Macam mana pentingnya peranan orang Laut dalam sejarah Kesultanan Melayu

Pop kuiz! Siapakah lanun kegemaran korang, Monkey D. Luffy atau Jack Sparrow? Sila hantarkan undi SMS ke 1-800-4-4-tak-dapat.

luffy-lawan-jack-sparrow

Sepatutnya bukan dorang berdua ni je lanun yang layak femes, kat negara kita sendiri pun ada lanun, malah CILISOS pernah tulis artikel pasal macam mana lanun sekarang ni masih berkeliar dan berpengaruh kat perairan Malaysia.

Malah dari zaman Kesultanan Melaka lagi area Selat Melaka telah dikuasai Orang Laut (yang juga dikenali sebagai Orang Selat ataupun lanun). Tapi lanun waktu tu tak semestinya jahat, malah mereka memainkan peranan penting dalam pembentukan sejarah negara kita.

Contoh rupa Orang Laut, ala tomei-tomei je budak tu makan roti. Gambar dari sunglingung.com

Untuk artikel kali ni, kami buka balik buku sejarah sebab ia agak berkait rapat juga sebenarnya. So sebelum kami cerita lebih lanjut, izinkan kami perkenalkan latar belakang Orang Laut ni.

Macam mana wujudnya Orang Laut kat sini?

Orang Laut datang dari pelbagai tempat terutama sekali di kawasan kepulauan Melayu iaitu Sumatera, Selatan Semenanjung, dan Singapura. Manakala kat bahagian utara pula, mereka terdiri dari orang Siam dan orang tempatan. Tapi untuk artikel ni kami akan fokuskan kat bahagian Selatan Semenanjung dan Singapura.

Tempat asal Orang Laut. Gambar dari wikipedia.com

Dari segi pekerjaan, Orang Laut ni sering bergantung kepada alam semula jadi terutama sekali dengan menangkap ikan, so senang cerita mereka ni nelayan lah kan? Tak semestinya… Sebab ada beberapa kajian telah menunjukkan bahawa mereka juga terlibat dengan bisnes kecil-kecilan dan melanun. Disebabkan kemahiran mereka kat Laut Selat Melaka, Orang Laut ni selalulah buat hal kat situ je (lagipun kat situ terdapat banyak kapal dagang).

Majoriti Orang Laut menganut kepercayaan Animisme, pada masa yang sama budaya dan bahasa mereka sangat dekat dengan Melayu dan Cina. Tapi apa yang menjauhkan mereka dari masyarakat mainstream adalah, Orang Laut ni jenis yang lepak kat dalam kampung sendiri je dan setiap kampung diketuai seorang penghulu yang menggunakan pangkat Batin.

Disebabkan budaya dan pekerjaan Orang Laut ni lebih kurang sama macam orang Melayu, so ia sudah menjadi kebiasaan untuk mereka berkahwin antara satu sama lain (Orang Laut + Melayu) di mana yang kahwin tu akan masuk Islam. Perkahwinan antara dua bangsa ni sangatlah normal sehinggakan ada beberapa keluarga diRaja pun turut mempunyai darah Orang Laut.

orang-laut-orang-semenanjung
Gambar dari imbalo.wordpress.com

Tambahan pulak pada zaman dulu kalau nak jadi seorang ahli politik yang berkuasa, korang kena ada cable dengan Orang Laut sebab mereka ni sangat berpengaruh kat kawasan laut. Bukan je reti berlawan, malah mereka turut mempunyai ilmu perkapalan dan laut yang sangat tinggi. Senang cerita, siapa pegang Orang Laut, dia akan pegang Selat Melaka!

Selain menjadi nelayan, Orang Laut juga bekerja sebagai bodyguard Sultan

Memandangkan masyarakat Orang Laut ni takde ketua untuk menyatukan mereka semua, so mereka sering bergaduh, merompak dan menyerang antara setiap kampung. Malah gaya hidup lanun tu pun dah sebati dengan budaya dan tradisi mereka.

Jadi untuk melindungi diri mereka dari diserang, mereka telah menawarkan khidmat kepada Sultan dan sebagai balasan, perkampungan Orang Laut ni akan berada dibawah pentadbiran kerajaan Melaka. Pekerjaan standard Orang Laut untuk kerajaan pula adalah pengemudi kapal-kapal besar, security guard untuk kapal dagang dan ada jugak yang jadi bodyguard Sultan Melaka sendiri.

