada masa tu lah kami sedar… memang banyak pun benda kat sini yang kami tak sempat tengok.

Di sebalik pantai ada pergunungan dan denai-denai pendakian yang membawa ke tempat-tempat seperti Mt. Ramelau, puncak tertinggi di negara ni. Pastu boleh berbasikal di gunung dan jungle trekking. Sumpah banyak pengembaraan yang menunggu di sini, tapi kalau nak sumbatkan semua dalam hujung minggu memang tak muat ah. Korang perlu banyak masa, kasut yang lebih baik dan selesa dan mungkin keberanian untuk cuba pelancongan yang bukan biasa-biasa. 

4. Kalau korang jenis tak tahan aktiviti lasak, boleh je tengok kopi

Bukan semua orang nak berpeluh dan menakluki gunung masa tengah bercuti. Sebahagian dari kita (penulis tidak terkecuali) hanya nak bersantai. Mungkin sekadar nak relaksdan pura-pura macam takde masalah menunggu kat rumah. Dan untuk itu, Timor Leste sebenarnya tak mengecewakan untuk jadi tempat escape sementara waktu.

Pada hari kedua, kami dapat nikmati pemandangan indah sepanjang pemanduan ke tanah tinggi Ermera. Rupa-rupanya, hampir separuh kopi Timor Leste berasal dari sini dan kami berpeluang melawat Cooperativa Cafe Timor (CCT), sebuah koperasi kopi yang dikendalikan oleh petani. Diorang membantu kira-kira 27,000 petani tempatan menanam biji kopi yang lebih baik, memperoleh pendapatan yang lebih baik, dan mendapatkan sokongan penjagaan kesihatan.

Percaya atau tak, ni lah rupa biji kopi sebelum masuk dalam cawan korang.

Dan ya… kita dapat tengok ceri kopi masih atas pokok. Akhirnya jadi latte dengan harga kayangan yang buat korang menangis kat Starbucks. Tapi sebenarnya, memang sebahagian kopi dari Timor Leste digunakan kat Starbucks di seluruh dunia. Entah-entah korang pun pernah je minum tapi tak tahu langsung apa-apa pasal ni.

Tapi untuk yang tak minat kopi… umm, ada je perkara lain boleh tengok. Contohnya penjara lama era Portugis atau patung Cristo Rei (Christ the Redeemer kat Rio versi diorang).

Di sebelah kiri ialah laluan (lebih kurang) naik 800+ anak tangga. Agak nak patah kaki jugak ah. Dan lepastu kami melihat Cristo Rei dan terpaksa turun semula huhu TT.

Kami juga singgah di kampung tradisional berhampiran. Jujurnya, ia nampak macam gambar atas poskad. Ada babi hutan peliharaan di latar belakang, biji kopi mengering dibawah terik mentari dan kanak-kanak berlari di sekeliling.

Kalau yang ni je tak cukup untuk estetik kampung, ada juga pondok kayu tinggi yang dipanggiluma lulik, iaitu rumah suci tempat penduduk kampung buat upacara berhubung semula dengan nenek moyang diorang. Sekali dua dalam setahun, keluarga dekat dan jauh akan balik untuk ambil bahagian dalam doa dan ambil berkat, dan (dari apa yang kami diberitahu) ada beberapa jamuan yang cukup epik.

Salah satu dari uma lulik yang sepatutnya ada dalam setiap kampung.

“Selama 6 bulan sekali atau sekali setahun, kami datang untuk berdoa. Kami cakap dengan semangat. Dalam budaya Timor, kami ada sesuatu yang dipanggil mata jauh, diorang bukan doktor tetapi lebih kurang macam tu, diorang akan bagitahu korang apa yang kurang dalam semangat korang, dan jadikan semangat korang kuat untuk lindungi korang.

