Digelar ‘Syurga Dunia’: Mengapa Kashmir terus berdarah sejak lebih 70 tahun lalu?

Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 13 Mac 2019.

Pada Februari tahun lalu, kita dikejutkan dengan krisis yang berlaku antara India dan Pakistan di wilayah yang dipertikaikan Kashmir. Semuanya jadi bila berlakunya letupan bunuh diri yang membunuh 40 orang anggota keselamatan India di kawasan Kashmir yang dikawal negara tu.

India dalam reaksinya berkata Pakistan terlibat dalam serangan tu. Tak lama lepas tu, Pakistan ambil tindakan menembak jatuh dua pesawat India, selepas India melakukan pengeboman di wilayah yang dikawal Pakistan. India kata, serangan tu mensasarkan Jaish-e-Mohammed (Jem), kumpulan yang didakwa bertanggungjawab melakukan serangan bunuh diri tu.

Bangkai pesawat India yang ditembak. Imej dari Mirror.

Pada Ogos tahun sama pula, Presiden India, Ram Nath Kovind dah menandatangani dekri memansuhkan Artikel 370, Perlembagaan yang memberikan status autonomi khas kepada wilayah Kashmir. Melalui pemansuhan artikel ini, keistimewaan kepada rakyat wilayah itu turut dimansuhkan.

Dan yang terbaru, Kashmir tetap bergolak apabila berlakunya protes anti-India setelah tentera India membunuh sekurang-kurangnya 9 orang pemberontak di wilayah yang dipertikaikan.  Maka, berlakulah sekali lagi ketegangan antara India – Pakistan dan dunia sekali lagi memerhatikan pertikaian Kashmir yang dah berlarutan selama lebih 70 tahun ni.

Jammu & Kashmir  syurga dunia yang dihukum kerana sejarahnya

Wilayah Jammu dan Kashmir (J&K) adalah satu wilayah di Barat Laut Benua India dan wilayah ni cukup terkenal dengan keindahannya sehingga digelarkan sebagai ‘syurga di atas dunia’. Sebab itulah, J&K pernah jadi tempat peranginan sultan-sultan Moghul dahulu.

Berdasarkan rekod, wilayah ini mula wujud pada tahun 1846 di bawah Perjanjian Amristar, bila mana Maharaja Gulab Singh membeli Lembah Kashmir dari Syarikat Hindia Timur. Tapi, pemerintahan Maharaja tak dapat sokongan sepenuhnya daripada rakyat dan itu dah membuatkan berlakunya beberapa siri pemberontakan.

Inilah dia Maharaja Gulap Singh. Imej dari Wikipedia.

Seorang tokoh bernama – Sheikh Mohammad Abdullah dah mewujudkan satu gerakan dikenali sebagai ‘All Jammu and Kashmir Muslim Conference’ yang berjuang untuk membebaskan J&K daripada pemerintahan Maharaja. Usaha ni berterusan sampailah pada tahun 1947, bila jadinya pemisahan antara India dan Pakistan. J&K bagaimanapun masa tu diberikan kebebasan sama ada nak bersama India ataupun Pakistan.

Namun begitu, pada tahun yang sama juga berlakunya Perang India-Pakistan dan ini dah membuatkan J&K sebagai antara wilayah yang direbutkan kedua-dua negara. Pakistan lepas tu menyerang J&K dengan bantuan Pashtun dan Maharaja pula minta bantuan India.

Keindahan Kashmir. Imej dari bookshooktravel.com

Setahun lepas tu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dah keluarkan resolusi bagi membahagikan J&K supaya jadi dua wilayah untuk Pakistan dan India. Tapi usaha ni tak mendatangkan hasil yang baik, bila perang antara dua negara masih lagi berlanjutan pada tahun-tahun seterusnya.

Kesan dari beberapa siri peperangan ni dah menjadikan sebahagian besar wilayah J&K berada di India, tapi ia masih lagi dipertikaikan dan direbutkan oleh Pakistan. Lebih menarik, sekarang ni terdapat tiga negara yang menguasai wilayah tu.