Imej dari giphy.com

Untuk pengetahuan korang, hubungan Orang Laut dengan Sultan ni bukan bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka je tapi sebenarnya sejak dari pemerintahan Srivijaya lagi dan ni telah merapatkan lagi hubungan mereka dengan Sultan. Malah terdapat beberapa sumber yang mengatakan bahawa salah satu cara Parameswara sampai ke Melaka adalah disebabkan Orang Laut.

Kisahnya, sewaktu Parameswara dikalahkan kat Sumatera oleh seorang pemerintah dari India*, Orang Laut telah membawa Parameswara lari ke tempat yang selamat dan akhirnya menunjukkan jalan ke Melaka (selebihnya korang tau lah kan jalan ceritanya macam mana).

*PEMBETULAN: Terima kasih kepada The Patriot sebab betulkan kami. Sebenarnya bukan Raja India yang kalahkan Parameswara tapi orang Empayar Majapahit. Apa-apa hal ending dia tetap sama, Parameswara lari ke Melaka dan menubuhkan sebuah kerajaan baru kat situ.

Tapi hubungan Orang Laut ni dengan Sultan Melaka yang pertama tu tak berakhir kat situ je. Malah ada satu laporan mengatakan bahawa ke mana Parameswara pergi, pasti ada Orang Laut. So kat sini dah menunjukkan bahawa dorang ni memang dah jadi bodyguard Sultan.

Lebih kurang macam ni lah, cuma Orang Laut tak pakai SMG sebab tak kalis air.

Jadi macam mana Orang Laut mempengaruhi sejarah Melaka dan Malaysia?

Kesetiaan Orang Laut telah mengekalkan pertalian darah Sultan

Pada tahun 1511, Melaka telah jatuh ke tangan Portugis dan Sultan Melaka time tu, Sultan Mahmud Shah, bersama keluarganya telah melarikan diri ke Johor. Cuba teka siapa yang escort keluarga diRaja tu? Dah tentulah Orang Laut! Mereka merasakan ia telah menjadi tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan Sultan.

bodyguard
Lari lari! Imej dari giphy.com

Sultan Mahmud Shah lari dari Melaka dan menubuhkan kerajaan Johor. Dalam masa yang sama, Sultan Mahmud Shah terpaksa mempertahankan diri dari serangan dari Portugis yang time tu ada senjata dan kapal yang hebat dan moden. Walaupun Johor berjaya menangkis serangan Portugis beberapa kali, mereka kena cari cara lain untuk melenyapkan Portugis dari kawasan tu selamanya.

Kebetulan pulak time tu Belanda baru ‘buka kedai’ kat area Sumatera dan telah menunjukkan minat untuk buat bisnes kat Melaka. Jadi Johor dan Belanda telah bergabung untuk menyerang Portugis di Melaka. So Belanda telah menghantar kapal perang moden manakala Johor pula telah menghantar askar termasuk juga Orang Laut sebagai back up.

Lepas Melaka jatuh ke Belanda, Sultan Johor terus upgrade pelabuhan dan perdagangan di negerinya dengan menawarkan harga yang jauh lebih murah dan menjadikan Orang Laut sebagai pasukan keselamatan di kawasan tersebut. Secara tak langsung, perkara itu telah menarik minat pedagang dari serantau Asia. Lagi pun pedagang dari negara Asia lain lebih gemar melakukan bisnes dengan orang Asia sendiri.

Sikap pedagang yang berat sebelah terhadap Johor telah menyebabkan pedagang Belanda kat Melaka naik berang dan lalu komplen kat kerajaan Belanda. Belanda pun menjawab isu tu dengan menyatakan hasrat untuk serang Johor. Johor pun dengan selamba tempenya jawab, “Haa mai la serang, aku suruh Orang Laut kacau kapal dagang kau kat Selat Melaka nanti”.

pirates
Orang Laut sudah bersedia untuk bantai tentera Belanda. Gambar dari Pirates of the Caribbean.

Disebabkan Belanda tau yang Orang Laut ni memainkan peranan penting dalam menjaga perairan Selat Melaka, jadi nak tak nak mereka terpaksa akur dengan Johor. Akhirnya Belanda tak jadi serang Johor sebab takut Orang Laut akan kacau bisnes mereka kat Selat Melaka.

Setakat ni dalam masa tiga penjajahan (kalau kira zaman Parameswara sekali) yang berbeza, Orang Laut telah menyelamatkan Sultan dan kerajaannya dari ditelan musuh. Tapi macam mana pula kalau yang buat hal adalah Sultan tu sendiri…

Kematian Sultan Mahmud Shah II mengakhiri zaman kegemilangan Orang Laut

Sultan Mahmud Shah II atau nama famous dia, Sultan Mahmud Shah Mangkat Dijulang merupakan zaman terakhir untuk Orang Laut. Korang ingat tak kat atas tadi kami cakap yang Orang Laut ni adalah golongan yang setia, mereka pegang prinsip tu sampai ke hari terakhir walaupun ia bermaksud kesetiaan kepada Sultan yang dibenci rakyat.

