6 gambar pelik sepanjang pertemuan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya

*Artikel asal disiarkan pada 24 Feb 2020.*

Tahukah korang hari ini ialah Langkah Sheraton berlaku dan ia sudah genap dua tahun.

___

Suhu politik negara ketika ini memang berada di tahap yang begitu panas???. Bayangkan betapa lajunya kerajaan yang diundi rakyat pada PRU-14 lalu dah pun terbubar. Ini semua setelah berlakunya peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai PM ke-7.

Tapi, mungkin ramai terlepas pandang. Suhu ini sebenarnya dah mula mendidih ketika tersebarnya berita mengenai pertemuan antara pemimpin politik tertentu di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. Dan pertemuan ini memang banyak menjadi tanda-tanya lagi-lagi dengan gambar-gambar yang tersebar.

Jadi, kami senaraikan gambar-gambar yang sangat menjadi persoalan sepanjang pertemuan kontroversi pemimpin politik di Hotel Sheraton hari tu.

1. Faizal Azumu salam dan tunduk jumpa Ku Nan

“Alang-alang cium tangan, biar sampai ke pangkal lengan”. Imej yang tersebar di FB

Ku Nan tiba di Sheraton dan mampu berjalan dengan baik walaupun pernah mengalami kecederaan di lutut di kaki kanannya, yang membolehkannya menerima MC selama enam hari semasa hari perbicaraannya bulan lepas. Dia juga dirai ramai pihak politik dengan sambutan salam dan cium tangan, termasuklah Menteri Besar Perak, Faizal Azumu.

Gambar ni menjadi sangat pelik dan tanda tanya. Bayangkan, Faizal Azumu yang menjadi Menteri Besar Perak atas sokongan parti komponen PH, bersalam sambil tunduk apabila bertemu Ku Nan yang merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO di Hotel Sheraton baru-baru ni.

Tapi, rasanya tak perlu terkejut. Ini kerana Faizal Azumu sendiri dulu adalah orang kuat UMNO dan BN. Dia merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat  dari tahun 2016 hingga 2017. Dalam kariernya, dia pernah menjadi Pegawai Khas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (2011-2013) dan juga merupakan Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (2013-2016).

Kemudiannya, kemuncak karier politiknya seperti yang kita tahu menjadi Menteri Besar Perak. Ketika menjadi MB Perak, ada satu video yang mirip Faizal Azumu mengatakan yang dia berseorangan melawan puak-puak DAP di Perak. Itu sudah menjadi kontroversi dan jawapan kepada kemunculannya di Hotel Sheraton.

2. Maria Chin Abdullah dikatakan turut hadir sokong kerajaan ‘pintu belakang’?

“SATOOOOO…” Imej dari Ktemoc

Siapa yang tak kenal dengan Maria Chin Abdullah. Antara orang besar dalam menjayakan perhimpunan BERSIH sewaktu pemerintahan BN dahulu. Dia juga merupakan bekas Pengerusi BERSIH 2.0 dari 2013 hingga 2018. Sewaktu PRU-14, dia telah bertanding di bawah Pakatan Harapan dan memenangi kerusi parlimen Petaling Jaya.

Namun, nampaknya keberadaannya di Hotel Sheraton begitu menjadi tanda tanya sama sekali. Dia orang penting yang menyeru kepada pilihan raya yang bersih dan adil tapi datang ke majlis yang ingin membentuk kerajaan yang dikatakan melalui ‘pintu belakang’?

“Sebagai menjawab pertanyaan ramai, keberadaan saya di Sheraton semalam adalah untuk mengemukakan ketidaksetujuan saya terhadap kerajaan pintu belakang kepada kumpulan yang berada di hotel.

Selepas itu, saya terus meninggalkan hotel tersebut.” – Petikan dari FB Maria Chin Abdullah

Sebenarnya, kita boleh buat agakan siapa Maria Chin sokong dalam blok PKR.???

Ini ditunjukkan ketika dia antara 28 MPP dan ahli parlimen PKR yang menegur Anwar Ibrahim ketika isu video lucah yang dikaitkan dengan Azmin Ali yang sedang menjadi isu hangat ketika tu.

3. Azmin saling berpeluk erat dengan pemimpin UMNO dan PAS

“Min, ni bukan program MLM kan” Imej dari Twitter.

Dalam majlis makan malam di Hotel Sheraton juga, ada terakam satu video memaparkan Azmin Ali berpelukan dengan beberapa pemimpin UMNO dan PAS. Antara yang dipeluk Azmin tu termasuklah Hishamuddin Hussein (UMNO).