Jadi apabila buat majlis, semua datuk, bapa saudara, bapa korang, semua orang mesti balik untuk hadiri majlis tu dan ia adalah hari yang besar, majlis yang besar. Mereka akan sembelih kerbau, kambing dan babi untuk pesta minggu itu,”

– Luis, pemandu pelancong Manny Timor Tour

5. Makanan sini sedap, tapi korang kena bawak cash banyak-banyak

Satu benda yang diorang bagitau kami sebelum datang sini ialah kad kredit sangat tak berguna sebab takde tempat pun untuk korang swipe kad. ATM ada tapi tak banyak, jadi korang kena standby wang tunai sebanyak mungkin sebelum datang. Satu lagi benda penting korang kena tahu, sini pakai USD tau. Ya, duit Amerika. $$$

Dari segi harga, boleh jadi sangat kayangan kalau korang jenis suka tempat yang wow dan mantap, macam Palm Spring Hotel tempat kami menginap. Kos untuk satu malam tak mahal pun, boleh lah setakat jual buah pinggang 250USD (lebih dari RM1k!), Makanan pulak boleh berharga antara 5USD hingga 25USD bergantung kalau korang ambil yang simple,set hidangan, atau order macam badak air kelaparan.

Ni hidangan keseluruhan untuk seorang makan. 🤤

Kami dah try restoran yang sangat bagus dan sangat rekomen korang try jugak, macam Pro-Ema Restaurant School, yang dimulakan oleh Casa Vida, sebuah NGO yang bantu mangsa dera perempuan. Korang bukan je menyokong inisiatif yang baik, malah makanan diorang memang on top lah serius. 

Sedap dengan cara paling high class.

Satu lagi tempat yang gempak ialah restoran Malaysia ni, Gia, dinamakan sempena pemiliknya yang berasal dari Sabah. Dia berpindah ke Dili pada tahun 2002 dan mula menghidangkan masakan klasik Malaysia semenjak tu. Sebelum dia buka tempat ni, dia sebenarnya tukang masak peribadi untuk duta Amerika (!!!) dan sebelum itu, dia uruskan restoran lain bersama rakan kongsi.

“Banyak orang Timor suka makanan Malaysia. Masa saya mula masak makanan Kelantan dan Terengganu, nasi kerabu contohnya, diorang terkejut dan jatuh cinta dengannya,”

Tentang sama ada Gia suka atau tak di Timor Leste, dia hanya ada benda baik untuk diucapkan.

“Saya suka disini. Negara ni perlahan. Kat sini tak tergesa-gesa macam negara kita (Malaysia), jadi kalau buat apa pun, korang boleh santai,”

Ni lah Gia. 
Yang mengendalikan Gia.

Macam kat rumah atau negara sendiri, orang kat sini boleh bercakap dalam Bahasa Melayu. Memanglah bahasa Portugis dan Tetum tu bahasa rasmi diorang, tapi ramai penduduk tempatan terutamanya generasi yang lebih tua masih boleh bercakap dalam BM dari zaman Indonesia menakluk Timor Leste. Kalau korang reti BM tapi tak berapa pro sangat pun masih boleh bersembang dengan makcik-makcik kat pasar, sambil tawar-menawar (jangan lebih-lebih, diorang pun nak cari makan 🙂) untuk ole-ole.

6. Hati sebenar Timor Leste semestinya rakyat dan kisah diorang

Kami jangkakan pantai. Kami jangkakan gunung. Tapi sebenarnya orang Timor Leste yang paling buat kami kagum.. Sebelum datang pun, dah boleh rasakan vibe tu bila Perdana Menteri Timor Leste sendiri yang hulurkan gula-gula kepada media Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN. PM mana lagi nak buat camtu???

Detik kecil ni sebenarnya berjaya melambangkan jiwa Timor Leste tu sendiri. Diorang kebanyakannya mesra, ikhlas dan sangat mengalu-alukan, sama ada pemandu pelancong, menteri tempatan, atau penduduk kampung yang layankan je kami tangkap gambar satu persatu pokok dan kambing diorang.