Mesti korang semua tau pasal kisah Sultan Mahmud Shah II ni kan. Kalau taktau meh kami cerita sikit. Okay, Sultan Mahmud Shah II ni merupakan keturunan Sultan Melaka terakhir yang telah naik takhta pada umur yang sangat muda. Sepanjang hayat dia, Sultan Mahmud Shah II  ni dikenali sebagai seorang yang kejam. Antara hobi dia adalah membunuh orang sesuka hati, suka marah orang (garang), dan ada yang kata dia gay.

Kejatuhan Sultan Mahmud Shah II terjadi selepas dia membunuh isteri Panglima yang sarat mengandung. Bila Panglima tu dapat tau, apa lagi… Naik angin lah kan, jadi Panglima tu telah membunuh Sultan Mahmud Shah II pada tahun 1699.

jfk
Imej diilhamkan dari pembunuhan JFK, bekas Presiden Amerika Syarikat.

Bermula dari situlah kerajaan Johor telah digantikan dengan Bendahara negeri dan hilanglah keturunan Kesultanan Melayu Melaka. Orang Laut pun dah tak follow perkembangan atau offer perkhidmatan kat kerajaan lagi dan disebabkan tu juga, Orang Laut dah takde pemimpin yang menyatukan mereka.

So apa jadi bila dah takde job dengan kerajaan?

Orang Laut mula join masyarakat mainstream lepas kehilangan Kesultanan Melayu Melaka

Time ni Orang Laut dah mula buat hal masing-masing, dah tak terlibat dengan politik dan tak dipandang lagi oleh orang pembesar. Orang Laut ni pun kembali ke aktiviti tradisi mereka iaitu menjadi nelayan dan menjual buah-buahan kat kapal pedagang.

Gambar dari mothership.sg

Bagi yang tak ikut tradisi, mereka telah berkahwin dengan orang Melayu. Malah hampir majoriti Orang Laut telah tinggalkan kehidupan tradisi mereka dan tinggal di darat.

Semasa di zaman penjajahan British pulak, Orang Laut telah dialihkan ke kawasan perkampungan darat. Jadi mereka dah tak tinggal di persisiran pantai atau pun atas bot lagi.

Lepas zaman merdeka pula, tanggungjawab menjaga Orang Laut ni telah jatuh kepada kerajaan masing-masing. Macam kita, kerajaan Malaysia telah klasifikasikan Orang Laut ni sebagai orang asli, jadi mereka mempunyai hak yang sama seperti orang asli di negara ni. Walaupun sekarang ramai dah tak jadi nelayan, mereka telah masuk ke dunia bisnes dan tourism. (Malah sekarang ni mereka dah mula berjinak dengan dunia perniagaan dan perlancongan, tidak hanya tertumpu pada dunia nelayan je.) 

Di Singapura, Orang Laut telah diterap masuk menjadi sebahagian dari masyarakat utama di sana. Ada setengah tu telah masuk agama Kristian sebab lagi senang untuk mereka mengamalkan tradisi mereka yang diharamkan dalam Islam, ini semua terjadi hasil dari perkahwinan dengan orang Cina. Hubungan Cina-Laut ni mula erat sejak Perang Dunia Kedua apabila Orang Laut sering menyorokkan orang Cina dari askar Jepun.

Kehebatan Orang Laut dahulu hanya tinggal kenangan

orang-laut-2
Orang Laut sekarang. Gambar dari sunglingun.com

Macam agak menyedihkan bahawa sekumpulan orang etnik kat negara ni yang telah memainkan peranan besar dalam pembentukan negara telah diabaikan sebegitu. Masa kami nak tulis artikel ni, kami sedar yang kisah mereka tak dipandang tinggi oleh ahli sejarah sedangkan peranan mereka agak penting.

Mereka ni punyalah hebat sampaikan empayar Barat seperti Belanda pun takut dengan mereka. Tapi tu dulu lah, sekarang ni mereka dipandang sebagai orang kampung miskin yang tak berpelajaran. Malah pembangunan yang pesat menyebabkan mereka berkemungkinan akan berpindah sekali lagi.

Harap-harapnya Orang Laut ni diberi hak yang sepatutnya dan tak diketepikan oleh kerajaan semata-mata. Walaupun status tu sebagai orang asli, sumbangan mereka terhadap negara sangatlah besar. Halus, tapi berhasil.

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance