Korang perasan tak apa yang pelik kat Parlimen? Cuba korang tengok dalam gambar kat atas. Korang nampak tak apa yang tak kena? Ada apa-apa yang hilang? atau nampak normal je?
Kalau korang perasan yang wanita tak ramai dalam gambar tu, korang betul. Dan ye memang sangat kurang. Daripada 39 ahli parlimen dalam gambar tu, cuma 3 orang je wanita.

Benda ni nampak tak adil sebab hampir separuh atau 48 peratus daripada jumlah populasi negara adalah wanita. Tapi masalahnya sekarang, kita ada 222 ahli parlimen dan hanya 30 orang daripadanya adalah wanita. Cuma 13 peratus je dari jumlah keseluruhan. Sikit kan?
Semua ni buatkan kitorang terfikir, memang selalu macam ni ke? Penting sangat ke kalau kurang perwakilan wanita dalam politik? Kalau penting, apa yang kita boleh buat untuk ubah perkara ni? Hmmm…
Kita mulakan dengan penglibatan wanita dalam politik Malaysia
Korang mungkin terkejut kalau kitorang cakap yang sejak 70 tahun lepas, jumlah wanita yang menjadi ahli parlimen tak pernah capai 20 peratus pun kat Malaysia ni. 20 peratus pun sebenarnya terlalu banyak.
Menurut kajian yang dibuat oleh Yeong Pey Jung untuk Penang Institute dan Westminister Foundation for Democracy, jumlah tertinggi yang pernah kita capai hanyalah 14 peratus pada 2018.
Dia sama macam ada 20 orang dalam Dewan Rakyat, tapi cuma ada 3 orang wanita je dalam tu.
Tapi, jumlah 14 peratus tu masih lagi tinggi berbanding jumlah terendah yang pernah kita ada dalam parlimen, iaitu 1.9 peratus pada tahun 1964 di mana hanya ada 3 orang wanita berbanding 158 orang lelaki dalam Dewan Dakyat.
Sekarang korang fikir, “okey la, ada peningkatan la kan?” Yelah, daripada kurang dua peratus wanita yang jadi ahli parlimen kepada hampir capai 15 peratus!
Nampak mengagumkan la kalau jumlah wanita bukan separuh daripada populasi negara ni, dan kalau korang tengok sasaran terkini jumlah 30 peratus perwakilan wanita dalam politik yang dibuat oleh PBB, sebenarnya kita jauh lagi nak capai sasaran tu.
Dan kita nampak lebih teruk kalau dibandingkan dengan negara lain.
Mengikut kedudukan yang dikeluarkan oleh Inter-Parlimentary Union, kita sebenarnya kalah dengan negara jiran kita.
Ini termasuk Thailand yang ada hampir 20 peratus perwakilan wanita dalam parlimen, Indonesia 22 peratus, Filipina dengan 28 peratus, dan juga Timor-Leste (yang baruuuu je sertai ASEAN haritu) dengan jumlah tertinggi iaitu 35 peratus!
Daripada semua 11 negara ASEAN, kita sebenarnya duduk kat tangga kedua terakhir. Atas Brunei (yang sebenarnya negara monarki mutlak)
Kalau kita tengok dari segi menteri wanita pulak, tak jauh beza pun. Contohnya, kita ambil masa sampai tahun 1969 untuk kita dapat menteri wanita pertama iaitu Tun Fatimah Hashim, yang dilantik sebagai Menteri Kebajikan.
Sejak tu, walaupun lebih ramai wanita dalam kabinet, jumlahnya masih tak memberangsangkan.
Jumlah menteri wanita yang paling tinggi paling pernah kita capai adalah hampir mencapai 18 peratus pada 2018, berbanding sekarang, daripada 31 menteri dalam kabinet termasuk Perdana Menteri, cuma lima orang atau 16 peratus je adalah wanita.