Tapi makin banyak korang faham tentang masa lalu diorang, makin banyak korang akan rasa sebak di dada tu sikit demi sedikit. Ini adalah negara yang dah lalui banyak sangat dugaan. Dijajah Portugis pada tahun 1500-an, diserang Indonesia pada tahun 1975 dan hanya mencapai kemerdekaan menjelang 2002 yang tak lama pun fikir balik. Dan peristiwa-peristiwa ni berselang seli dengan berdekad-dekad pendudukan yang kejam, keganasan dan pembunuhan beramai-ramai.

Gambaran keadaan semasa pendudukan. Dan percayalah, kami dah pilih gambar paling tak sakit mata untuk dilihat. Imej dari Arkib Timor

Mungkin korang rasa sejarah pahit diorang buat rakyat Timor Leste pahit jugak, tapi tak. Kami malah diberitahu orang-orang yang tinggal kat sempadan antara Timor Leste dan Timor Barat (Indonesia), adalah antara orang yang paling aman.

Tapi malangnya, cinta keamanan je tak cukup untuk pastikan ekonomi berjalan. Timor Leste masih negara yang miskin. Eksport terbesar diorang ialah minyak dan tu pun dah nak habis. Lepas minyak, kopi, tapi itu pun jauh ketinggalan kalau nak dibandingkan dengan skala industri getah atau minyak sawit Malaysia. Dan kerana dilanda kesusahan selama bertahun-tahun, diorang masih terpaksa hadap banyak isu seperti pertikaian hak millik tanah, penderaan dalam rumah tangga, masalah setinggan, malah kurangnya bekalan air bersih. 

Itu sebabnya pelancongan sesuatu besar bagi diorang. Korang boleh fikir sendiri dan nampak sebenarnya diorang nakkan lebih ramai orang datang dan melihat keindahan negara diorang. Apa yang menghalang diorang adalah belum ada bajet atau kempen besar untuk bersaing dengan negara-negara jiran terdekat.

7. Timor Leste bukanlah destinasi bajet, tapi kenangan dari sini memang berbaloi

Terus terang… Timor Leste tak murah. Sebab paling ketara ialah servis pelancongan diorang kebanyakannya disediakan untuk warga asing (susah nak nampak orang tempatan saja-saja bermalam kat Palm Spring Hotel). Dan bila sebut pasal orang asing, maksudnya lebih kepada pelancong yang ada bajet dan kuasa perbelanjaan yang serius, bukan sekadar penulis kandungan Malaysia yang kering memanjang.

Barang runcit paling basic pun boleh jadi mahal sangat, kerana banyak yang diimport. Kami pun perasan banyak kali sangat kami congak nilai Ringgit ke USD, fikir berbaloi ke tak belanjakan RM18 untuk snek yang habis sekali gigit.

Tapi kalau korang mampu berbelanja, memang berbaloi sebenarnya untuk dicuba. Walaupun jalan raya diorang agak kasar, feri diorang terumbang-ambing sampai organ dalaman korang bergegar,dan bekalan elektrik diorang kejap ada kejap takde, benda-benda kecil nilah yang jadi kenangan manis lepas dah balik nanti. 

Kan dah cakap orang tempatan semuanya mesra, tengok senyuman tu!

Tak ada yang pura-pura dalam semua yang diungkapkan kat sini. Korang akan rasa sejenis perasaan yang legit pergi suatu tempat tu dan betul-betul terokainya. Korang dapat peluang nak tengok sekilas Asia Tenggara asal yang tak gantikan bukit, gunung serta sungai diorang dengan menara kaca dan kesesakan lalu lintas tanpa penghujung. Sejujurnya, kami berani kata, takde tempat lain yang segar seperti Timor Leste. Dan percayalah, korang akan balik dengan gambar-gambar yang takkan sama dengan orang lain yang pergi jalan-jalan jugak.