Seni & Budaya

4 penggiat seni & artis yang berpendidikan seni tanpa beli Master dan PhD!

Kisah Najwa Latif menerima Ijazah Sarjana (Masters) dah pun mendapat pujian daripada ramai netizen. Ini membuktikan, ada juga dalam kalangan artis yang mengutamakan akademik mereka.

Sebelum ni, dunia seni dan artis dipenuhi dengan berita mengenai mereka yang membeli Master dan PhD palsu serta tidak diiktiraf oleh Malaysia. Contohnya seperti Dato’ Boy Iman dan Fadzley Yaakob.  Namun, tak semua dalam kalangan artis dan penggiat seni yang memilih jalan begitu. Kali ni, kami SOSCILI akan senaraikan artis yang ada kelulusan Master hingga PhD serta siap jadi pensyarah lagi.

1) Separuh wang hadiah Sasterawan Negara digunakan untuk sambung belajar

Familiar tak muka ni dalam Sarjan Hassan? Imej dari Youtube Classic Malay Film

Pada 1 Mac 2017, Malaysia dikejutkan dengan kematian seniman legenda, Datuk Jins Shamsuddin pada usia 81 tahun. Beliau sentiasa dikenang dengan jasanya sama dalam dunia perfileman dan politik negara.

Semuanya bermula apabilia beliau menjalani uji bakat yang diadakan oleh Tan Sri P. Ramlee untuk menjadi pelakon tambahan. Sedikit demi sedikit, atas tunjuk ajar P. Ramlee sendiri, beliau terlibat dengan lebih kurang 40 filem hitam putih. Popularitinya dalam dunia lakonan semakin mendapat perhatian apabila melakonkan watak utama dalam filem Pancha Dilema arahan P. Ramlee.

Kemudian, pengaruhnya semakin besar apabila menjadi pelakon dan pengarah filem Bukan Salah Ibu Mengandong dan Di Belakang Tabir. Di dalam kedua-dua filem tu, P. Ramlee dijemput menjadi pelakon tambahan. Sekali pun begitu, beliau tidak meninggalkan pembelajaran secara formal apabila melanjutkan pelajaran pada tahun 1972. Bidang yang diambil adalah perfileman di London Film School serta menerima Diploma in Motion Picture Technology dengan Kepujian Kelas Pertama.

Beberapa tahun kemudian pada tahun 1981, beliau dah mengarahkan satu filem sejarah penting yang dikaji oleh ramai pihak. Filem tersebut ialah Bukit Kepong dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Filem yang menelan belanja RM1.3 juta itu berjaya memecah panggung dengan pulangan RM1.7 juta.

Pengarah dan berlakon sekali dalam filem bersejarah. Imej dari mStar

Begitulah hebatnya impak yang diberikan Jins Shamsudin dalam dunian perfileman. Jasa beliau ni tidak hanya hanya diiktiraf secara dunia senia, malah dunia akademik apabila menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan dari USM pada tahun 1999. Beliau juga tidak pernah bosan mempelajari ilmu secara formal, apabila berjaya menyelesaikan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2010 di UUM ketika berusia 75 tahun.

“Bagi membiayai pengajian saya, saya membelanjakan wang sendiri sebanyak lebih RM30,000. Ketika diiktiraf sebagai Seniman Negara, saya menerima wang sebanyak RM60,000, jadi saya gunakan sebahagian daripada wang hadiah itu untuk membiayai pengajian saya ini.”- Jins Shamsudin

2) Pecah rekod Malaysia, artis terbanyak pencapaian akademik

Mungkin ada yang kenal dan mungkin ada yang tak kenal Dr. Soo Wincci ni. Dia adalah pelakon, penyanyi, chef selebriti, model dan pengacara. Nama Soo Wincci mula dikenali apabila menjadi juara Miss World Malaysia 2008 serta mewakili Malaysia di Miss World untuk peringkat antarabangsa.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Selain menempa nama dalam dunia permodelan, dia juga menceburi dunia lakonan dalam beberapa rancangan tv termasuk Mr. Siao’s Mandarin Class di NTV7. Dia juga tak terlepas daripada berlakon dalam filem berbahasa Melayu seperti Suatu Malam Kubur Berasap 2 (2014), Sindiket (2017) dan Kau Yang Satu (2017).

Bukan setakat tu je, dia juga terlibat dalam dunia nyanyian untuk beberapa bahasa termasuk Mandarin, Melayu, Inggeris dan Sepanyol. Fuh! Antara lagu Melayu yang dipopularkan olehnya adalah Terus Teranglah yang dinyanyikan bersama rapper terkenal negara iatu Joe Flizzow. Dalam pada itu, sempat juga dia menjadi salah seorang peserta Masterchef Malaysia dan Masterchef All Stars Malaysia.