  • India menguasai – Lembah Kashmir, Jammu & Ladakh
  • Pakistan menguasai – Gilgit-Baltistan & Azad Kashmir
  • China menguasai – Aksai Chin & kawasan Trans-Karakoram
Keadaan Jammu & Kashmir hari ni. Imej dari BBC.

Adakah faktor agama mainkan peranan dalam konflik ni?

Salah satu perkara yang tak dapat dinafikan tentang pemisahan India dan Pakistan adalah faktor agama. Walaupun Mahatma Gandhi (bapa kebebasan India), Muhammad Ali Jinnah (Pengasas Pakistan) dan Jawaharlal Nehru (PM Pertama India) berjuang bersama-sama menentang penjajahan Inggeris, tapi akhirnya India terpaksa juga dipisahkan.

Gandhi & Jinnah. Imej dari Wikimedia Commons.

Pakistan jadi negara yang ada majoriti penduduk Muslim dan India bermajoriti penduduk Hindu. J&K pula adalah wilayah majoriti Muslim dan ia sekali lagi menjadikan faktor agama sebagai antara sentimen yang ada di wilayah tu.

Keadaan ni dah membuatkan wujudnya sentimen pro-Pakistan dikalangan penduduk Muslim, berbanding pro-India.

“Ramai penduduk Kashmir mengungkapkan sokongan mereka kepada Pakistan secara terang menerusi pelbagai cara simbolik seperti bersorak untuk pasukan kriket Pakistan, mengibar dan melambaikan bendera Pakistan, menetapkan lagu kebangsaan Pakistan sebagai ringtone telefon bimbit mereka dan menghadiri majlis pengebumian militan Pakistan dengan jumlah yang besar,” – Dipetik dari Dawn News.

Antara slogan pro-Pakistan di Kashmir. Imej dari The Express Tribune.

Walaupun begitu, ada juga yang semakin bosan dengan konflik yang ada, dan nampak Pakistan dan India cuma bermain retorik je dalam isu pertikaian J&K.

Menurut Ketua Pengarang akhbar Kashmir Images, Bashir Manzar, walaupun Hari Solidariti Kashmir (jadi hari cuti nasional di Pakistan) disambut pada setiap 5 Februari, ia cuma lambang ritualistik semata-mata.

“Secara jujurnya, saya tak berapa beri perhatian pada hari ritualistik ini. Ia mungkin bagus untuk pentadbiran Pakistan, tapi polisi Pakistan terhadap Kashmir tidak konsisten, sama juga seperti India,” katanya, dipetik dari Dawn News.

Ada juga yang dah putus asa dengan India dan Pakistan, dan nak berkerajaan sendiri. Imej dari worldpress.org

Sebab itulah, kalau kita nak kata agama menjadi faktor, ia tak tepat sangat, sebab konflik J&K ni lebih kepada masalah polisi dan pendekatan kedua-dua negara (India dan Pakistan).

Apa yang lebih penting, masalah besar yang menyebabkan konflik ini berterusan adalah bila India dan Pakistan masih tak puas hati dengan apa yang ada dan tuntut kawasan yang ditadbir kedua-dua negara.

“Kedua-dua kerajaan tidak berupaya untuk mengalah kerana sebarang perubahan status quo akan mengakibatkan kemarahan rakyat masing-masing yang boleh membawa kepada kalah pilihan raya di India, atau rampasan kuasa di Pakistan.

__

Maka India dan Pakistan sudah beberapa kali berperang kerana Kashmir. Sementara itu berlaku pula kezaliman tentera India ke atas Kashmir, yang selanjutnya membawa kemunculan kumpulan-kumpulan pejuang pembebasan Kashmir, yang ada antaranya disokong Pakistan,” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Menurut pakar geostrategis, Azmi Hassan pula, masalah bertambah rumit bila kedua-dua pihak sama ada India dan Pakistan sampai ke hari ni guna ketegangan agama untuk kelangsungan agenda politik masing-masing.

