- 726Share sekarang!
- Email5
- Facebook721
- Share
Setiap tahun, ahli perniagaan seluruh dunia akan tunggu Forbes keluarkan senarai top 10 jutawan dunia. Kalau yang minat bola akan tunggu keputusan top 10 anugerah Ballon d’Or yang Christiano Ronaldo menang lagi. Untuk peminat filem akan tertunggu-tunggu filem apa yang akan menang anugerah Oscar.
Tapi, mungkin ramai yang tak perasan, tiap tahun The Royal Islamic Strategic Studies Centre akan keluarkan senarai orang Islam paling berpengaruh dunia atau Top Muslim 500: The World’s Most Influential Muslim. Untuk tahun 2018, senarai dah pun keluar. Kalau nak ikutkan, mereka yang berpengaruh mestilah terdiri dari ilmuwan, pemikir dan pemimpin negara. Tapi, jangan lupa ada juga dalam senarai bagi individu dalam bidang lain.
Jadi, kali ni kami dari SOSCILI akan kongsi senarai selebriti dan atlet sukan muslim yang berpengaruh pada tahun 2018. Antaranya…
1) Mo Farah: Penerima pingat kesatria dari Ratu Elizabeth
Selain acara lari pecut 100 dan 200 meter yang Usain Bolt masuk tu, ada juga kategori lari banyak pusingan iaitu kategori 5,000 dan 10,000 meter. Pada Olimpik 2012 dan 2016, ada orang yang sama yang jadi juara untuk dua-dua kategori ini iaitu Mo Farah dari Great Britain. Dia berasal dari Somalia yang mana keluarganya lari ke negara jiran, Djibouti kerana konflik ganas yang terjadi. Waktu umur 8 tahun, dia pindah ke London di mana dia mula berlatih menjadi atlet.
Orang British tertarik dengan usaha keras, wajahnya yang selalu tersenyum dan kejayaannya. Detik kejayaannya yang paling diingati adalah waktu saingan akhir 10,000 meter di Olimpik Rio 2016. Kalau dia menang acara ni, maknanya dia orang British pertama yang menang acara ni dua kali berturut-turut lepas Olimpik London 2012. Sebab apa larian ni diingati?
Waktu kat tengah larian, dia terjatuh sebab terlanggar kaki pelari lain. Kalau fikir logik, memang tertinggal jauh dan kalah. Tapi, dia bangkit semula dan susun balik langkah lariannya serta pecut satu per satu pelari lain hinggalah sampai ke garisan penamat sebagai juara. Di garisan penamat, dia jatuh sekali lagi tapi kali ni untuk bersujud.
“Dalam Qur’an ada mengatakan yang anda perlu bekerja keras dalam apa jua yang dilakukan, jadi, saya bekerja keras dalam latihan dan ada banyak benda yang perlu dibuat untuk berjaya”- Mo Farah, petikan dari The Independent.
Tempat latihan dia adalah di Oregon, US yang mana dia dan keluarganya menetap di situ walaupun memegang passport British. Waktu Donald Trump mengumumkan 7 negara Islam yang tak boleh masuk US, dia adalah antara yang mengkritik dengan mengatakannya sebagai tindakan jahil dan prejudis. Dia pernah mendedahkan bagaimana susahnya dia nak masuk US sebab pihak berkuasa ada masalah dengan asal-usulnya dari Somalia. Dia terpaksa tunggu di Kanada lama sebelum boleh masuk US balik.
Kini, dia dah pun bersara dari karier lariannya dan pulang ke London untuk fokus acara marathon pulak. Kejayaannya sebelum ni mendapat penghargaan dari Ratu Elizabeth dengan penerimaan pingat kesatria yang membawa gelaran Sir Mo Farah.
2) Zayn Malik: Pernah diugut bunuh sebab sokong Palestin
Siapa sangka, kumpulan One Direction dengan 5 orang pemuda ni boleh memintas rekod pencapaian kumpulan legenda The Beatles dalam carta Billboard. Ditubuhkan tahun 2010, lepas 5 tahun bersama, Zayn Malik dah umum untuk keluar dari kumpulan ni. Apa yang menarik, dia tetap menjadi mega star walaupun bergerak solo. Album pertamanya juga berada di tangga teratas dalam banyak carta dunia serta mencapai 1 juta muat turun di Spotify.
