- 132Share sekarang!
- Email3
- Facebook129
- Share
Peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar Ibrahim dalam masa dua tahun adalah sebahagian daripada konsesus parti-parti pemerintah ketika ni. Tun Mahathir juga mengingatkan semula perkara ni di Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN Bloomberg ke-5 di Bangkok bahawa dia berepegang teguh dengan janji untuk peralihan kuasa, namun, perlu memperbaiki negara dahulu. Dia juga mengakui bahawa dia adalah PM sementara.
Secara lebih terperinci, dia akan meletakkan jawatan dalam masa 3 tahun dan menyerahkannya kepada Anwar Ibrahim. Ia mengatakan kerajaan memerlukan 3 tahun untuk mengurangkan hutang negara (GDP) dari 80% kepada 54%. Namun, Tun M dah nafikan yang dia sebut 3 tahun.
Dalam politik dunia, hal berkaitan peralihan kuasa melibatkan Presiden atau PM Sementara (interim) memang pernah jadi. Tapi, apa yang berlaku sangat mengejutkan. Ini antara kisah-kisahnya. Kita mulakan dengan…
1) Ernest Shonekan: Baru nak betulkan negara, dah kena rampas balik
Pada Jun 1993 dah berlangsung Pemilihan Presiden Nigeria yang dimenangi oleh Moshood Abiola dengan undian popular. Dia adalah seorang ahli perniagaan Muslim dan juga dermawan. Maka, ini adalah peluang terbaik untuk Nigeria diperintah oleh seseorang yang bukan dari kalangan tentera seperti sebelum ni.
Namun begitu, sebaliknya pula berlaku. Presiden sebelum ni iaitu Jeneral Ibrahim Babaginda (seorang tentera) telah membatalkan keputusan pemilihan kerana mendakwa dah berlaku penipuan. Baginya, langkah ni diambil untuk menjaga badan kehakiman daripada dihina serta dipolitikkan sama ada di peringkat lokal atau antarabangsa. Ia bertentangan dengan pendapat pemerhati luar yang melaporkan bahawa pemilihan dibuat dengan bebas dan adil tak macam Jeneral Babaginda cakap tu.
Apa lagi, Moshood Abiola dan rakyat pun turun melakukan protes hinggalah dia dipenjarakan. Jeneral Babaginda sebenarnya sebelum ni dah berjanji nak lakukakn peralihan kuasa dari tentera kepada masyarakat awam. Tindakan jeneral dah menyebabkan berlaku krisis politik yang dahsyat hingga dia rasa tertekan. Untuk menyelamatkan keadaan, Jeneral Babaginda dah melantik Presiden Sementara dari kalangan bukan tentera iaitu Ernest Shonekan. Dia ni seorang peguam dan ahli perniagaan yang ada kabel besar serta neutral dalam politik.
Maka, Jeneral Babaginda pun suka dia serta dah lantik dia dari dulu lagi sebagai ketua majlis kerajaan di bawahnya. Akhirnya, 26 Ogos 1993, Jeneral Babaginda serahkan tampuk pemerintahan kepada Ernest Shonekan sebagai Presiden Sementara untuk mengembalikan demokrasi. Dia dah menyusun beberapa strategi dan tindakan untuk menyusun negara dan menambat hati rakyat. Antaranya:
1) Melantik Moshood Abiola (yang dibatalkan kemenangan) menjadi Timbalan Presidennya dan Jeneral Sani Abacha sebagai Setiausaha pertahanan
2) Askar pengaman Nigeria ditarik balik dari Liberia
3) Melakukan audit ke atas Syarikat minyak terbesar Nigeria (Nigerian National Petroleum Corporation) serta membongkar penyelewengan
4) Membebaskan tahanan politik, kebebasan media dan menghapuskan undang-undang yang membenarkan penangkapan dan merampas harta seseorang sewenang-wenangnya
Namun, kerajaan bawah Presiden Sementara ni berdepan dengan tindak balas dari pelbagai gerakan rakyat termasuk aktivis dan pekerja. Kemudiannya, Mahkamah Tinggi Lagos dah membatalkan lantikan Ernest sebagai Presiden serta mengarahkan Moshood Abiola, timbalan Presidennya untuk mengangkat sumpah sebagai Presiden yang diundi rakyat.
Tapi semua tu tak jadi. Baru 3 bulan Ernest memerintah, akhirnya dia dipaksa melepaskan jawatan apabila Jeneral Sani Abacha mengambil alih tampuk pemerintahan. Maka, Nigeria kembali kepada tentera.
2) Abdelkader Bensalah: Dari “Presiden Dalam Menunggu” menjadi “Presiden Sementara”
Perisitiwa seterusnya ni pula berlaku di negara yang nama macam sipi-sipi dengan Nigeria, iaitu Algeria. Kalau korang nak tahu, Algeria pernah diperintah selama 20 tahun oleh Abdelaziz Bouteflika yang kini berusia 82 tahun. Lama tak lama sampai tahap si Bouteflika ni dah kena strok 6 tahun tapi tetap nak jadi Presiden negara. Dia siap umum nak sambung untuk penggal ke-5. Maka, rakyat bengang dan mulakan protes supaya presiden baru dipilih dan nakkan pemilihan yang bebas dan adil.
