10 URL .MY kreatif yang masih belum dirembat orang

Bila nak mulakan bisnes sendiri ataupun jadi freelancer, antara benda pertama yang ramai orang buat ialah:

Baru lah official! Imej dari Imgflip.

Bila kita nak buat laman web tu, kena lah fikir pasal URL kan? Dan kebiasaannya, ramai yang akan gunakan nama sendiri atau nama bisnes sebagai URL. Tapi bukankah lebih baik kalau kita pilih URL yang mudah diingat dan senang orang nak taip? Contohnya, kalau nama korang Helmy, boleh la pilih www.helmy.com.

Hmmm… tapi bukan lagi menarik ke kalau kita guna www.hel.my?

Kalau korang tak tahu lagi, .MY ialah akhiran laman web negara kita (omputih panggil country code top level domain (ccTLD)). Kita sebenarnya agak bertuah sebab dapat domain yang menarik dalam bentuk .MY, sebab ia membolehkan kita untuk cipta URL yang kreatif dan mudah diingat.

Jadi untuk artikel ni, kami bekerjasama dengan MYNIC Berhad, iaitu pentadbir tunggal bagi domain .MY untuk memberi korang inspirasi tentang nama-nama laman web yang kreatif!

 

Korang boleh guna soto.my kalau nak buka bisnes soto mi — dan banyak lagi!

Walaupun MYNIC ni menguruskan 9 kategori domain, sesetengahnya dikhaskan untuk kegunaan khusus seperti kerajaan (.gov.my), pendidikan (.edu.my) dan tentera (.mil.my). Tapi untuk .MY pula, kegunaannya terbuka untuk semua orang.

Kitorang ada semak beberapa kombinasi URL kreatif di laman web MYNIC. Banyak yang dah dirembat oleh orang lain, tapi semua URL berikut masih boleh digunakan:

1. ekono.my, sosioekono.my, geoekono.my

Bagi korang yang nak buat laman web tentang bidang ekonomi ke, boleh la guna ketiga-tiga laman web ni.

2. memaha.my

Mungkin korang nak buka laman web untuk bantu orang susah? Boleh la “memaha.my” suara rakyat.

3. gempabu.my

Yang ni kalau korang nak update tentang bencana alam atau cuaca di Malaysia.

4. membas.my

Banyak juga kegunaannya. Contohnya kalau korang nak buat laman web untuk rukun tetangga, boleh la “membas.my” jenayah. Ataupun laman web untuk kongsi info tentang demam denggi dan “membas.my” nyamuk Aedes.

5. peribu.my

Laman web untuk fakta-fakta menarik mengenai masyarakat orang asli/asal.

MYNIC akan paparkan 9 kategori domain.

6. so-yum.my, happy-tum.my, resipiyum.my

Nak buat blog pasal makanan atau resipi? URL-URL ni memang “yummy in your tummy”.

7. warga.net.my

Kitorang rasa kalau buat Reddit versi Malaysia ke, boleh la guna nama domain ni.

8. ceno.net.my, cenonet.my

Alaaaa…comelnya nama ni. Mungkin korang nak jual untuk barang bayi atau barang-barang miniatur guna nama ni ke?

Barang mahal? Boleh beli barang cenonet ni huhuhu. Imej dari Reuters

9. soto.my, sado.my

Korang nak buat bisnes jual soto mi ke? Sedap juga guna soto.my. Kalau nak buka gim pula, boleh buat sado.my. Asalkan bukan sodo.my.

10. jera.my

Bayangkan korang buat bisnes jual tikar jerami, lepastu orang order tikar tu di laman web saja.

 

Domain .MY ni dapat hasil carian Google yang baik di Malaysia

Andai la korang nak cari sesuatu dalam talian, mesti tanya Encik Google kan? Jadi kalau korang nak tingkatkan kebarangkalian orang lain jumpa page korang, lebih baik gunakan laman web sendiri berbanding profil di media sosial atau platform-platform e-dagang.

Tambahan pula, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts. Hasnul ada berkongsi sesuatu yang menarik: Google akan mengutamakan laman web tempatan di sesuatu kawasan. Jadi, peluang laman web korang muncul di halaman utama ialah lebih tinggi kalau korang guna akhiran .MY di Malaysia.