Mungkin kita tak berapa dengar cabaran Zayn jadi mega star dengan membawa status muslim. Dia membesar dengan kepercayaan Islam melalui ayahnya (Pakistan-British) dan maknya orang British yang masuk Islam lepas berkahwin. Waktu bersama One Direction, identiti agamanya sering dipermainkan. Antaranya:
- Waktu One Direction tengah naik, ada pihak rasa takut dengan mengatakan yang “Jihad menyusup masuk ke Pop Band kegemaran perempuan Amerika.”
- Rucka Rucka Ali (penyanyi Rap Amerika) ada keluarkan lagu parodi bertajuk ‘Zayn did 9/11’. Video tu juga memasukkan gambar waktu serangan 11 September di WTC.
- Pada tahun 2015 pula, ada pelawak Amerika samakan Zayn Malik dengan pengebom di Boston.
Dia juga pernah diugut bunuh oleh ramai orang di Twitter-nya sebab tulis tweet ringkas #FreePalestine yang di re-tweet 150,000 kali. Serangan berbaur rasis yang banyak dah menyebabkan Zayn pernah tutup akaun twitter-nya. Waktu ditanya pasal kritikan anti-Muslim yang diterimanya, dia menjawab,
“Saya fikir kita sudah berubah dari perkara itu dan kita hidup di abad ke-21 serta orang boleh menerima orang lain dari agama yang berbeza.”- Petikan dari Washington Post.
3) DJ Khaled: Penerbit lagu di US yang berasal dari Palestin
Mungkin ramai yang pernah dengar nama DJ Khaled yang feat dengan Justin Bieber dalam lagu I’m the One. Nama betul dia adalah Khaled Mohamed yang merupakan anak kepada imigran Palestin yang datang ke US. Dia juga adalah penerbit rakaman serta pengarang yang bertapak di Miami. Album pertamanya ‘Major Key’ juga berada dalam senarai hit Number One.
Disebalik kejayaannya tu, dia juga ada pengikut akaun Snapchat yang ramai melebihi 6 juta orang. Kalau dah ramai pengikut, buat apa pun boleh jadi viral. Salah satunya bila dia selalu kongsi detik-detik kelahiran anaknya. Apa yang dapat perhatian bila dia azankan anaknya yang baru lahir tu serta dapat liputan meluas. Bukan setakat tu je, dia juga pernah mengkritik pengumuman Trump pasal Muslim Travel Ban terhadap negara-negara Islam.
“Saya adalah Muslim… Ianya sangat menarik bila melihat ramai orang datang bersama kerana kasih-sayang! Saya berdoa untuk semua orang, saya berdoa kita semua berkasih sayang dan hidup dengan aman…#NoBanNoWall”- Petikan dari Miami New Times.
Waktu ditemu bual Rolling Stone, diorang tanya macam mana kepercayaan Islam boleh bimbing hidupnya seharian. Dia jawab,
“Ianya mengambil masa 40 tahun untuk terangkan semuanya. Saya berdoa kerana saya berdoa setiap masa dalam sehari. Itulah cara saya dibesarkan dan ia menjadi perisai saya”- Petikan dari Rollingstone.
4) Paul Pogba: Pemain termahal dunia yang berkongsi mengenai Islam
Dalam dunia bola sepak, orang akan ternanti-nanti juga pembelian termahal seseorang pemain tu. Paul Pogba dah pun menjadi pemain termahal dunia yang dibeli Manchester United dari kelab Juventus dengan nilai 116 juta US Dollar. Pemain yang termahal ni adalah seorang muslim dari negara Perancis yang mana mak ayahnya berasal dari Guinea.
Pada Piala Dunia 2014, dia dinamakan sebagai Best Young Player selepas persembahan menakjubkan di kejohanan tu. Hinggalah dia sekarang dah jadi pemain termahal dunia yang pernah dibeli. Majalah Esquire ada tanya perasannya masa bergelar pemain termahal dunia. Jawabnya,
“[Mengeluh] Selepas seminggu, saya lupa. Orang sekeliling yang ingatkan balik. Kerana diakhir nanti, apabila kita mati, paling mahal dan kurang mahal, mereka pergi ke kubur yang sama. Jadi, saya tak fikir tentangnya.”- Petikan dari Esquire.