Walaupun kita ada jumlah perwakilan timbalan menteri wanita yang ramai, lebih kurang satu per lima dari jumlah semua timbalan menteri, tapi siapa je yang kisah pasal timbalan menteri.
Yang membawa kita kepada soalan seterusnya. Kenapa macam perlu sangat ada perwakilan wanita dalam Parlimen?
Sebab perkara ni bagi kesan pada satu-satu keputusan yang dibuat
Tak payah cakap banyak. Kita ambil masa lebih dari satu dekad untuk jadikan gangguan seksual satu kesalahan.
Usaha melobi untuk undang-undang perlindungan daripada gangguan seksual yang berdiri sendiri sebenarnya dah bermula seawal tahun 2011, tetapi hanya pada tahun 2022…ya, sekitar empat tahun lepas, Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual akhirnya dibentangkan dan diluluskan.
Ini bermakna, lebih daripada 10 tahun berlalu sejak kita mula putuskan untuk buat sesuatu untuk wanita (lelaki juga ada jadi mangsa) yang diganggu oleh individu yang berkelakuan pelik.
Kenapa kita ambil masa lama sangat? Hmm, mungkin sebab isu ni cuma kena dekat perempuan je kot.
Menurut tinjauan pada 2020 dibuat kepada seribu orang wanita oleh Woman’s Aid Organization, 62 peratus daripada diorang pernah melalui satu atau lebih jenis gangguan seksual di tempat kerja. Mengikut kajian lain yang dibuat oleh YouGov, lebih satu per tiga wanita Malaysia mengalami gangguan seksual berbanding satu per enam lelaki yang mengalami perkara serupa.
Fikir-fikirkanlah. Bayangkan, daripada semua wanita yang korang kenal, mungkin separuh daripada diorang pernah alami gangguan ni.
Disebalik semua tu, rang undang-undang ni ditangguhkan, dan diletakkan kat bawah sekali dalam senarai. Sama macam benda-benda yang tak penting macam bawang yang ada dalam peti sejuk penulis sejak tahun 2024.
Dan bila semua ahli parlimen wanita tanpa kira parti (Kan bagus macam ni), bersama-sama masyarakat sivil, mula desak secara berterusan, barulah rang undang-undang tu akhirnya berjaya diluluskan.
Kalau kita ada lebih ramai wanita dalam Parlimen dari awal, adakah perkara ni akan ambil masa lama macam ni? Kitorang tak pasti, tapi yang kita tahu, isu yang bagi kesan kat wanita cenderung untuk jadi antara perkara yang ditangguhkan atau diabaikan.
Contoh lain, selama bertahun-tahun, bapa berwarganegara Malaysia boleh pindahkan hak kewarganegaraan kepada anak-anak-anak diorang yang lahir kat luar negara. Tapi kalau korang seorang ibu yang berkahwin dengan warga asing, korang tak boleh buat macam tu untuk anak korang
Atau satu lagi contoh, perkahwinan kanak-kanak, yang menurut UNICEF, bagi kesan secara tidak seimbang kepada remaja perempuan di kawasan luar bandar, dan bagaimana ia masih sah di sisi undang-undang di Malaysia di bawah kedua-dua undang-undang sivil dan syariah, walaupun pakar-pakar menggesa agar ia diharamkan sebab ada bukti yang kukuh tentang kemudaratannya.
Dan coraknya kat sini jelas. Bila individu yang bertanggungjawab menggubal undang-undang kebanyakannya lelaki, pihak yang terpaksa menanggung akibatnya akhirnya ialah wanita dan kanak-kanak perempuan.
Apa yang kita boleh buat?
Sebenarnya, ada penyelesaian yang mudah untuk semua ni.
Menurut kajian Pey Jung yang kita rujuk tadi, kita cuma perlu laksanakan kuota 30 peratus wanita untuk semua parti politik yang bertanding dalam pilihanraya.