“Rakyat Malaysia membuat 20 juta carian Google sehari. Terdapat 8 juta perniagaan berdaftar di Malaysia, tetapi hanya 800k – 900k mempunyai laman web (sama ada .MY atau .COM). Yang takde tu rugi la, sebab bukannya mudah untuk dapat perhatian kalau kita hanya ada profil di media sosial.” — Datuk Ts. Hasnul [diterjemah dari temu bual bersama CILISOS].

Domain .MY juga menunjukkan kesahihan perniagaan atau orang di sebalik laman web tu, memandangkan korang dikehendaki menyediakan beberapa dokumen semasa mendaftar – maklumat lanjut di sini.

 

Tapi macam mana pula kalau nama domain tu dah diambil?

Satu benda yang kitorang perasan adalah banyak nama-nama laman web yang sedap dah diambil. Contohnya bila kitorang cuba rojak.my atau se.org.my, laman web tu tak boleh dibeli lagi. Tapi bila kitorang pergi ke laman web tu, mesti akan keluar halaman kosong, takpun, halaman tu tak dapat dicapai.

Nampak tak?

Perkara macam ni berlaku angkara domain parking atau cybersquatting, di mana sesetengah pihak beli URL tu dengan harapan diorang boleh jual dengan harga yang lebih tinggi nanti. Kalau URL yang korang nak tu dah dirembat, terpaksa la guna nama lain. Tapi, kalau korang rasa korang ada hak memiliki nama domain tu, MYNIC boleh tolong korang failkan rayuan ke the Asian International Arbitration Centre (AIAC). Mereka takkan terlibat dalam rayuan tu, tapi kalau rayuan korang lulus, MYNIC akan menguatkuasakan keputusan yang dibuat AIAC.

Dan sama macam nama syarikat, cara terbaik untuk “chup” URL idaman korang adalah untuk beli URL tu cepat-cepat sebelum orang lain daftarkannya. Dalam hal ni, ada juga beberapa nama domain yang dilarang sebab ia mungkin akan menyinggung perasaan orang lain, atau ada kaitan dengan perkara sensitif seperti penghinaan etnik, agama atau seksual. Contohnya, poliga.my dan sodo.my memang tak dibenarkan (kami dah semak).

Datuk Ts. Hasnul menceritakan yang nama-nama domain ni akan tertakluk kepada undang-undang sesebuah negara. Di Malaysia pula, MYNIC akan bekerjasama dengan pakar bahasa dari semasa ke semasa untuk tentukan nama-nama domain yang sensitif atau berpotensi mencetuskan kemarahan orang ramai. Antara perkataan yang selalu menimbulkan masalah: “ASS” (dalam Bahasa Inggerisnya korang faham-faham jela)

“Banyak perkataan Bahasa Inggeris mempunyai gabungan “A-S-S”. Sistem kami akan mengesan kata-kata ini sebagai perkataan sensitif, tetapi akan ada manusia yang menyemaknya untuk menilai sama ada ia menyinggung perasaan atau tak.” — Datuk Ts. Hasnul

 

Korang boleh letak nama sendiri di internet dari RM32 setahun

Sebenarnya tak perlu bayar lebih untuk domain yang premium atau kreatif. Korang boleh je beli dari MYNIC atau vendor-vendor lain seperti GoDaddy, dan harganya mungkin berbeza mengikut promosi atau perkhidmatan tambahan yang diorang sertakan. Kalau korang nak tahu senarai harga untuk domain, boleh semak di sini.

Dan kalau korang bukan pakar IT, ataupun masih lagi bisnes kecil yang nak cuba buat laman web sendiri, korang tak perlu pun bersusah-payah buat laman web yang canggih. Menurut Datuk Ts. Hasnul, ramai usahawan kecil yang berjaya melalui program PRIME oleh MYNIC takde laman web yang canggih pun, mereka hanya letak produk di laman web, dan nombor telefon/Whatsapp supaya pelanggan boleh hubungi mereka.

“Laman web tu tak perlu canggih sangat. Tak semestinya wajib ada gerbang pembayaran pun. (Banyak usahawan kecil) letak nombor telefon atau Whatsapp saja. Buat ikut kemampuan dulu. Asalkan perkara-perkara asas tu ada, pun boleh berjaya.” – Datuk Ts. Hasnul