Semasa pelukan di antara Azmin dan Hishamuddin, ada sesuatu yang diperkatakan oleh Hishamuddin kepada Azmin, tapi tak berapa jelas untuk didengar. Apa yang pasti, sebelum ni memang dah ada cakap-cakap yang Azmin – Hishamuddin cuba untuk buat kerajaan pintu belakang. Bagaimanapun hal tu dinafikan oleh Azmin dan Hishamuddin.

Bersama Hishamuddin adalah Takiyuddin Hassan (PAS), dan Shahidan Kassim (UMNO), yang nampaknya sihat walafiat, tidak lagi menggunakan kerusi roda seperti pada 2018, dan nampaknya… bebas dari ‘penyakit yang menyebabkan badannya kebas dan perlu dimasukkan air’ seperti yang terjadi kepadanya semasa sebutan semula kes cabulnya terhadap budak bawah umur, awal bulan lepas.

 

Bercakap pasal Azmin dan Hishamuddin balik, rapatnya dua sosok ni memang dah dilaporkan sebelum ni, bila tersebarnya – gambar keluarga Azmin dan keluarga Hishamuddin yang sedang bercuti bersama-sama di Maghribi pada Disember 2018. Malah, Hishamuddin juga didakwa menjadi dalang pertemuan beberapa anggota Parlimen di rumah Azmin. Hal tu kemudiannya dinafikan oleh Hishamuddin.

Gambar keluarga dimuat naik di laman Twitter milik anak sulung Azmin, Ameer Azmin, di sebuah resort percutian di Marrakesh, Maghribi. Imej dari BH Online.

Berkenaan hubungan antara Azmin dan PAS pula, memang ramai yang dah sedia maklum bahawa parti Islam tu ada hubungan baik dengan Azmin. Antara puncanya adalah masa menjadi MB Selangor dulu, Azmin tetap mengekalkan jawatan exco yang dipegang oleh PAS walaupun diperingkat pusat – PAS dah pun tamatkan kerajasama dengan PKR dan DAP (dari Pakatan Rakyat). Mungkin tindakan PAS kali ni juga sebagai tanda membalas jasa Azmin.

4. Kelibat Hishamuddin Rais dan Chegubard yang menimbulkan spekulasi

Belakang Hishamuddin tu, Khalid Jaafar – bekas pegawai Anwar. Imej dari Malaysiakini.

Sebelum ni, SOSCILI ada terbitkan satu artikel berkenaan dengan rakan-rakan seperjuangan Anwar yang dah berpaling tadah ke kem Azmin. Antaranya individu yang termasuk dalam senarai tu adalah aktivis politik, Hishamuddin Rais. Masa dia sokong Pakatan Harapan dulu, memang ramai yang mempersoalkan pendirian Hisham sebab dia terkenal sebagai penentang kuat Dr. Mahathir.

Kali ni, sekali lagi orang mempertikaikan Hisham sebab gambarnya ada di Hotel Sheraton masa mensyuarat geng Azmin. Sebagai seorang aktivis politik yang selama ni memperjuangkan keadilan dan kejujuran pentadbiran, kali ni sikap Hisham mula menjadi tanda tanya. Terutamanya dalam isu adakah dia bersetuju dengan langkah kerajaan pintu belakang ni?

Seorang lagi yang menimbulkan tanda tanya adalah Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard. Sebabnya, dia pernah dipecat dari PKR pada 2016 kerana dituduh mencemarkan imej parti dan memecahbelahkan ahli parti. Lepas tu, Chegubard jadi antara pengkritik tegar PKR, terutamanya Azmin.

Antaranya adalah dia melancarkan kempen siri risalah kompilasi jenayah kartel MB Selangor, Azmin Ali dengan menerbitkan lebih sembilan risalah berkaitan bukti, dokumen dan salah laku Azmin. Isu-isu yang dibangkitkan termasuklah – air Selangor, perlombongan pasir, tanah Ijok, Paya Indah dan senarai kekayaan Azmin.

Tapi tiba-tiba, pada malam 23 Feb – ada pula kelibat Chegubard di Hotel Sheraton. Siap bergambar dengan Azmin lagi.

Tersenyum dia di samping Azmin. Imej dari Malaysiakini.

Sekali lagi ia menimbulkan persoalan, kenapa Chegubard ada di hotel tersebut malam tu. Adakah dia cuma datang saja-saja nak tengok atau sekarang dah jadi penyokong Azmin?

