Senang ke nak beli PHD atau ijazah palsu kat Malaysia? Kami cuba sendiri

(This article is translated from the English version at CILISOS, read it there!)

UPDATE 29/4/2019: Baru-baru ni, Azizan Osman menerima Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari VU School of Management, Switzerland.  Beberapa tahun sebelum, negara kita pernah dikejutkan dengan status PhD yang pernah dia terima adalah palsu. Ini kerana beberapa universiti awam tempatan menafikan bahawa dia menerima PhD dari universiti mereka.

Dan…sebelum ni lagi…

Timbalan Menteri dikaitkan dengan ijazah palsu

UPDATE 7/2/2019: Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya dah berdepan dengan satu isu di mana ada dakwaan mengatakan ijazah yang dimiliknya adalah palsu. Pada mulanya, profil Marzuki di Wikipedia menyatakan dia adalah graduan pengurusan perniagaan dari Universiti Cambridge melalui program jarak jauh. Beberapa pihak membuat carian dan mendapati Universiti Cambridge tak menawarkan program jarak jauh untuk bidang tu.

Marzuki memberi respon bahawa orang salah faham. Dia adalah graduan Universiti Antarabangsa Cambridge di Amerika Syarikat. Ada dakwaan mengatakan universiti ni hanyalah kilang diploma dan tak dapat akreditasi mana-mana kerajaan. Kami dari SOSCILI dulu pernah cuba sendiri cuba beli ijazah palsu ni. Jom teruskan membaca…


Kita mungkin dah biasa dengan cerita pasal lesen copy, tapi sijil copy pernah dengar tak? Kalau tak tau, amalan membeli sijil ciplak ni memang dah lama bertapak di Malaysia, tak kiralah untuk sijil SPM, diploma, mahupun ijazah.

Sebelum ni The Star ada melaporkan kisah tentang seorang lelaki (yang kita akan panggil sebagai Dr Ciplak) yang berjaya menjadi ahli seumur hidup dalam salah satu organisasi farmasi paling berprestij di negara. Dr Ciplak bahasakan diri dia sebagai “Datuk Seri Dr” (tahap Dr. Mahathir sebelum jadi Tun), serta ahli kepada Malaysian Pharmaceutical Society (MPS) walaupun tak berdaftar sebagai seorang farmasis dengan Kementerian Kesihatan.

Selain tu, Dr Ciplak jugak mengaku yang dia memang kamceng dengan Kementerian Kesihatan dan organisasi-organisasi kat negara lain, sejak umur 28 tahun lagi!

“Organisasi yang kami hubungi, termasuklah di United States dan India, sama ada menafikan menerima dia ataupun telah menerima tanpa menyedari yang dokumen dan maklumat yang dihantar adalah palsu.

Setelah menyemak dengan Majlis Perubatan Malaysia, satu daripada persatuan perubatan menamatkan keahliannya kerana dia bukanlah seorang doktor yang tulen.” – Seorang mangsa Dr Ciplak, dipetik dari The Star.

Mangsanya turut risau akan berapa banyak lagi golongan profesional yang ada kat luar sana dengan sijil palsu.

Teruk ke masalah sijil palsu ni kat Malaysia?

Pada tahun 2012, polis Selangor kata mereka tengah cari 525 orang pembeli sijil palsu yang berurusan dengan sebuah sindiket yang dikatakan wujud sejak 2003 lagi! Apa yang lebih buat kami lagi risau adalah… degree medic pun turut dijual.

Takut seh… kalau doktor pun takde pengiktirafan dan tak tau dari mana datangnya, apa jadi kalau mereka bagi diagnosis dan ubat-ubatan yang salah?

Golongan yang dapat kerja menggunakan sijil palsu ni boleh dikatakan merampas peluang pekerjaan tersebut daripada orang yang layak. Malah menurut satu kolum kat MalaysiaKini, ada yang guna PhD palsu untuk mengajar di universiti, dan melatih lepasan ijazah akan cara-cara nak apply geran untuk research. Sudahnya, ilmu tak dapat, duit pun habis.

Selain daripada sijil akademik palsu, kita jugak ada kes MC palsu dan sijil nikah palsu. Tapi tak boleh lawan sorang ni yang ada sijil palsu mengatakan dia penah dikesatriakan oleh Ratu England!

Ok, so kita tau yang kes ni dah banyak kat Malaysia. Tapi senang ke nak dapat? Sebabkan nak tau sangat…

Kami cuba sendiri untuk beli sijil palsu ni

Kami cuba dapatkan dua jenis sijil:

1. Ijazah kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia

Bila kami tengok website phonydiploma.com, tengok rupa lagi retro daripada Windows 95. Tapi website yang hambar jangan disangka tidak berfungsi, sebab website ni memang complete dengan page seperti apa yang mereka jamin, apa yang mereka tak boleh buat, dan testimoni pelanggan.