“Tidak dapat dinafikan juga faktor agama adalah kriteria penting untuk parti pemerintah kekal di Pakistan. Selagi isu agama diperguna, maka selagi itu persengketaan India-Pakistan berkekalan,” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.

Rusuhan agama di Gujarat yang telah mengorbankan hampir 1000 nyawa. Imej dari The Daily Star.

India dan Pakistan mungkin tak akan berperang lagi

Walaupun konflik antara India-Pakistan disebabkan J&K selalunya dikatakan memungkin perang antara dua negara, ia tak lah semudah yang disangka. Sebabnya, antara faktor utama yang menjadi penghalang peperangan adalah… nuklear.

Sebabnya, sejak India ada senjata nuklear pada tahun 1974 dan Pakistan pada 1998, kedua-dua negara ni dah tak berperang dah. Walaupun senjata tu boleh jadi antara option yang ada, tapi masalah sudah pasti akan berbangkit nanti.

Haip! Jangan!! Imej dari Giphy.

“Bukan saja pemilikan bom nuklear yang menghadkan berlaku perang, tetapi negara kuasa besar di belakang kedua-dua negara ini juga tak mahu perang meletus.

__

Malah, oleh kerana terlalu kerap mereka melalui peristiwa sengketa ianya boleh dianggap India Pakistan punya pengalaman untuk elak ianya terjerumus ke arah lebih teruk. Kedua-duanya bijak guna ketegangan untuk manfaat politik masing-masing,” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.

Imej dari Al-Jazeera/BH Online.

Bagi bekas Menteri Kewangan Pakistan, Shahid Javed Burki pula, populasi anak muda di Pakistan yang mencecah angka lebih seratus juta pun jadi penghalang utama dari berlakunya peperangan. Sebabnya, diorang ni nakkan keamanan, kemakmuran ekonomi, peluang pekerjaan dan khidmat kesihatan yang baik, bukannya peperangan.

“Pakistan juga memperlihatkan cara muhibahnya kepada India melalui dasar istimewa, termasuk memudahkan sekatan visa terhadap masyarakat Sikh supaya mereka boleh malawat kuil-kuil mereka di Pakistan.

__

Kerajaan Imran Khan juga mencadangkan pembinaan koridor yang membolehkan perjalanan tanpa visa Sikh ke Kartarpur, di mana salah satu tempat paling suci masyarakat itu,” – katanya dipetik dari South China Morning Post.

Cahaya kedamaian Kashmir masih belum malap

Pemisahan antara negara atas dasar ideologi bukanlah baru, dan kita sendiri dapat melihat macam mana Korea terpisah di antara Selatan dan Utara. Hal itu belum lagi masuk episod sejarah tentang pemisahan Vietnam, Jerman, Yemen, mahupun China dan Taiwan.

Jadinya, pemisahan antara India dan Pakistan juga boleh dikatakan bukan kerana agama semata-mata, tapi juga ideologi. India pada mulanya mahu mencerminkan sekularisme, manakala Pakistan pula dengan idea negara bangsa Islamnya. Maka Kashmir terpecah menurut ideologi ini.

Dua orang lelaki membawa seorang wanita tua, masa berlakunya penghijrahan beramai-ramai ketika pemisahan India. Imej dari sbs.com.au

Oleh itu bagi Azmi Hassan, jalan paling ideal nak kekalkan Kashmir dalam keadaan damai adalah membebaskan wilayah ni dari naungan India mahupun Pakistan. Tapi, Kashmir tak mampu buat benda ni sorang-sorang dan kerana tu organisasi dunia kena mainkan peranan.

“Paling tidak pastikan pengaman PBB perlu berada di Kashmir. Jika Mindanao ada autonomi melalui perundangan Bangsamoro, maka tidak mustahil bagi Kashmir,” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.

Akhirnya, sinar harapan Kashmir mengecapi kedamaian bukanlah mustahil dan semua pihak mempunyai tanggungjawan merealisasikannya. Dunia kini semakin lelah dengan persengketaan, tapi malangnya langkah keamanan pula semakin tempang!

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

 

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.