Agama Islam diperkenalkan kepada Pogba oleh ibunya, Yeo Moriba. Dia mengakui yang ibunya banyak bagi pengaruh dalam hidup serta menggelarnya Supermum. Menurut Muslim Top 500, pengikut Insta dia je dah seramai 28 juta orang. Kalau buat apa benda pun boleh viral ni. Lepas jadi orang penting dengan menjaringkan gol pada perlawanan akhir Liga Europa, dia post kat Insta dengan mengatakan ‘dalam perjalanan untuk mengucapkan terima kasih untuk musim ni’. Ramai yang tertanya-tanya apalah maksud Pogba ni.
Beberapa hari lepas tu, keluar video dia depan Kaabah sebab buat ibadah umrah sewaktu Ramadhan nak mula dah. Maka, dapatlah liputan meluas yang membuktikan lagi Pogba ni Muslim. Disebabkan pengaruh yang besar, dia pernah ditemu ramah untuk bagi komen isu bom di Manchester yang dikaitkan dengan Islam.
“Perkara-perkara sedih terjadi dalam hidup tapi kami tak boleh berhenti untuk hidup. Kamu tak boleh bunuh manusia. Untuk membunuh manusia…ianya sesuatu yang gila, jadi, saya tak mahu libatkan agama dalam hal ini. Ini bukanlah Islam dan semua orang tahu. Bukan saya seorang sahaja yang cakap begitu.” – Petikan dari Esquire.
5) Yaya Toure: Kerananya, minuman bukan alkohol diperkenalkan dalam Liga Inggeris
Pasukan yang berada tangga teratas dalam saingan EPL sekarang adalah Manchester City. Dalam pasukan nilah ada pemain muslim dari Ivory Coast bernama Yaya Toure. Waktu remaja, dia mula dapat perhatian kelab-kelab bola Eropah hinggalah dibeli kelab gergasi Barcelona pada tahun 2007. Dia juga terlibat waktu Barcelona mencapai detik gemilang pada tahun 2009 dengan memenangi semua trofi dalam masa setahun. Di benuanya pulak, dah empat kali dia dapat anugerah African Footballer of The Year.
Pada tahun 2010, dia dibeli oleh pasukan Manchester City. Sepanjang kariernya kat situ, dia pernah dapat anugerah pemain terbaik (Man of The Match) untuk satu perlawanan ni. Adat dalam EPL, pemain terbaik akan diberi arak. Tapi, Yaya Toure dah menolaknya waktu diberi secara live depan media. Dia cakap…
“Saya tak minum sebab saya Muslim, jadi, kamu simpanlah”- Petikan dari Daily Mail.
Lepas insiden tu, EPL dah perkenalkan minuman non-alcoholic atau Waard untuk pemain muslim yang dapat anugerah pemain terbaik perlawanan. Waard ni adalah campuran air ros dan delima. Dia memang terkenal sebab konsisten menolak arak kerana komitmen agama. Bukan satakat tu je, dia juga adalah orang kuat yang terlibat dengan kempen PBB dalam membanteras pemburuan gajah. Dia juga dah dilantik sebagai Duta Muhibah PBB bagi Program Alam Sekitar pada tahun 2013.
“Saya menjadi Duta Muhibah PBB bagi menyebarkan mesej mengenai pemburuan – dan segala bentuk jenayah hidupan liar – ianya bukan sahaja pengkhianatan terhadap tanggungjawab untuk melindungi spesis terancam, tapi ancaman yang serius terhadap keselamatan…” – Yaya Toure, petikan dari UN.
6) Mesut Ozil: Turun kem pelarian untuk main bola bersama
Waktu Jerman jadi juara Piala Dunia 2014, Mesut Ozil adalah salah seorang pemain yang menyumbang. Dia warganegara Jerman yang berketurunan Turki dari datuknya yang pindah ke sini. Dia dah menjadi perhatian kelab gergasi Eropah hingga dibeli oleh Real Madrid serta bermain dengan Christiano Ronaldo. Sekarang ni dia dah jadi pemain di kelab Arsenal.