Dan jangan terkejut kalau website ni ada senarai universiti tempatan termasuklah Multimedia University (MMU) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)! Kami minta contoh ijazah dari UKM, dan ini yang kami dapat. Siap dengan tarikh boleh dihantar dan cara-cara pembayaran lagi, profesional sungguh.

Ikut hati nak juga beli sekotak dua, tapi bila tengok harga…. USD450 sekeping (lebih kurang RM 1700 kot)! Ini harga yang mereka bagi kat email, walaupun kat website kata USD275, yang masih kami tak mampu.

Tapi didorong dengan semangat Belilah Barangan Tempatan, kami cuba cari tauke sijil ciplak dekat-dekat sini jugak.

2. Sijil SPM 

Kami jumpa satu website yang meletakkan emel dan daripada emel kami dapat nombor telefon. Ini perbualan kami melalui WhatsApp:

fake spm sijil

Walaupun menjual sijil palsu, brader ni agak professional la. Dia bagitau kami awal-awal yang sijil SPM palsu ni RM600 sekeping, dan besar kemungkinan korang takkan dapat kerja gomen, dan kalau korang takut kena tipu tak perlu guna servis dia.

Harga tak boleh ditawar dan caj penghantaran adalah percuma ke seluruh Malaysia. Dia dah buat bisnes ni sejak 2012 lagi tau.

Oleh kerana RM600 terlalu banyak, jadi kitorang tak beli apa-apa sijil. Tapi ini memang menunjukkan betapa senangnya nak dapat sijil SPM, diploma, ataupun ijazah kat Malaysia ni.

Kalau dah senang sangat, kenapa gomen tak buat apa-apa terhadap tauke sijil ni semua? Sebabnya ialah…

Memiliki sijil palsu bukanlah satu jenayah!

Pada tahun 2013, MP Serdang, Ong Kian Ming bertanyakan akan usaha yang dibuat gomen kepada pemegang sijil palsu ni semua. Dan ini jawapan daripada menteri di Jabatan Perdana Menteri waktu tu.

“Kalau dia nak gantung ijazah tu kat rumah dan tayang, buat kegunaan peribadi, apa boleh kita buat? Kalau kita nak ambil tindakan kita kena tulis undang-undang baru.” – Datuk Seri Shahidan Kassim, dipetik oleh The Malay Mail Online.

Imej dari InfoWorld.

Setakat ni, mana-mana penjawat am yang ditangkap memiliki sijil palsu akan dipecat serta-merta. Tapi selain daripada tu, kita TIADA sebarang undang-undang berkenaan pemegang sijil palsu.

Kalau takde undang-undang, macam mana nak halang orang daripada cari kerja guna sijil palsu?

Menurut kolum di MalaysiaKini yang kami sebutkan tadi, setakat ni komuniti akademik di Malaysia masih tak ada sebarang cara untuk menentukan sama ada satu-satu sijil tu sah ke tak.

“Dalam kes ini, komuniti akademik bergantung kepada prinsip ‘mempercayai’ tentang ketulenan ijazah seseorang dan apa yang mereka nyatakan dalam resume masing-masing.” – Concerned Civil Servant, ditulis di MalaysiaKini.

Bila dilihat dengan laporan tentang Dr Ciplak yang berjaya diterima oleh Persatuan Farmasutikal Malaysia serta Bursa Malaysia yang menyaman seorang pengarah yang memegang sijil palsu, nampak gayanya industri lain turut terkena. Dah tu, macam mana nak pastikan majikan tak ambil pemegang sijil palsu?

datang-interview-spotcheck

AsiaOne mencadangkan dua cara paling selamat iaitu dengan menelefon universiti dan tanya dua benda:

  1. Samada dia betul-betul belajar kat uni tersebut atau tak
  2. Samada dia berjaya graduate atau tak

Tambah The Guardian, sijil palsu ini boleh menghancurkan kerjaya dan hidup peribadi pemegang sijil itu sendiri:

“Kesemua pakar industri bersetuju yang memalsukan pencapaian akademik ni bagaikan bom yang sedang berdetik, tak tahu bila ia akan meletup. Ia mungkin berlaku bila anda mula-mula mengaku akan kelayakan tersebut, atau ia mungkin memakan masa bertahun-tahun sebelum ianya meletup di muka – musnah bersama kekayaan dan reputasi anda.” – Kolumnis David Williams, The Guardian.

Akhir kata, guna sijil palsu ni mungkin boleh dapatkan korang kerja bila terdesak. Tapi untuk jangka masa panjang, berbaloi ke? Pilihan di tangan korang.