5. Zuraida dilihat berbincang resipi dengan Azalina

Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa turut memuat naik gambar-gambarnya bersama ahli politik yang lain. Tapi, salah satu gambarnya yang menarik perhatian kami adalah gambar perbualan antara Azalina Othman dari UMNO bersama Zuraida Kamaruddin dari PKR (sebelum dipecat keluar parti hari ni).

“Pukul telur tu clockwise, lepas tu jangan kuat sangat, nanti sakit dia”

Tak pasti pula kalau Zuraida pernah rapat dengan Azalina Othman sebelum ni, tapi selepas menang PRU-14 pada 2018, Zuraida menamakan Azalina sebagai salah seorang pemimpin wanita UMNO yang berpotensi untuk bertanding dalam jawatan tertinggi UMNO selain Shahrizat Abdul Jalil, Noraini Ahmad dan Halimah Mohamed.

Kalau korang ingat mesyuarat mengejut Azmin Ali bersama MP Barisan Nasional di kediamannya di Presint 10 pada November lepas, Azalina Othman dan Zuraida Kamaruddin adalah antara nama-nama yang disebutkan hadir.

Zuraida, di perkarangan rumah Azmin November lepas. Imej dari Harian Metro

6. KJ datang walaupun terkenal sebagai seorang yang berprinsip

“Sila duduk dan jangan lari”

Korang ingat tak ayat ni, masa tu Agong kita yang sebelum ni (Sultan Kelantan) bergurau dalam parlimen disebabkan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) keluar dewan bersama ahli parlimen PAS sebagai tanda protes terhadap proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Tapi dalam ramai-ramai MP Barisan Nasional yang keluar dewan tu, ada dua ahli parlimen yang duduk kat tempat dia, tak ikut pun geng-geng dia yang lain tinggalkan dewan, iaitu Datuk Seri Anifah Aman dan Khairy Jamaluddin.

Dari situlah orang nampak Khairy Jamaluddin ni sebagai seorang yang berprinsip, dan hanya akan bertindak dalam isu yang boleh manfaat pada rakyat dan negara. Antaranya adalah masa UMNO mula-mula nak bergabung dengan PAS, Khairy adalah antara yang membangkang apabila dua parti politik ni nak bergabung secara rasmi.

Dan apabila ditanya tentang ‘kerajaan pintu belakang’ yang mungkin wujud sebulan selepas PRU-14, Khairy menjawab,

“Saya tidak mahu menjadi Presiden menggunakan jalan pintas, runding dengan kerajaan guna pintu belakang, ini semua tidak perlu. Kita tidak perlu minta nyawa daripada mereka (Pakatan Harapan).

“Selain keterbukaan, UMNO perlu ada persediaan dan sebab itu sekiranya saya terpilih sebagai Presiden UMNO, perkara pertama yang akan saya lakukan ialah menubuhkan Kabinet bayangan sebagai persediaan,” Khairy Jamaluddin, dipetik dari Harian Metro.

Dan nampaknya beberapa hari yang lalu, Khairy Jamaluddin mengejutkan ramai pihak apabila dia tiba di Hotel Sheraton semalam…

“Dengar cerita ada makanan free malam ni?”

Setakat ni, takde hasil kukuh dari pertemuan di Hotel Sheraton

Setakat artikel ni ditulis, Tun Mahathir sudah pun meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri ke-7. Begitu juga, jawatannya di dalam Parti Bersatu. Manakala part-parti seperti DAP, Amanah, Bersatu, malah Presiden PKR, Anwar Ibrahim sendiri sebulat suara meminta supaya Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri.

Jadinya, kita tunggu dan lihat saja perkembangan politik kita pada masa ni. Bak kata orang, politik Malaysia ni selalu ‘tegang’, tak pernah lembik, menjadikan politik kita menarik untuk diikuti.

Apa yang pasti, belanja untuk makan malam ni dah semestinya mahal, sebab dari apa yang kitorang dapat – harga untuk seorang di majlis makan malam di hotel berkenaan sekitar dari RM185 ke RM205. Jadinya, untuk 131 Ahli Parlimen yang hadir dengan sekurang-kurangnya membawa dua orang pembantu – penganjur berkemungkinan membayar sekitar – RM72,705 ke RM80,565 (tak termasuk cukai perkhidmatan 6%)

Tapi persoalan paling penting sekali sekarang, dan mungkin menjadi jawapan kepada segala kemelut yang melanda selama dua hari berturut-turut ni, Bil makan semalam sape settle eh?