Waktu muncul kali pertama untuk Arsenal, siaran video dah fokus padanya yang tengah tadah tangan berdoa. Benda tu dah menjadi tanda tanya peminat. Dia menjawab dengan mengatakan yang itu cara dia berdoa dan rakan sepasukannya tahu yang diorang tak boleh kacau dia waktu tu. Tapi, ni bukanlah kali pertama dia buat benda tu, sebab sejak umur 17 tahun lagi di kelab Jerman dia sentiasa berdoa atas padang.
“Saya selalu baca Qur’an sebelum keluar bermain, ini sangat membantu saya untuk terus fokus”- Mesut Ozil, petikan dari Express.
Kalau Pogba kongsi video pergi Kaabah, Ozil juga ada kongsi gambar kepada 62 juta pengikutnya waktu pergi buat umrah. Itu pun ada ahli politik dari Alternative for Germany (AfD) mengutuk tindakan Ozil tu sebab ianya berbaur agenda politik. AfD ni adalah satu parti di Jerman yang terkenal dengan sikap nasionalis dan anti-imigran. Walaupun Ozil ni asal-usulnya imigran, pada tahun 2009, dia dah dianugerahkan Bimba Award sebagai contoh terbaik bagi orang luar yang boleh biasakan diri dengan masyarakat Jerman.
Antara sumbangan Ozil yang diingati adalah selepas pasukan Jerman jadi juara Piala Dunia 2014. Dia dah mendermakan hadiah yang dia dapat berjumlah 350,000 pound kepada 23 kanak-kanak Brazil yang terlibat dengan pembedahan. Selain tu, dia pernah turun ke kem Pelarian Syria di Jordan untuk bermain dengan kanak-kanak disana bagi tujuan amal.
7) Sonny Williams: Orang Islam pertama main untuk pasukan All Black
Kalau ragbi, pasukan New Zealand atau All Black sangatlah terkenal dengan tarian Haka diorang sebelum perlawanan. Sedar tak sedar, dalam pasukan tu ada Sonny Williams yang merupakan orang Islam pertama main untuk pasukan hebat tu. Dia ni asalnya Kristian, tapi masuk Islam pada tahun 2008. Waktu bulan puasa, dia tetap teruskan ibadah tu walaupun dalam latihan sebab dia dah susun jadual cantik bersama staf latihan.
Dilaporkan yang dia sentiasa minta makanan halal sepanjang pasukan All Black terlibat dalam perlawanan jelajah dunia. Di dalam padang, dia juga sangat diingati sebab suka sangat menderma. Waktu All Black jadi juara Piala Dunia 2015, ada seorang budak kecil ni rempuh masuk padang sebab nak celebrate juga. Mula-mula sekuriti nak tahan, tapi Sonny sendiri bawa budak tu kembali ke tempat duduk sambil bagi pingat emasnya tu pada budak tadi.
Nampak macam sayang pulak penat main bagi pada orang. Waktu Majlis Anugerah Ragbi Dunia, Sonny dah diberi pingat emas lain bagi menggantikan pingat yang dia bagi pada budak tu. Pada majlis tu dia dapat tepukan yang sangat gemuruh. Tapi dia ni memang suka bagi barang sebab ada sekali tu dia bagi baju, stokin dan lain-lain pada penyokong lepas dia habis main.
Orang Islam menjadi contoh dalam apa jua bidang sekali pun
Memang tak dapat dinafikan bahawa orang Islam yang berpangaruh sebenarnya ada di banyak lapangan dan bukan sahaja berkaitan akademik. Diorang yang tunjukkan pengaruh Islam di dunia seni dan sukan jugak ada ujiannya tersendiri yang kita tak mampu hadapi. Ini jugak membuktikan yang orang Islam boleh tunjuk contoh walau dalam apa jua keadaan.
Para ilmuwan Islam dulu pun dah buktikan, orang Islam boleh menjadi pelopor dalam segenap bidang yang bukan setakat berkaitan hukum hakam agama sahaja. Inilah sikap orang Islam yang patut diteruskan apabila memahami bahawa Islam itu agama yang syumul (menyeluruh) dan seimbang dalam banyak perkara. Bak kata Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi,
“Jikalaulah riadah itu santapan jasmani, ibadah menjadi santapan rohani, ilmu menjadi santapan akal, maka seni pula menjadi santapan perasaan.”- Yusuf Qaradhawi, petikan dari buku Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan.
- 726Share sekarang!
- Email5
- Facebook721
- Share