Protes dan bantahan rakyat yang bermula sejak Februari 2019 dah memberi tekanan kepada Bouteflika untuk melepaskan jawatannya pada 2 April 2019. Jawatan penyandang Presiden akan ditentukan sendiri oleh penggubal undang-undang Algeria. Akhirnya, Pengerusi Dewan Tertinggi, Abdelkader Bensalah sebagai Presiden Sementara.
Bensalah ni sejak tahun 2002 memang selalu mewakili Bouteflika dalam banyak lawatan dan acara. Namun, rakyat Algeria meneruskan protes dan tak bersetuju dengan lantikan Bensalah. Bagi mereka Bensalah ni orang rapat Bouteflika dan dalam linkungan golongan politik yang mendominasi negara sejak berdekad lalu. Rakyat yang mebantah punya geram sampai ada chanting khas iaitu “Bensalah go away”.
Kalau nak diikutkan perjalanan politik Bensalah. Dia ni berada dalam landasan untuk menggantikan Bouteflika sebagai Presiden seterusnya. Dia dah diberi kepercayaan oleh Bouteflika untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Dewan Tertinggi selama tiga penggal dan dia adalah “Presiden Dalam Menunggu”. Sejak Bouteflika strok, memang banyak dia jadi wakil Presiden dan yang terbaru pada bulan Mac 2019 di Persidangan Liga Arab di Tunisia.
Nampaknya, peluang Bensalah nak jadi Presiden tak kesampaian. Sekarang ni memang paling berkuasa sebab jadi “Presiden Sementara”. Tapi, tugasnya ketika ni hanya tiga bulan sahaja untuk menyusun semula gerak kerja bagi mengadakan pemilihan Presiden yang bebas dan adil seperti yang dituntut rakyat.
Seperti dijanjikan, dia dah mengumumkan bahawa pemilihan Presiden baru bagi rakyat Algeria akan diadakan pada 4 Julai 2019. Namun, menurut perlembagaan, Bensalah selaku Presiden sementara tak boleh bertanding dalam pemilihan yang akan berlangsung tak lama lagi. Maka, melepaslah peluang Bensalah yang dalam landasan nak jadi Presiden sebelum ni.
3) Michel Kafando: Dilantik tentera, diguling junta dan dilantik semula
Negara nun jauh dan jarang kita dengar di Burkina Faso telah berlaku peralihan kuasa “Presiden Sementara” yang agak memeningkan. Semuanya bermula apabila Presiden Burkino Faso, Blaise Campaore yang dah memerintah selama 27 tahun mahu memanjangkan lagi tahun pemerintahannya. Caranya dengan pinda perlembagaan, tapi rakyat panas hati dan berlaku protes jalanan besar-besaran.
Akhirnya, dia meletakkan jawatan dan tampuk pemerintahan untuk peralihan kuasa dipangku oleh ketua tentera iaitu Jeneral Honore Traore. Namun, rakyat terus memprotes sebab jeneral ni orang kanan Presiden dulu kan. Tapi rupanya, pihak tentera pun terpecah dua. Seorang lagi yang mendapat sokongan tentera adalah Liutenant Colonel Isaac Zida untuk menjadi pemerintah dalam proses peralihan kuasa. Pada November 2014, pihak tentera secara rasminya memilih Isaac Zida sebagai ketua negara.
Namun, tekanan di peringkat antarabangsa temasuk Kesatuan Afrika dah menyebabkan Isaac Zida menyerahkan kuasa kepada rakyat awam. Ia melalui lantikan Presiden Sementara, Michel Kafando yang akan memerintah dari November 2014 sampailah pilihan raya pada tahun 2015. Dalam pembentukan kabinet kerajaan sementara, Kafando dah melantik Isaac Zida sebagai PM Sementara dengan portfolio pertahanan.
Namun dah berlaku sedikit konflik yang menyebabkan Zida dipecat dari portfolio pertahanan dan Kafando sebagai presiden sendiri memegang portfolio tu. Pada 16 September 2015, ahli tentera junta baru atau Regiment Of Presidential Security (RPS) dah melakukan rampasan kuasa serta menahan Kafando dan Zida. Namun, rampasan ni mendapat bantahan pemimpinan serantau, ketua tentera Burkina Faso dan tentera biasa. Mereka mahu kerajaan sementara dikembalikan semula.
Kemudian, Michel Kafando kembali menjadi Presiden Sementara dan Zida menjadi PM Sementara hanya dalam beberapa minggu. Selepas tu, seperti dijanjikan, pilihan raya Burkina Faso telah diumumkan oleh Michel Kafando pada Oktober 2015. Pemilihan tu dah berjalan serta dimenangi oleh Roch Marc Christian Kabore. Tamat sudah cerita Kafando yang penuh onak berduri tadi.
Peralihan kuasa perlu berjalan dengan lancar, utamakan isu rakyat
Dari contoh ketiga-tiga di atas, nampak memeningkan kepala peralihan kuasa yang melibatkan Presiden atau PM Sementara. Namun, kita tak boleh pukul rata semuanya tak ok. Kalau di Malaysia, Tun Mahathir akan serahkan kepada Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan.
Namun, kami berharap dalam keghairahan untuk melihat peralihan kuasa ni, utamakanlah isu-isu rakyat yang lebih kritikal. Kadang-kala peralihan kuasa menyebabkan perebutan yang tidak beretika seperti yang berlaku di Nigeria, Algeria dan Burkina Faso. Hingga sekarang terbukti ekonomi ketiga-tiga negara ini masih teruk dan rakyat juga yang menerima nasib malang.
- 132Share sekarang!
- Email3
- Facebook129
- Share