PBB dah lama menyeru kerajaan buat benda ni sejak 1990 dan dalam Dasar Wanita Kebangsaan, Malaysia pun buat benda yang sama dengan menetapkan sasaran 30 peratus wanita dalam parlimen.
Kita juga ada NGO macam EMPOWER yang mendesak untuk semua parti politik untuk perkenalkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai calon dalam PRU-16 nanti.
Masalahnya sekarang ni, ahli parlimen dipilih oleh pengundi. Benda ni berbeza dengan menteri dan timbalan menteri yang boleh dilantik terus. Jadi walaupun kerajaan tetapkan sasaran 30 peratus wanita untuk ahli parlimen atau ADUN, yang tentukan wanita dapat kerusi ke tak masih pengundi.
Akhirnya, siapa pun nak jadi MP atau ADUN, kena menang pilihan raya dulu.
Dekat carta bawah ni, kita boleh nampak macam mana benda ni boleh jadi satu masalah.
Secara kasar, kita boleh nampak peratus wanita paling rendah ada di Parlimen dan DUN, berbanding jawatan macam Senator, Menteri dan Timbalan Menteri yang perwakilan wanitanya lebih tinggi.
Jadi, semua ni sebenarnya maksudnya apa? Pengundi tak nak pilih wanita ke? Sebenarnya tak tepat juga nak kata macam tu.
Contohnya, kalau tengok data PRU15, daripada 945 calon yang bertanding, cuma 127 je wanita.
Maksudnya, lebih kurang 13 peratus sahaja wanita yang diletakkan sebagai calon.
Macam mana nak harap wanita “jaringkan gol” kalau nak masuk padang pun tak dibenarkan?
Sebab tu sasaran 30 peratus yang Pey Jung sebut tu bukan setakat untuk wanita dalam Parlimen, tapi untuk jumlah calon wanita dalam pilihan raya secara keseluruhan.
Jadi walaupun kuota wajib nampak macam keras, mungkin memang perlu sebab selalunya wanita pun tak diberi peluang untuk bertanding dari awal lagi.
Ada juga cadangan lain untuk tingkatkan perwakilan wanita. Salah satunya datang daripada Project SAMA, sebuah NGO yang memperjuangkan reformasi politik di Malaysia.
Diorang cadangkan sesuatu yang dipanggil Top-UP Woman-Only Additional Seats untuk dipertimbangkan di Pulau Pinang. Cara ia berfungsi adalah macam ni:
Sebelum pilihan raya, setiap parti perlu hantar satu senarai calon wanita yang disusun mengikut kedudukan.
Lepas pilihan raya, kalau jumlah wanita dalam DUN masih kurang daripada 30 peratus, kerusi tambahan akan ditambah.
Kerusi tambahan tu kemudian diagihkan kepada parti berdasarkan peratus undi yang diorang dapat, dan diisi dengan senarai calon wanita parti tersebut sebagai wakil peringkat negeri, bukan mewakili kawasan tertentu.
Cadangan ni boleh galakkan parti politik untuk letakkan lebih ramai calon wanita, termasuk yang sebelum ni mungkin tak diberi peluang. Pada masa sama, boleh pastikan ada perwakilan minimum wanita dalam DUN tanpa perlu ubah sistem sedia ada atau adakan pilihan raya baru.
Tapi kuota sahaja takkan selesaikan semua masalah.
Kita pun belum sentuh lagi tentang apa yang perlu dibuat sebagai masyarakat. Contohnya, macam mana nak galakkan budak perempuan berani masuk kepimpinan dari usia muda, atau buang halangan yang halang wanita capai potensi sebenar diorang.
Selagi kita tak betul-betul anggap isu ni sebagai sesuatu yang serius untuk ditangani bersama, kita akan terus tengok lelaki bertempik sesama sendiri dalam Parlimen, sambil tertanya-tanya kenapa tak ada apa-apa pun yang berubah.