Imej dari OhBulan

Apa yang menarik, dalam kesibukan ini rupa-rupanya dia adalah pemegang anugerah Malaysia Book of Record sebagai Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak. Semua dilakukan dalam tempoh 15 tahun. Tapi bukan beli ye! Seperti senarai kat bawah ni:

  1. Graduan Ijazah Sarjana Undang-undang dari University of Reading, UK (2007)
  2. Graduan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari University of Sunshine Coast (2008)
  3. Penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Perniagaan dari Open University Malaysia (2016)
  4. Graduan Sarjana Muzik dari Berklee College of Music (2018)

Untuk tahun 2019, dia baru sahaja memulakan ijazah kedua ditempat yang sama iaitu dalam Ijazah pasca Sarjana Fellowship.

3) Graduan Universiti Sains Malaysia yang memeluk Islam

Kalau korang dulu peminat tegar rancangan TV macam Majalah 3 dan Explorace, mesti pernah tengok muka Daphne Iking ni sebagai hos. Dia yang berasal dari Sabah ni merupakan bekas wartawan TV3 suatu masa dulu.

Kalau kat NTV7, korang akan nampak dia pagi-pagi sebagai hos rancangan The Breakfast Show. Kariernya dalam dunia lakonan turut menjadi perhatian apabila berlakon dalam beberapa filem serta menjadi pelakon utama. Antara filem yang dibintanginya adalah Gerhana (2009), Belukar (2010), Relationship Status (2012) dan Sindiket (2017).

Selepas berlaku naik turun dalam hubungan perkahwinannya sehingga bercerai, pada tahun 2011, dia dah pun memeluk Islam dengan nama barunya Dahlia Eleanor Iking. Orang yang bertanggungjawab mengajar Islam kepadanya adalah seorang usahawan Melayu, Azmi Abdul Rahman yang kemudiannya menjadi suaminya.

Daphne dan keluarganya. Imej dari mypositiveparenting

Sekalipun ada karier yang sangat mencabar, dia rupanya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam Penyiaran (2001) dan Ijazah Sarjana dalam Komunikasi (2004) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

4) Pensyarah dan pengajar untuk tiga institusi pendidikan

Imej dari Xtra

Pada tahun 2018, Mentor Musim ke-7 menerima sambutan luar biasa apabila seramai 500 orang hadir uji bakat untuk menjadi protege kepada Datuk Syafinaz Selamat. Berebut anak muda nak berguru dengan Datuk ni. Mana taknya, siapa tak kenal kehebatan penyanyi bersuara soprano ni.

Hinggakan sumbangannya selama 30 tahun dalam bidang seni, persembahan, muzik dan pendidikan dah melayakkannya menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.)  dari DYMM Yang Di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Datuk. Anugerah ini diterima bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2018.

Datuk Syafinaz memang biasa kita nampak menjadi juri dalam banyak rancangan realiti popular macam Akademi Fantasia, Mentor dan One In A Million. Selain menjadi penyanyi dan juri, mungkin ramai tak tahu yang dia adalah golongan pendidik yang sangat berpengalaman. Dia setakat ni memegang tanggungjawab sebagai pensyarah vokal Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan di UiTM, pensyarah di ASWARA dan Vokal Master bagi Koir Kebangsaan Malaysia.

Antara penghormatan tertinggi yang pernah diberikan kepadanya adalah membuat persembahan untuk Barrack Obama sewaktu bekas Presiden Amerika Syarikat tu membuat lawatan rasmi ke Malaysia beberapa tahun lepas.

Dengan semua kehebatannya ini, dia bukanlah muncul begitu sahaja tanpa sebarang taraf akademik. Dia pada asalnya adalah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Muzik dari UiTM. Pendidikan dan bakatnya telah berjaya membawanya ke tahap seperti sekarang ni.

Industri seni dan hiburan semakin hebat, dengan artis yang berpendidikan

Sebenarnya, ada ramai lagi artis yang ada pencapaian akademik luar biasa yang tak dapat kami senaraikan lagi kat sini. Gandingan bakat seni dan pencapaian akademik adalah sesuatu perkara yang sangat positif untuk industri hiburan negara. Sebagai contoh, bintang terkenal atau idol dari Korea, ramai juga yang mempunyai latar belakang akademik dari universiti.

Imej dari Youtube Smile withV

Di negara US yang kita pun tahu industri hiburannya sangat maju, memang terbukti bintang-bintang Hollywood di sana ramai juga yang mempunyai Ijazah (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Tak boleh dinafikan, setiap penggiat seni ada jalannya sendiri untuk sampai ke puncak kariernnya. Tapi, apa salahnya satu hari nanti kita ada ramai penggiat seni yang datangnya dari institut pengajian tinggi negara? Ia sama seperti Universiti Harvard, Universiti Yale, Universiti Stanford dan Universiti Cambridge yang melahirkan ramai bakat sehingga menjadi bintang dan juara Oscar!

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend